Jodoh Dengan Komrad Buku

Rasa-rasanya belum pernah diceritakan lagi bagaimana saya mengenali Komrad Buku, penerbit yang sudi terima manuskrip Budak Meja Belakang.

Suku terakhir tahun 2016, saya berada di Malaysia. Sibuk mempersiapkan diri untuk terbang ke China. Usai pertemuan kerja bersama majikan di Subang Parade (lokasi aneh yang mereka sendiri cadangkan), saya melangkah masuk ke dalam MPH Bookstore. Selaku orang Johor, saya tak pernah tahu di situ ada cawangan. Alang-alang kedai sudah berada di depan mata, saya pun masuk.

Hajat di hati bukan mahu membelek buku. Sebaliknya menambah stok alat tulis memandangkan satu-satunya getah pemadam lukisan dalam simpanan saya, saiznya sudah mirip sebiji Panadol dibelah separuh. Selalu teringat hendak beli. Namun, asyik tertangguh.

Pemadam dicapai. Tiba masa untuk blah. Hendak dijadikan cerita, barisan pelanggan yang sedang beratur di kaunter bayaran boleh tahan panjang juga. Jadi, saya memutuskan untuk berlegar-legar dahulu sementara menanti barisan surut.

Sambil-sambil usyar buku. Sambil-sambil usyar orang. Dengan harapan, secara tak sengaja berlaga dengan seorang gadis. Bukunya jatuh. Saya tolong kutip. Selepas itu dapat nombor telefon. Eh, sudah melencong pula cerita ini. Maaf.

Kala berlegar-legar itulah kulit hadapan senaskhah buku berjaya mencuri perhatian saya. Kon kuning amaran lantai licin berlatarbelakangkan Union Jack. Jauh sebelum perasan judul, saya dah boleh teka isi kandungan buku. Serta-merta pertanyaan seterusnya ini menerpa kotak fikiran.

“Why didn’t I think of that?!” (Agar lebih dramatik, saya bermonolog dalam bahasa orang putih)

Umum tahu, tukang cuci merupakan kerjaya sambilan tipikal dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia di UK. Aneh sekali, belum pernah ada orang terfikir hendak menulis (semaklum saya). Mungkin ada yang pernah berhajat, cuma sampai ke sudah tak dikarang. Dalam hal ini, saya tabik tuan penulis.

Terpisah hampir empat jam perjalanan berkereta antara tempat saya (Leeds) dengan Tuan Ahmad Affzan Abdullah (London), catatan-catatan yang dikongsi sememangnya mencetus nostalgia. Banyak situasi bertindan dengan pengalaman peribadi saya di ‘kampung lama’ sendiri. Politik sesama tukang cuci. Kerenah serta ego penyelia. Cara orang awam pandang kita. Dan macam-macam lagi. Tidak kurang juga senario-senario tersendiri yang unik buat bandar gah seperti London.

Di penghujung buku (yang sukar diletak selagi tak habis baca) tertera pelawaan menghantar karya oleh pihak penerbit. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Tanpa menaruh harapan tinggi, saya mengaju proposal. And the rest is history. Lebih terharu, Tuan Affzan turut berbesar hati menyumbang blurb buat kulit belakang buku. Sekaligus menjadi sinopsis Budak Meja Belakang.

Atas aturan Ilahi, kami tak sempat kenal sewaktu sama-sama berkelana di bumi sang ratu. Hatta sebagai kenalan media sosial. Akhirnya berjodoh jua di bawah panji rumah penerbitan yang sama. Menilai berdasarkan gaya penulisan semata-mata, saya pasti orangnya sempoi dan sekepala dengan saya.

InsyaAllah, suatu hari nanti kita bersemuka. Pekena Nescafe Tarik sambil bertukar-tukar cerita.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!