Selama hidup di Malaysia, saya sentiasa berada di bangku murid. Belum pernah lagi merasa sudut pandang insan yang duduk di satu-satunya meja paling besar di ruang hadapan bilik darjah.
Dalam pada itu, buku ini berjaya membuka mata saya. Kerjaya guru sebenarnya tidak terbatas setakat mempersiapkan murid-murid untuk menjawab kertas periksa. Seiring peredaran zaman, cabaran-cabaran baharu yang terpaksa dipikul oleh kelompok wira tak didendang ini luar biasa sekali.
Umum tahu, kehendak masyarakat semakin hari semakin berbeza. Polisi serta etika semasa juga telah banyak berubah (lihat sahaja polisi hukuman serta senarai terkini bahan terlarang).
Anak-anak zaman sekarang tidak sama macam anak-anak zaman dahulu. Ragam ibu bapa pun tak kurang pelik. Mengambil kira realiti tersenarai ini, kerjaya guru kini memerlukan pakej ajaib yang tidak ada pada semua orang.
Dalam hal masa hadapan pendidikan negara, sejujurnya saya seorang yang pesimis. Namun hati beransur lega andai Malaysia mula dipenuhi kelompok individu setara pasukan penulis buku Cerita Bilik Guru.
Saya sendiri banyak dibelenggu baran terpendam. Kala berhadapan dengan murid nakal, silap-silap mak ayah dia sekali saya lanyak. Maka adalah lebih afdal bagi saya menjauhi kerjaya perguruan. Bak kata Jack Black dalam filem School of Rock,
“Those who can, do. Those who can’t, teach. Those who can’t teach, teach gym.”
Barangkali saya boleh jadi cikgu PJ. Hulur sebiji bola sepak kepada bebudak lelaki. Hulur sebiji bola jaring kepada bebudak perempuan. Kemudian, saya pergi lepak kantin. Pekena nescafe sambil baca suratkhabar. Heaven!
Jikalau anda warga pendidik di ambang menyerah kalah, hayatilah paparan kisah dalam buku ini. Seorang guru wanita. Tiga orang guru lelaki. 1001 cerita.