Sejarah Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

KENAPA SAYA MENULIS?

Hal meminati gadis dari jauh boleh disifatkan ‘comel’ tatkala melibatkan kelompok lelaki muda remaja. Namun, situasi sedikit-sebanyak bertukar ke sedih seiring peningkatan usia sang majnun. Pathetic, kata orang putih.

Maklum saja, perilaku ini berkait rapat dengan soal keyakinan diri. Apatah lagi jikalau kesudahan cerita berakhir kecundang. Sama ada gara-gara lambat bertindak mahupun ditolak mentah-mentah.

Hakikatnya, pendaman rasa harus diluah kepada si dia agar hati tidak dibiar tergantung menanggung seksa. Selagi mana si gadis belum ‘diikat’ oleh pihak lain, pada saya peluang masih terbuka luas. Tak cuba, tak tahu. Andai terlepas, kempunan nanti.

Sedikit sejarah…

Terjebaknya diri ini dengan dunia penulisan bermula dari senaskhah novel grafik cetakan terhad. Projek DIY tahap amatur. Saya terbit sendiri guna wang simpanan.

Motivasi pembikinan adalah bagi mengejar agenda hati. Luahan rasa terpendam seorang jejaka pemalu terhadap insan istimewa. Oh, ya… Sebelum ada yang terkeliru, individu yang dimaksudkan bukanlah Farah Melissa dari buku Budak Meja Belakang. Itu kisah zaman belum ada misai.

Kata pujangga, wanita lekas cair dengan grand romantic gesture. Bukankah begitu?

Sayang sekali, Shah Ibrahim tak semewah Shah Jahan. Mana mungkin senibina segah Taj Mahal mampu didirikan. Setelah mencermin keupayaan diri serta baki dalam akaun bank, komik diputus selaku alternatif. Capaian realistik yang juga bermakna.

Usaha solo tersebut memakan masa dua tahun lamanya bermula 2010. Saya tulis. Saya lukis. Saya warna. Menerusi pendekatan simbolisma lukisan, ada banyak mesej tersirat dalam komik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (CPSF) yang hanya mampu ditafsir oleh ‘si dia’.

Diringkaskan cerita panjang berjela, misi tercapai. Si dia terbeli senaskhah. Mesej hati saya berjaya disalur. Malah, sang gadis turut jelas memahami. Alangkah seronoknya rasa hati. Sehingga mencetuskan aksi tumbukan padu ke udara.

Malang sekali, segala usaha saya langsung tak ubah apa-apa. Sekadar menambah malu pihak lelaki. Aduhai… Sesungguhnya tiada yang lebih tragis daripada kegagalan seorang lelaki memikat wanita, meski dikurnia pelbagai bakat seni.

Apakan daya, soal perasaan tak boleh dipaksa-paksa. Kisah kami terkubur begitu sahaja. Nasib baik saya lukis komik. Kalau terbina Taj Mahal, lagilah membaziaq (bak kata orang Utara).

Himpunan seribu satu kekecewaan daripada episod tersebut saya salurkan secara positif menerusi penulisan dan lukisan. Percayalah, ada unsur terapi tersembunyi di situ.

Segala apa yang kita tulis mahupun lukis pula, tak semestinya dikongsi dengan khalayak umum. Boleh saja disorok bawah tilam. Terpulang kepada individu. Yang penting, luahkan segalanya ke atas kanvas agar kepala tak berterusan serabut. Tak dinafi, hasil magis kadang-kadang terlahir daripada keperitan.

Diberi pilihan, saya pilih kesudahan gembira berbanding keperitan tadi. Rasa-rasanya semua orang pun begitu.

Melihat ke belakang, semua orang boleh tulis apa yang telah dilalui secara peribadi. Melihat ke hadapan pula, segalanya sudah tertulis. Cuma buku tersebut tuan tubuh pun tak dapat baca.

Sebarang komen/pertanyaan?