Woodhouse Moor Tennis Court

Kebanyakan pelajar University of Leeds yang menetap berhampiran Hyde Park cenderung menggunakan taman ini sebagai laluan pintas tatkala berulang-alik antara rumah dengan kampus.

Dari udara, tujuh lorong kelihatan merentas taman nan luas ini dari pelbagai hujung. Kesemuanya bersilang di pusat Hyde Park. Umum sedia maklum, ini sememangnya lokasi berbahaya. Paling dalam (jauh dari jalan besar). Paling gelap (hatta siang). Paling tersorok (kerana banyak pokok). Siang hari, keseraman tidaklah ketara sangat ekoran ramai orang berlalu-lalang.

Pada sebelah malam semoleknya dijauhi. Tanpa sebarang lampu di situ, macam-macam hal boleh terjadi. Maka, adalah lebih afdal buat seseorang menyusuri perimeter taman semata-mata. Ini bukan soal takut terserempak dengan sepupu-sepapat Kak Limah. Sebaliknya, kejahatan manusia. Termasuk pondan brutal. Hakikatnya, serangan seksual tidak memilih jantina.

Anyway…

Setiap kali merentas Hyde Park untuk pulang di kala siang, cabang dalam foto ini akan saya lalui secara spesifik. Di hujung lorong kita akan bertemu dengan Moorland Road, pintu masuk Hyde Park paling hampir dengan kediaman sewa saya di persimpangan cerita (Kelso Road).

Bangunan seakan rumah kecil di sebelah kiri itu stor tukang kebun (kalau tak silap memori). Di sebelah kanan itu pula gelanggang tenis terbuka untuk orang awam. Besar juga. Ada enam buah gelanggang kesemuanya.

Terus terang kata, saya langsung tak minat bermain tenis. Tetapi saya gemar menonton. Tok! Tok! Tok! Entah apa penjelasannya, bunyi bola tenis melantun sungguh mendamaikan. Berbekalkan set ayam goreng daripada Mahmood’s (klon McD), saya akan singgah melepak seketika di bangku tepi gelanggang selaku sesi terapi. Buang segala geram eksperimen PhD yang tak menjadi sebelum balik rumah.

Oh, ya. Kalian yang memiliki naskhah Kuantum, bolehlah selak kembali. Ini latar lokasi bab TEMAN (m/s 44). Cuma di dalam buku, kejadian berlaku sewaktu kemuncak musim luruh. Sedangkan foto ini pula rakaman awal musim bunga. Ada pepohon cherry blossom tersorok di sebalik tembok daun (sebelah kiri), jika kalian perasan.

Sayang sungguh, foto ini tidak berpeluang masuk buku. Woodhouse Moor Tennis Court sememangnya dekat di hati. Menjadi saksi satu detik manis dalam hidup ini.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!