Sebelum kita mulai, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan atas kesudian ditemuduga.
Eh, saya yang patut berterima kasih. Bukan selalu dapat peluang bercakap dengan diri sendiri. Tambah-tambah diwawancara pula oleh insan yang segak tampan macam saudara.
Biasalah, Tuan. Sudah terang lagi bersuluh. Orang macam saya ini sememangnya magnet pujian. Baiklah, Tuan Penulis sebenarnya ada berapa nama pena?
Setakat ini, hanya dua. Shah Ibrahim untuk karya-karya bertulis. TheMrFlowerman untuk projek-projek komik.
Dari mana datangnya nama ‘MrFlowerman’?
Sejarah asal-usul nama ini ada dirungkai secara panjang lebar dalam Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman.
Adakah Tuan seorang penulis/pelukis sepenuh masa?
Belum lagi. Namun, sudah sekian lama saya memasang impian ke arah tersebut.
Jikalau sisi ini hanya sambilan, sudikah kiranya Tuan jelaskan mengenai kerjaya hakiki dengan lebih lanjut? Maksud saya, nama majikan, alamat tempat bekerja, jawatan yang disandang, gaji bulanan, nombor pin kad ATM dan sebagainya?
Maaf, aspek-aspek yang tersenarai agak peribadi untuk saya kongsikan buat masa ini. Pabila dah bersedia kelak, saya akan cerita. Termasuk nombor pin kad ATM. Sebab memang tak banyak duit pun.
Tuan ada simpan diari? Sebab boleh tahan terperinci juga nukilan kisah-kisah lampau dalam buku-buku Tuan. Misalnya, Budak Meja Belakang dan Kuantum.
Sebagai budak lelaki yang membesar dalam era 80-an, tindakan menyimpan diari hanya mengundang bala jikalau kawan-kawan sekolah dapat tahu. Apatah lagi saham diri di mata kelompok hawa. Tentu sekali merudum jatuh. Justeru itu, saya tak berani simpan diari.
Setiap karya dikarang berdasarkan memori. Dalam pada itu, butiran spesifik seperti tarikh serta statistik saya peroleh daripada sijil, himpunan resit lama serta koleksi buku tahunan sekolah yang masih berada dalam simpanan.
Resit-resit lama pun simpan?
Ya. Saudara ada masalah dengan perkara ini?
Eh, tiada masalah, Tuan. Tiada masalah. Saya minta maaf. Mohon jangan pukul saya. OK, Pernahkah Tuan mengikuti kursus penulisan atau kelas seni lukis?
Belum pernah. Selain kelas Pendidikan Seni era menengah, saya tiada sebarang latihan formal dalam bidang seni tulis mahupun seni lukis. Latarbelakang pendidikan saya ialah kejuruteraan. Kemahiran menulis dan melukis tercorak perlahan-lahan melalui hobi masa lapang. Dengan kata lain, segalanya atas minat serta inisiatif sendiri.
Selain menulis dan melukis, Tuan ada hobi lain?
Bermain gitar. Baca komik. Bermain video game. Mengembara.
Selaku pengembara, Tuan dah pernah sampai ke mana?
Senarai negara yang pernah saya lawati boleh dibaca di SINI.
Kenapa Tuan poyo sangat merahsiakan identiti?
Secara teknikalnya, saya tak pernah menyorok identiti. Ketara jelas saya guna nama sendiri. Cuma saya memilih untuk berprofail rendah agar kehidupan menjadi tenang. Itu sahaja. Lagipun, saya mempercayai yang karya seharusnya lebih menonjol berbanding penulis. Apa yang ditulis itu penting. Siapa yang menulis tidak penting.
Bolehkah saudara huraikan maksud ‘poyo’ tadi? Saya selalu dengar tapi tak pernah faham?
Poyo? Entahlah, Tuan. Saya sendiri tak tahu. Orang lain guna, saya pun nak pakai juga. Baiklah, saya ubahsuai sedikit soalan tadi. Urm, kenapa payah sangat hendak cari gambar foto Tuan penulis? Memang sengaja bawa imej acah-acah misterius ke?
Oh, ITU rupanya isu yang sebenar. Saya dah agak dah.
Sekiranya anda sudah mendapatkan Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman, isu ini pasti tak timbul sebab kolaj foto saya ada di penghujung novel grafik tersebut. Oleh itu, di celah manakah ‘misterinya’ jikalau wajah sendiri dah didedah seawal karya pertama. Nampak sangat anda seorang jurnalis yang malas membuat homework.
Urm, Tuan kata apa tadi? Saya terlelap seketika.
— ??? (speechless dengan muka menahan geram)
Tatkala meneroka blog Tuan yang cantik berseri ini, saya agak keliru mengenai senarai karya. Nampak semacam banyak. Tetapi, berapakah jumlah keseluruhan yang sebenar?
Soalan cukup baik. Dalam hal ini, kita perlu bezakan antara karya sudah terbit dengan yang belum terbit. Karya yang sudah terbit dan kini berada di pasaran ada disenaraikan di SINI. Selain yang tersenarai di situ, segalanya merupakan projek-projek dalam pembikinan. Tak kurang juga yang percuma buat tatapan pengunjung blog yang saya kasihi.
Bagaimanakah caranya untuk membeli buku-buku Tuan?
Butiran terperinci dijelaskan di SINI.
Kenapa Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman serta Taki & Dira tiada di kedai-kedai buku?
Pembikinan dua karya terawal saya itu telah menelan kos belanja yang tinggi. Umum belum sedia maklum yang toko-toko buku utama tanahair cenderung memeras diskaun sekitar 50-70% daripada penerbit/penulis baru tanpa nama. Mengambil kira hal ini, saya bakal beroperasi dalam kerugian andai kata buku masuk kedai. Dengan kata lain, langsung tak pulang modal.
Sebab itu saya putuskan untuk jual sendiri secara pos. Pulangan modal yang diperoleh kelak diharap dapat menampung kos operasi MrFlowerman Studio bagi penerbitan karya-karya akan datang. Jangan lupa, penyelenggaraan blog ini juga pakai duit.
Bercakap soal Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman serta Taki & Dira, kedua-duanya merupakan naskhah edisi terhad. Sehabis terjual, saya tidak akan ulang cetak lagi. Jadi, lekas-lekaslah dapatkan sepasang buku ini sementara stok masih berbaki. Manalah tahu, kedua-duanya bakal menjadi collectors item kelak?
Sudikah MrFlowerman Studio menerbit karya orang lain?
Meskipun berstatus penerbit, setakat ini MrFlowerman Studio belum ada kapasiti menerbit hasil karya penulis lain.
Buat mereka yang berminat meneliti hasil karya seni lukis Tuan, apakah platformnya?
Boleh layari portfolio online saya di SINI.
Bagaimanakah caranya untuk menghubungi Tuan?
Saya boleh dicari di laman-laman sosial tersenarai di laman utama blog ini.
Terima kasih atas kesudian ditemuduga, Tuan. Saya ucapkan selamat mahu jaya. Minta diri dulu.
Sama-sama. Upah bayaran untuk sesi ini jangan lupa bank-in, ya?
Hah, dengan diri sendiri pun nak berkira?