Konvensyen Penulisan Novel 2026

Shah Ibrahim di Konvensyen Penulisan Novel 2026

Suatu hari yang produktif di Konvensyen Penulisan Novel 2026.

Sempat berguru dengan novelis legenda Tuan Ahadiat Akashah, Dr Kenny Bae Kihyung (Korean Broadcasting System), Puan Lina Tan (Red Communications), Puan Imillya Roslan (Viu), Datuk Ahmad Izham Omar (Komet Productions), Puan Firdaus Hussamuddin (Pengerusi Karangkraf) serta pasukan editorial Novel Karangkraf.

Bonus: Mini-reunion dengan keluarga penulis Karangkraf-Literature (K-Lit).

Novel Kifayah Terpilih Untuk 50 Best Malaysian Titles For International Rights 2024-2026

Novel Kifayah Shah Ibrahim 50 Best Malaysian Titles For International Rights 2024-2026
Another milestone.
Saya baru terima maklum daripada pihak penerbit yang novel KIFAYAH kini tersenarai dalam ‘50 Best Malaysian Titles For International Rights’.
Syukur, Alhamdulillah. Berita gembira yang muncul pada saat tepat tatkala motivasi saya sedikit merudum gara-gara tiada rezeki dalam DUA sayembara penulisan terbesar tahun ini. 
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam pembikinan KIFAYAH. Merangkumi Cik Puan editor, pasukan R&D, ilustrator kulit buku, pasukan publisiti/pemasaran Karangkraf dan lain-lain yang barangkali saya terlupa sebut.
Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada kawan-kawan yang sudi mencapai buku ini di kedai, memberi maklum balas positif serta mempromosikan karya saya kepada kaum kerabat. Sokongan kalian besar nilainya.
Tanpa pembaca, siapalah penulis.

Novel Kifayah Shah Ibrahim terpilih untuk 50 Best Malaysian Titles For International Rights 2024-2026

p.s.
Karya terbaharu dalam pembikinan sedang gigih saya siapkan. Harap-harap sempat terbit dalam tahun 2026 juga. Sekadar pembayang awal yang saya bersedia kongsi, latar cerita kali ini melibatkan Malaysia di kemuncak era gawat 90-an. Masih seputar kembara road trip. Aspek lain, kita biar saspen dahulu.

Novel Awek Chuck Taylor karya Nami Cob Nobbler

Novel Awek Chuck Taylor karya Nami Cob Nobbler
Ini edisi terbitan 2014 Lejen Press dalam koleksi saya. Tak pasti jikalau wujud edisi lebih moden. Awek Chuck Taylor, karya Nami Cob Nobbler merupakan salah satu judul ikonik dari fasa kegemilangan buku-buku indie di Malaysia.
Zaman yang sinonim dengan promo ‘3 for RM50’ di reruai jualan pesta buku. Zaman Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M).
Selaku konsumer, saya cukup rindu zaman tersebut. Aura dunia perbukuan Malaysia kala itu lain macam berbanding sekarang. Entah ke mana agaknya magis menghilang.
Awek Chuck Taylor sebuah kisah cinta. Sebenarnya, adik perempuan saya yang rekomen. Bukti betapa judul ini memang fenomena buat kaum hawa.
Saat pertama kali membaca dahulu, saya mampu relate dengan watak hero bernama Hafiz kerana jiwa sendiri juga sedang kecamuk dengan soal hati.
Anyway…
Tahun berganti tahun, buku-buku indie sering menjadi sasaran kritikan. Tatabahasa caca marba lah. Terlalu vulgar lah. Tiada mesej lah. Ada kalanya memang berasas serta munasabah. Namun, itu diskusi untuk hari lain.
Biarpun ramai memandang lekeh, ada hakikat yang tak dapat kita nafi. Era buku indie seakan gerbang yang membuka jalan kepada generasi penulis baharu menyusup masuk arus perdana. Termasuklah saya sendiri. Umum tahu betapa sukarnya memasuki mainstream. Ruang terbatas. Standard tinggi. Gate keepers juga teramat selektif.
Selain melahirkan penulis pelapis, era buku indie juga telah berjaya menyemai kembali minat terhadap bahan bacaan berbahasa Melayu. Laksana gateway drug menuju ketagihan membaca. Kesan positifnya dapat dilihat pada hari ini.
PS: Lepas membaca, barulah saya tahu yang Chuck Taylor rupa-rupanya jenama kasut. Walhal, pembayangnya jelas ketara menerusi rekaan kulit buku. Haha. Apakan daya, saya hanyalah seorang Pakwe Selipar Asadi.
error: Content is protected !!