Teka-Teki

Kalau perasaan bahagia boleh dibeli secara balang, berapalah gamaknya harga jual?
Itu pun bergantung kepada sumber bahan mentah serta ramuan-ramuan yang terlibat. Organik? Sintetik? Mistik?!
Firasat saya kuat merasakan satu balang pun belum tentu cukup untuk memenuhi keperluan seseorang. Golongan yang dah tersedia bahagia pun gerenti teringin mencuba. Maklumlah, FOMO.
Apabila stok bekalan mula terbatas sehingga mencetus situasi berebut-rebut, tahu-tahu sajalah apa yang terjadi.
Yang pasti, harga akan melambung tinggi sekelip mata.
Apakan daya, begitulah hukum ekonomi. Supply VS Demand.
Hakikatnya di penghujung cerita, kelompok berduit jugalah yang sentiasa menang. Mampu memborong bahagia.
p.s.
Entahlah… saya sendiri tak pasti apa mesej sebenar yang ingin disampaikan. Sekali imbas macam nak promo dadah pula. Benda itu pun boleh mencetus ‘bahagia’ juga. Bahagia sementara. Sengsara berpanjangan.
Abaikan saja. Fokus pada huruf pertama setiap perenggan dalam nukilan merapu ini. Kalian akan dapat membongkar judul buku terbaharu saya, sebuah karya fiksyen 🙂

2025

Tahun baharu, semangat baharu. Moga-moga bertambah rezeki.

Ada Apa Dengan Rahsia

Hashtag TheMrFlowerman Rahsia Orang Bukan Untuk Dijaja

Beberapa minggu lepas, saya ada terbaca sepotong artikel pendedahan mengenai kecenderungan segelintir guru kaunseling di Malaysia menjaja rahsia peribadi pelajar. Hasil luahan murid sewaktu sesi kaunseling tertutup dijadikan modal ‘membawang’. Aduh, saya cukup tak gemar guna perkataan ini. Namun, inilah istilah kontemporari paling jitu dalam merumuskan situasi. Kasihan bawang. Makhluk tak berdosa.

Saat membaca artikel tersebut, fikiran saya dibawa menerawang kembali ke hari pertama bekerja suatu ketika dahulu. Menjelang makan tengahari, sekumpulan jurutera senior tampil menghampiri diri ini memohon kepastian tentang gaji yang syarikat putuskan untuk membayar saya.

Dan mereka tidak bertanya, “Gaji kau berapa?” Soalan busy body sebegini mudah saya tangkis dengan cara berpura-pura pengsan.

Sebaliknya yang terluah, “Biar betul kompeni bayar kau RMXXXX.XX?!” Nilai yang disebut padan dengan jumlah yang tertera pada kontrak tawaran saya. Tepat sehingga ke nilai sen. Sebenarnya bukanlah tinggi sangat pun. Tetapi mungkin lebih tinggi daripada pihak yang bertanya.

Dari manakah mereka korek? Setelah saya siasat, rupa-rupanya staf bahagian finance yang buka cerita (saya tahu siapa dia). Padahal maklumat gaji seseorang adalah rahsia. Private and confidential.

Belum masuk lagi kisah-kisah staf unit IT yang ambil kesempatan skodeng aktiviti pelayaran warga organisasi. Sampai tahap boleh tahu siapa rajin layan porno dan siapa yang rajin shopping online. Maklumat ini kemudian dijadikan modal bersembang.

Belum ditambah lagi episod staf bahagian HR yang mula cetus bisik-bisik skandal mengenai manager kami bersama PA-nya yang jelita. Hendak dijadikan cerita, kedua-dua individu yang dimaksudkan telah lama pun sah bernikah (secara senyap). Cuma rekod HR belum dikemaskini. Ini pun jadi modal membawang.

All of the above took place within the same company. Dalam tempoh kurang sebulan saya masuk kerja. Kesimpulan spontan yang saya buat kala itu – Privasi maklumat tidak wujud di Malaysia. And it doesn’t stop there.

Dalam setahun ada 365 hari. Tetapi mengapa sejurus saya ‘parking’ sejumlah wang ke dalam akaun bank yang baru sahaja dibuka, PADA HARI YANG SAMA juga saya terima pelbagai panggilan daripada agen-agen unit trust rambang? Lantas mempelawa saya melabur. Tak mungkin ini sekadar kebetulan.

Dari mana mereka peroleh nombor telefon saya, satu hal. Lebih menakutkan lagi, macam mana mereka tahu perihal deposit sebentar tadi? Saya tak mahu menuduh. Tapi saya fikir kalian boleh teka.

Himpunan pengalaman di atas perlahan-lahan membuatkan saya hilang kepercayaan terhadap manusia secara am. Termasuk bangsa sendiri. Sedangkan privasi data kritikal pun pihak yang sepatutnya bertanggungjawab tak mampu jaga amanah, inikan pula rahsia peribadi orang dalam bentuk cerita.

Rahsia pesakit di tangan doktor. Rahsia tertuduh di tangan peguam. Rahsia gadis terlanjur di tangan bidan. Rahsia pasangan suami isteri di tangan juruterapi rumahtangga. Dan seperti contoh dalam perenggan mukadimah tadi, rahsia murid di tangan guru kaunseling. Apatah lagi jikalau para pemegang rahsia ini secara kebetulan ikon media sosial.

Pada zaman kepesatan media sosial, semua orang mahu bercerita. Rata-rata ingin diangkat menjadi pempengaruh. Dan tak dinafi persaingan semakin hari semakin sengit. Desakan mencari bahan sensasi kian menjadi-jadi. Apa lagi buah modal sensasi dan murah dalam had capaian, selain rahsia orang lain? Terutama sekali pabila bidang kerjaya hakiki seseorang melibatkan akses terhadap maklumat sulit sebegini. The temptation is always there, of course. You just don’t do it.

Pada saya, rahsia peribadi masing-masing adalah hak eksklusif tuan tubuh. Kecuali dia sendiri yang bersedia mahu berkongsi dengan umum. Rahsia orang lain bukanlah modal murah bagi kita menagih perhatian dan sanjungan di media sosial. It doesn’t matter if you change the name of characters. The trust has been breached. Dari perspektif pemilik rahsia, anda tetap seorang pengkhianat.

Kini saya lebih selesa pendam sendiri suka duka kehidupan (kecuali apa yang saya coret ke dalam buku). Sesama teman rapat pun saya tak berani buka rahsia sebarangan. Hatta seorang. I don’t want to equip them with such an ammo. Bak kata Henry Wilson Allen (seorang penulis), “Rahsia yang disimpan itu kekal sebagai hamba. Rahsia yang dikongsi kelak menjadi tuan.”

Ada Apa Dengan Spidey?

Poster Colour Art Spiderman Fleer Ultra Blog Coretan Sang Flowerman

Hasil kerja tahun 1996. Dalam tak sedar, tanda tangan saya telah banyak berubah. Dari segi lekuk-lekuknya kini, bolehlah dikatakan semakin berseni. Namun dari segi nilai tanda tangan tersebut, masih jauh ketinggalan.

Tergelak besar saya kala terjumpa semula lukisan ini. Entah apa-apa saya lukis. Garis-garis putih di belakang Spider-man itu kononnya sabung kilat.

Secara keseluruhan, nampak sangat kerja tak habis. Seksyen penjuru kanan bawah seakan terabai. Terkenang kembali, saya memang cenderung buat kerja separuh jalan sewaktu zaman sekolah dahulu. Bercinta pun tak habis.

Apa pun jua, ini sebenarnya cubaan pertama saya memakai Buncho Poster Colour untuk melukis watak komik. Pada kebiasaannya saya gemar menggunakan marker pen berserta magic ink. Selaku cabaran tambahan, saya turut memaksa diri siapkan satu lukisan tanpa rujukan. Makna kata, guna daya imaginasi semata-mata.

Tanpa sebarang latihan formal, manalah saya tahu selok-belok anatomi otot manusia segala bagai. Otot pada badan sendiri pun tak pernah kelihatan sejak lahir gara-gara terselindung sentiasa di sebalik lemak. Timbunan lemak yang jikalau berjaya diekstrak, bisa digumpal membentuk seekor toyol European size.

Di persimpangan cerita juga, talian internet di rumah mak ayah belum ada buat saya menjejak laman rujukan. Hendak merujuk buku-buku panduan anatomi tubuh manusia terbitan Barat pula, harganya bukan murah. Dan faham-faham sajalah gambar jenis apa yang lazim disaji. Kalau mak saya terjumpa, memang sah kena balun.

Maka, anggaplah saja si Spidey bengkak-bengkak badan angkara baru disengat tebuan. Yup, that’s it. Lets go with that story.

error: Content is protected !!