Berpuas Hati Dengan Karya Sendiri

Sungguhpun maklum balas serta penerimaan umum terhadap buku sulung saya agak memberangsangkan, secara peribadi saya tetap merasakan bahawa masih banyak aspek yang boleh diperbaiki. Suntingan. Gaya naratif. Format pilihan. Reka kulit.

Andai kata diri ini bisa berpatah kembali ke 2010 (tahun projek tersebut dilancar), segala aspek yang tersenarai di atas ingin saya nilaikan semula. Tak kurang juga yang mahu diubah.

Mujur Tuhan tidak menganugerahkan hamba-hambaNya keupayaan merentas masa.

Jikalau diizinkan, rata-rata kita semua bakal terperangkap dalam kitaran memperbaiki keadaan yang tidak berkesudahan. Maklum saja, ini berkait rapat dengan DUA kelemahan insan. Kerap buat silap. Sukar berpuas hati.

Berbalik kepada soal buku, himpunan kelemahan silam secara langsung menyumbang ke arah usaha-usaha memperbaiki karya-karya susulan. Langkah pertama dalam proses baik pulih tentu sekali ialah mengetahui apa yang silap. Dalam hal ini, sumber ada banyak.

Hasil teguran para editor. Respons pengulas serta komuniti pembaca. Nasihat daripada rakan-rakan penulis. Tak lupa juga kelemahan yang saya sendiri mula perasan.

Salah faham tata bahasa. Terlepas pandang ejaan terkini. Ayat klise. Kekerapan menggunakan frasa tertentu. Ketandusan variasi dalam struktur ayat. Dan bermacam-macam lagi kecenderungan yang sinonim dengan amatur.

Tahukah anda, menyedari kesilapan sendiri adalah cerminan evolusi kematangan penulis selaku pengkarya? And that’s a good thing.

Wajar ditekankan, kematangan ini tidak datang dengan mudah. Penulis harus bersikap proaktif dan terbuka. Dia perlu berterusan belajar. Dia kena rajin bertanya. Dia mesti bersedia menerima teguran.

Selaku insan yang pernah bergelut dengan perfectionism, kerja-kerja saya dahulunya kerap tergantung gara-gara terlalu sibuk mengejar kesempurnaan yang mustahil dikecapi.

Percayalah… Menanti detik sempurna sebelum mahu bertindak, sampai ke sudah kita tak bermula. Take a leap and embrace your mistakes.

Sebarang komen/pertanyaan?