Karya Josh Malerman

Josh Malerman Books
Saya mula meminati karya-karya Josh Malerman selepas membaca Bird Box (terbitan 2014). Sedekad lalu, saya aktif meneroka forum Reddit bagi mengetahui judul-judul novel seram yang sedang hangat menjadi bualan di sebelah Barat. Menariknya, Bird Box sering muncul dalam senarai cadangan. Dengan puji-pujian menggunung seperti ‘Fresh!’ serta ‘Highly Unpredictable!’. Ringkas cerita, saya terpancing.
Sekiranya anda belum sedia maklum, novel Bird Box berkisar lambakan makhluk asing yang tiba-tiba muncul di bumi. Kehidupan populasi dunia beralih menjadi caca-marba. Maka sesuailah cerita ini dikategorikan sebagai post-apocalyptic (ala-ala filem A Quiet Place serta siri filem Cloverfield).
Dalam novel Bird Box, sesiapa jua yang bersemuka dengan makhluk-makhluk aneh ini akan hilang kewarasan. Inilah sebabnya mengapa watak Sandra Bullock di dalam poster adaptasi filem kelihatan memakai pelitup mata (jangan risau, aspek ini bukan spoiler).
Judul cerita pula (secara literal) dipetik sempena kaedah sistem penggera primitif yang para survivor terpaksa manfaatkan. Burung-burung yang terkurung di dalam sangkar akan berkicauan apabila bahaya mampir. Spesis haiwan terpilih seperti burung tidak terkesan secara negatif dalam karya fiksyen ini sebagaimana manusia. Walau bagaimanapun, judul ‘Bird Box’ juga ada selapis lagi metafora yang seeloknya kalian selami sendiri. Tak syok pula kalau saya ceritakan semua.
Apa-apa pun, sampai ke penghujung cerita kita tidak akan faham hakikat sebenar entiti yang mengganas. Maklum saja, tiada saksi waras yang wujud untuk menyalur keterangan berguna. Jikalau diteroka lubuk-lubuk ulasan seperti Goodreads, Amazon serta Youtube; kebanyakan kecaman menjurus kepada persoalan besar ini yang kekal tidak berjawab. Sekiranya anda pembaca daripada kelompok ‘perlukan penjelasan bagi setiap perkara’, kemungkinan besar Bird Box kurang sesuai buat anda.
Secara peribadi, saya sebagai pembaca lebih gemar pendekatan sebegini. Misteri tidak berjawab malah melonjakkan lagi aura seram sesuatu cerita. Humans tend to fear the unknown. Lagipun, ancaman makhluk asing ini sekadar menyajikan latar. Bukan fokus cerita. Konflik dalam cerita-cerita post-apocalyptic lazimnya lahir daripada interaksi sesama watak-watak manusia. Yang ini anda kenalah selami sendiri (sekiranya masih berminat nak cuba Bird Box).
Alang-alang berbicara soal misteri tidak berjawab, izinkan saya memetik satu lagi contoh popular. Siri komik The Walking Dead, nukilan Robert Kirkman. Naskhah penutup terbit tahun 2019. Punca wabak zombi sampai ke sudah tidak didedahkan. Tetapi peminat tak kisah.
Okey, berbalik semula kepada Josh Malerman…
‘A House at The Bottom of A Lake (AHATBOAL)’ merupakan karya susulan beliau selepas Bird Box. Agak lewat saya mencari buku ini, namun sempat terbaca banyak non-spoiler review. Terkejut juga bila mana respons pembaca rata-ratanya berbaur negatif. Sungguhpun demikian, saya tetap terdorong untuk mencuba. Sebab sinopsisnya menarik. (Atau, boleh jadi saya sebenarnya terumpan dengan rekaan kulit buku yang cukup memanggil).
Sekilas lalu, AHATBOAL seakan kisah cinta. Novel bermula dengan perkenalan dua remaja berusia 17 tahun. James dan Amelia. Pada suatu hari, sang jejaka memberanikan dirinya untuk mengajak si gadis keluar ‘dating’.
Untuk pertemuan sulung, James mengajak Amelia berkelah di sebuah tasik rekreasi. Dalam diam, James berhajat untuk mengkagumkan Amelia dengan mendedahkan kewujudan sebuah tasik rahsia yang tersorok dan lebih cantik. Sewaktu mendayung di tasik ke-2 ini, mereka tak semena-mena terjumpa pula tasik ke-3. Di bawah permukaan jernih tasik misteri inilah, mereka nampak sebuah rumah agam ditenggelami air.
Penemuan aneh ini lantas mencetus obsesi dalam diri James dan Amelia. Masing-masing terdorong untuk selam menyiasat. Apakah yang akan mereka temui di dalam rumah tersebut? Tak bolehlah saya cerita. Nanti ‘spoil’.
AHATBOAL lebih misteri berbanding seram. Namun, elemen seram itu tetap menyengat setiba ia muncul secara mengejut. Bayangkan ‘jump scare’ dalam bentuk teks. Sama seperti Bird Box, kritikan negatif terhadap AHATBOAL juga menjurus kepada persoalan-persoalan besar hal mistik yang kekal tidak berjawab. Hmm… Mungkin ini memang gaya penulisan Malerman.
Oh, sebelum terlupa. Sekadar trivia, filem The Deep House (2021) konsepnya hampir serupa dengan novel AHATBOAL. Seingat saya, pernah ditayang di Netflix. Tetapi bukan adaptasi novel mahupun ada apa-apa pertalian rasmi dengan Josh Malerman. Hairan juga kerana saya tak terdengar pula sebarang isu pertikaian hak cipta. Sedangkan idea mirip sungguh. Cubalah jejak filem ini sekiranya anda mahukan short cut.
error: Content is protected !!