Hantu Kak Limah

“Siapa yang setuju nak bakar rumah Kak Limah, sila angkat tangan macam saya…”

Sabtu, 19 Mac 2011. Genap tujuh tahun berlalu.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sedang hangat menjadi sebutan. Rata-rata semua orang memuji. Dalam komuniti kecil kelompok Melayu bawah tanah di Leeds, umum mengetahui Mat Zain ‘Hacker’ stokis terbaik filem-filem serta drama-drama tempatan dari tanahair. Dari mana dia dapat, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Dari rumah sewa Kelso, saya menapak ke Woodsley Terrace. Bersama Dr Farid dan Azmi Sapian yang hidup berjiran di situ, sesi ziarah ke rumah Mat Zain disepakati bertiga. Outing spontan dalam usaha memecah rutin melayan Xbox 360 setiap hujung minggu. Kalau tidak, para ayah sahaja yang bolot gamepad. Kasihan anak-anak tengok ternganga.

Perjalanan dimulakan sekitar jam 10 malam dari Woodsley. Kami naik kereta Dr Farid. Di persimpangan cerita, Mat Zain sedang menetap di Lunan Place, Harehills. Serumah dengan Joe Bantal Kekabu yang banyak disebut dalam buku Kuantum.

Logo Astro First yang tertera pada skrin sepanjang tayangan jelas membuktikan sumber salinan video yang kami tonton. Berbekalkan kudapan dari Chicken Cottage, filem sempoi terbaharu arahan Mamat Khalid dilayan penuh keterujaan. Lawak pun lawak. Seram pun seram. Tak dinafi, watak Usop Wilca lebih menonjol kali ini berbanding Zombi Kampung Pisang. Segala benda mahu dibakarnya.

Tayangan tamat sekitar tengah malam. Tuan rumah pun dah berpura-pura menguap dalam usaha menghalau secara sopan. Tiba masanya kami pulang. Nasib baik datang berkereta sebab servis bas awam Leeds berakhir jam 11:30 malam.

Dari parkir Woodsley Terrace, saya berjalan kaki pulang ke Kelso Road. Setiap langkah yang diambil terasa luar biasa laju. Sepanjang menapak, saya terbayang-bayang kemunculan figura berdiri senget persis adegan Kak Limah menyakat Pak Abu (lakonan arwah Zami Ismail).

Seperti yang pernah dinukilkan sebelum ini, aura seram langsung tak terasa tatkala berjalan malam di negara-negara sebelah barat. Hatta merentas tanah perkuburan. Dalam pada itu, adegan statik sekadar beberapa saat yang dimaksudkan tadi berjaya melekat dalam kepala sehingga menganggu jiwa. Seriau betul.

Andai ditakdirkan Kak Limah tiba-tiba muncul, memang saya lari dengan kasut but Karrimor di tangan.

Awie Lari Hantu Kak Limah Blog Coretan Sang Flowerman GIF

2 Replies to “Hantu Kak Limah”

Sebarang komen/pertanyaan?