Sebagai lelaki, hal-hal bersangkutan kehamilan serta proses bersalin sememangnya suatu topik misteri yang menggerunkan buat saya. Apatah lagi setelah diberi sentuhan horror dalam bentuk fiksyen.
Novel Bidan mengisahkan watak Syifa’, seorang petugas kesihatan wanita yang dikerah berpindah secara tiba-tiba untuk berkhidmat di sebuah kampung (Terengganu). Setakat yang Syifa’ maklum, dia harus mengganti tugas mantan staf yang cabut lari ekoran gangguan mistik yang melampau. Sungguhpun demikian, si gadis tetap akur dengan arahan berpindah.
Penulis novel Bidan langsung tidak membuang masa. Seawal Syifa’ melangkah masuk ke rumah sewa baharunya, dia terus disakat. Apa yang berlaku seterusnya pula ternyata di luar jangkaan. Cuma nasib saya kurang baik sebab terbaca banyak spoiler review. Kadang-kadang, segelintir pembaca itu terlampau teruja sehingga mendedah segala plot twist yang ada dari A sehingga Z.
Dalam pada itu, saya tetap enjoy membaca novel Bidan. Syifa’ selaku protagonis utama merupakan watak yang ‘instantly likeable’ seawal mukadimah cerita. Buku ini boleh disifatkan ‘bersih’ walaupun ada label amaran pembaca matang. Sekadar trivia bagi anda yang belum maklum, Bidan merupakan salah satu pemenang Sayembara FIXI 2023 dan baru saja terbit tahun lepas (2024).
Berdasarkan nama pena ‘NIL’, anggapan saya penulisnya lelaki (singkatan nama Aznil barangkali). Tetapi, rupa-rupanya seorang wanita berlatar belakang dunia perubatan. Ilmu dan pengalaman kerjaya hakiki puan penulis berjaya diterap dengan kemas ke dalam naskhah laku keras ini. Hiburan saya dapat. Ilmu perbidanan pun saya peroleh. Namun tidaklah sampai mampu menyambut kelahiran bayi tatkala situasi kecemasan.
Secara peribadi, saya lebih gemar melabel Bidan sebagai dark fantasy yang disulami elemen horror. Andai diminta merumus novel ini dengan hanya satu perkataan, jawapan saya ialah ‘unputdownable’. Saya yakin buku ini akan memasuki senarai judul terbitan FIXI yang akan berterusan diulang cetak.
Oh ya, sebelum terlupa! Ilustrasi kreatif kulit hadapan buku ini memang terbaik. Sesiapa yang dah habis baca, tentu faham signifikan potret cantuman tersebut.


