Jom Pindah UK!

Buku Kuantum Shah Ibrahim Dalam Library Gelap

“Shah, kau tak teringin ke nak balik semula ke UK?”

Pertanyaan yang sering timbul kala bersembang dengan teman-teman rapat. Sehari dua ini makin kerap pula ekoran perkembangan terkini dunia politik di sebelah sana. Ketua Kerajaan terbaharu telah diumum. Polisi-polisi semasa bakal berubah. Dan entah apa kesannya terhadap kelompok bukan warga, ramai yang resah memikirkan. Kita tunggu dan lihat sahaja.

Andai diaju soalan di awal tadi kepada mana-mana bekas pelajar UK sezaman saya (yang telahpun selamat pulang ke tanahair), saya yakin rata-rata pantas menjawab ‘Ya’. Tanpa banyak fikir. Tak kiralah sama ada mereka lelaki atau perempuan. Bujang atau kelompok berkeluarga. Dan ini bukan soal ziarah setakat seminggu dua, OK? Tuhan sahaja tahu betapa ramai yang memasang impian mahu berpindah terus.

“So many wonderful memories, Shah” Kata mereka.

Anak kecil masing-masing pasti merindui alam persekolahan di sana. Segenggam syiling sudah cukup buat bekalan kaum ibu membeli sayur dan buah-buahan segar di supermarket. Sesibuk mana pun belajar atau bekerja, para ayah punyai banyak masa untuk diluang bersama anak isteri. Perkhidmatan awam efisyen dan mantap. Tiga musim dalam setahun tak berpeluh badan. Etc. Etc.

Dari sudut ukhwah, tak dinafi hubungan sesama ahli dalam komuniti sebangsa lazimnya lebih akrab di tempat orang berbanding di tanahair sendiri. Biasalah, resam perantau. Kala jauh, bau bunga. Kala dekat, bau tahi.

Status sosial, fahaman politik, pangkat serta latarbelakang keturunan semua ditolak ke tepi dahulu. Anak kampung dan anak bangsawan mampu bersila di lantai untuk makan bersama-sama. Sepulang kelak ke dalam akuarium bernama Malaysia, realiti hidup menyerlah jua. Enggang sama enggang. Pipit sama pipit.

Fantasi kebahagiaan menetap di UK pada saya sesuatu yang mudah berjangkit. Malah kelompok yang belum langsung pernah menjejak kaki tetap teruja setelah mendengar himpunan pengalaman orang lain. Sama ada melalui kisah-kisah lisan, penulisan buku mahupun paparan video berlatar belakang bumi sang ratu.

Kata pepatah, ‘The grass is always greener on the other side’. Lebih-lebih lagi jikalau ‘the other side’ itu merujuk kepada tempat orang putih. Betul, tak? Jarang sekali kita dengar teman-teman atau kaum kerabat yang berkobar mahu berpindah ke India atau Afrika. Mungkin ada. Namun secara perbandingan, bilangannya boleh diabaikan.

Maklum saja, orang putih cantik. Orang putih maju dan bertamadun. Orang putih pembersih yang amat. Lelaki British kesemuanya gentlemen ala-ala Colin Firth gitu. Persepsi tipikal dan naif kebanyakan orang kita.

Barangkali kerana mereka belum pernah merasa pengalaman dilempar botol kaca atau terdengar caci rasis, “Go back to your country!”. Mereka belum pernah merasa pengalaman ditahan polis. Mereka belum pernah merasa pengalaman drebar bas awam sengaja tak mahu berhenti. Mereka belum pernah merasa pengalaman cuci tandas pejabat orang putih. Minah salih pun berak bersepah dan buang tuala wanita terpakai merata-rata sehingga jamban tersumbat. Cuma aspek-aspek ini licik tersorok daripada naratif utama. Pabila berbicara tentang tempat orang putih, kelaziman naratif cenderung bias. Segalanya indah. Perasan tak?

Kembali kepada soalan mukadimah, sehingga sekarang saya masih memendam perasaan berbelah bahagi. Kembara UK suatu ketika dahulu dimulakan dengan harapan setinggi gunung. Sepanjang menetap bertahun-tahun di sana, memanglah banyak kenangan manis. Tetapi, tak kurang juga yang pahit. Setelah ditimbang satu persatu, rasa-rasanya lebih banyak koleksi pahit buat saya.

Dalam jiwa setiap perantau tak kira di mana jua dia berada, apa yang dicari tidak sama. Semua orang punyai agenda. Setiap orang ada sasaran peribadi. Segalanya bermula dengan sebuah impian. Boleh jadi apa yang anda hajati bisa ditemui di UK. Namun, itu bukanlah kesudahan cerita buat diri ini.

I survived the experience. But I didn’t find what I was searching for. Perhaps you will.

Cerita kita tidak sama.

Kuantum Shah Ibrahim Putaran Masa Takkan Berhenti Buat Insan Berhati Tisu

Prelud Balada West Yorkshire – Status Perkembangan Mac 2019

Prelud Balada West Yorkshire Sekuntum Bunga Bernama Jasmine Taxi Ride

Dear Jasmine,

Remember that fateful evening when you dozed off in the cab?

Watak Jasmine Farhana (bukan nama sebenar) pertama kali diperkenalkan dalam Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Sekadar cameo di awal naratif. Dalam buku-buku lain yang telah terbit pula, langsung tidak ada disebut. Beberapa adegan tambahan (teaser) ada saya kongsikan di blog (sebagai projek dalam pembikinan) berjudul Prelud Balada West Yorkshire.

Insan di sebalik watak ini memang wujud. Dan orangnya sangat istimewa. Dari segi garis masa (timeline), Jasmine muncul dalam hidup saya sebelum Lily (watak novel CPSF dan Kuantum). Atas takdir Ilahi, sebab Jasmine jugalah saya mengenali Lily.

Kalian yang dah khatam baca karya-karya silam saya tentu sedia maklum Shah Ibrahim hanya akan menukil kisah-kisah hubungan tak menjadi. Jasmine is another one of those. Maka tak perlulah saya beri amaran ‘spoiler alert’. The ending is pretty clear. In spite of that, the tale is still worth telling.

Perlu ditekankan, perkongsian kisah-kisah kecundang bukanlah bertujuan meraih simpati. Perkongsian saya lebih berupa memperingati. Kadang-kadang dalam kehidupan nyata ini, sepasang insan ditakdirkan tak bersatu tanpa salah siapa-siapa. Kisah cinta tak semestinya ada watak antagonis. Some things are just not meant to be.

Berbalik kepada projek…

Semahu mungkin, kembara PhD di bumi Yorkshire ingin saya lancarkan sebagai siri berasingan. Makna kata, fasa kedua sejurus berakhirnya kelak siri Budak Meja Belakang. Fuh, terasa macam Marvel Cinematic Universe pula pabila berbicara soal fasa. Tetapi, memang padan pun. Sebab Shah Ibrahim tidak banyak beza dengan si Thanos dalam Infinity War. Cuma bila saya petik jari, semua gadis yang hilang ibarat debu ditiup angin.

Thanos Snapping Fingers GIF Blog CSF

Dari sudut format penceritaan, saya berbelah-bahagi antara novel bertulis atau novel grafik. Kelompok pembaca setia sedang ternanti-nanti komik seterusnya daripada saya. Malah, kerja-kerja melukis telahpun lama bermula. Namun berdasarkan respons jualan silam, a fully written novel seems to be the best way to go.

Cepat siap. Kos terbit lebih rendah. Dan pasaran jauh meluas. Apakan daya, tak semua orang sudi baca komik.

Lantaran itu, kemungkinan besar siri jelajah bumi Yorkshire akan lahir sebagai novel bertulis (meskipun teaser serta sedutan belakang tabir yang pernah saya kongsikan berkaitan projek ini rata-ratanya berbentuk komik).

Dalam hal sebegini, saya harus bersikap praktikal. Pengkarya wajar menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran.

Sekuel Buku Kuantum

Kuantum Shah Ibrahim on Plywood

Buku Kuantum akan ada sekuel tak?

Terima kasih kalian yang mesej bertanya.

Jawapan mudahnya, tidak. Sebab Kuantum adalah catatan penutup kembara saya di benua Eropah. Sekaligus merupakan kemuncak perjalanan epik pendakian menara gading yang bermula dari buku pertama siri Budak Meja Belakang.

Jikalau umur panjang dan semangat menulis masih ada, insyaAllah fasa seterusnya bakal menyusul dalam bentuk catatan kembara alam kerjaya pula di zon-zon lain.

Cuma jauh sebelum itu, saya perlu menyiapkan beberapa judul terlebih dahulu untuk mengisi ruang lompatan masa antara BMB dan Kuantum.

Dengan kata lain, catatan kembara selepas ini hanya akan muncul mengikut turutan. Saya berpendapat, ini langkah terbaik dalam memelihara aspek continuity.

Kalian yang membaca pun tidaklah pening nanti. 😅

Woodhouse Moor Tennis Court

Kuantum Shah Ibrahim Woodhouse Moor Tennis Courts

Kebanyakan pelajar University of Leeds yang menetap berhampiran Hyde Park cenderung menggunakan taman ini sebagai laluan pintas tatkala berulang-alik antara rumah dengan kampus.

Dari udara, tujuh lorong kelihatan merentas taman nan luas ini dari pelbagai hujung. Kesemuanya bersilang di pusat Hyde Park. Umum sedia maklum, ini sememangnya lokasi berbahaya. Paling dalam (jauh dari jalan besar). Paling gelap (hatta siang). Paling tersorok (kerana banyak pokok). Siang hari, keseraman tidaklah ketara sangat ekoran ramai orang berlalu-lalang.

Pada sebelah malam semoleknya dijauhi. Tanpa sebarang lampu di situ, macam-macam hal boleh terjadi. Maka, adalah lebih afdal buat seseorang menyusuri perimeter taman semata-mata. Ini bukan soal takut terserempak dengan sepupu-sepapat Kak Limah. Sebaliknya, kejahatan manusia. Termasuk pondan brutal. Hakikatnya, serangan seksual tidak memilih jantina.

Anyway…

Setiap kali merentas Hyde Park untuk pulang di kala siang, cabang dalam foto ini akan saya lalui secara spesifik. Di hujung lorong kita akan bertemu dengan Moorland Road, pintu masuk Hyde Park paling hampir dengan kediaman sewa saya di persimpangan cerita (Kelso Road).

Bangunan seakan rumah kecil di sebelah kiri itu stor tukang kebun (kalau tak silap memori). Di sebelah kanan itu pula gelanggang tenis terbuka untuk orang awam. Besar juga. Ada enam buah gelanggang kesemuanya.

Terus terang kata, saya langsung tak minat bermain tenis. Tetapi saya gemar menonton. Tok! Tok! Tok! Entah apa penjelasannya, bunyi bola tenis melantun sungguh mendamaikan. Berbekalkan set ayam goreng daripada Mahmood’s (klon McD), saya akan singgah melepak seketika di bangku tepi gelanggang selaku sesi terapi. Buang segala geram eksperimen PhD yang tak menjadi sebelum balik rumah.

Oh, ya. Kalian yang memiliki naskhah Kuantum, bolehlah selak kembali. Ini latar lokasi bab TEMAN (m/s 44). Cuma di dalam buku, kejadian berlaku sewaktu kemuncak musim luruh. Sedangkan foto ini pula rakaman awal musim bunga. Ada pepohon cherry blossom tersorok di sebalik tembok daun (sebelah kiri), jika kalian perasan.

Sayang sungguh, foto ini tidak berpeluang masuk buku. Woodhouse Moor Tennis Court sememangnya dekat di hati. Menjadi saksi satu detik manis dalam hidup ini.

Resipi Beriani Flowerman

Kuantum Shah Ibrahim Rempah Beriani Kambing Shan

Seakan jodoh, rempah ini muncul dalam pasaran pada tahun kelahiran saya. Namun, kami hanya berpeluang bertemu buat pertama kali pada tahun 2004. Shan, jenama serbuk rempah dalam kotak yang pastinya tidak asing bagi warga Malaysia di UK. Selama di US, saya tak pernah nampak pula rempah ini di kedai-kedai Arab mahupun Pakistan. Boleh jadi ada, cuma mata saya yang ralit mengusyar benda-benda tak patut.

Rempah jenis serbuk ternyata popular semasa persiapan kenduri. Makna kata, agenda masak kuantiti besar. Setakat skala kecil, lazimnya orang guna rempah jenis pes dari balang sahaja. Misalnya, beriani di restoran Pakistan. Pes digaul bersama basmati ala-ala nasi goreng. Sedekad lepas, harga sepinggan di West Yorkshire sekitar GBP5. Rabak poket buat penggemar beriani seperti saya.

Sekadar gambaran nilai wang, GBP5 adalah upah kerja sejam kami pencuci sambilan pada sebelah malam. Kais pagi, makan pagi. Sental jamban, dapatlah beriani. Realiti ini memaksa saya belajar masak sendiri. Apakan daya, hidup belum ada suri.

Menyewa di apartmen orang putih yang berventilasi hampeh serta berpenggera maha sensitif, sebarang aktiviti goreng-menggoreng (kecuali goreng gitar) terpaksa saya elakkan. Secara tak langsung, terbantut hajat guna pes beriani. Sayang sungguh, sebab ini kaedah paling pintas.

Mujurlah Abang Mandarwis Beeston memperkenalkan saya kepada rempah kotak dalam foto (masak guna serbuk, asap yang terhasil tak banyak). Buat kalian yang belum kenal insan legenda ini, Abang Man chef tetap segala jamuan besar peringkat komuniti Malaysia di Leeds. Sememangnya titik rujukan terbaik.

Asas beriani (if there is such a word) saya pelajari daripada Abang Man. Kemudian, saya gatal tangan bereksperimen. Mix and match. Sampailah dapat komposisi yang sebati dengan tekak sendiri. Dalam banyak-banyak rempah yang pernah dicuba, rempah kambing paling saya suka. Secara kebetulan, ini yang paling pedas. Masak beriani ayam pun saya pakai rempah ini.

Mula-mula, panaskan ghee dalam periuk. Selepas itu, tumis bawang merah, bawang besar, halia dan cili hijau. Kemudian, tuang serbuk sesedap rasa. Berapa lamakah perlu tumis, anda bertanya? Saya tumis setakat mata mula pedih dan sebelum smoke detector apartmen berbunyi.

Agak-agak tumisan dah cantik, saya masukkan pula isi ayam atau kambing. Kambing percuma selalu juga saya dapat kerana warga Malaysia di Leeds rajin buat aqiqah anak-anak. Maksud saya, daging kambing. Kambing hidup, saya nak buat apa?

Pabila isi daging dah cukup masak, sajian di persimpangan ini sekilas pandang dan macam lauk pekat yang sedia dibalun. Diturutkan hati, mahu sahaja serbu terus. Tetapi, saya kuatkan iman. Sabar dahulu. Ayuh, kita tuang air. Sekarang dah berupa gulai pula. Sekali lagi, terasa macam nak serbu. Lekas-lekaslah masukkan beras sebelum ‘gulai’ tadi licin dihirup.

Oh, ya. Saya masak nasi atas dapur. Bukan pakai rice cooker (sebab ada sejarah hitam bersama perkakas ini). Hal ini ada diceritakan dalam BMB: Pax Americana (bakal menemui anda sedikit masa lagi).

Dari segi sukatan beras, saya pakai nisbah 1:2 (jikalau guna beras basmati). Secawan beras pasangannya dua cawan air. Memadai guna air paip. Jangan pula guna air sirap.

Api di kala ini seeloknya diperlahankan. Sementara menanti nasi kering, periuk akan saya putar dari semasa ke semasa. Takut dasar berkerak. Sambil itu, nasi digaul. Fuh, aroma yang terhasil di kala ini cukup menggoda. Sampai tahap periuk pun mahu ditelan sekali.

Api dibiar hidup sehingga daging betul-betul lembut. Jikalau daging hancur pun tak mengapa. Lebih mudah digaul kelak. Maka, terhasillah resipi memikat ibu mertua.

Bab kawal api periuk kawah sememangnya mengambil masa lama sebelum cekap. Terlajak tanak, nasi jadi biskut. Jadi, usahlah bertanya mengapa saya jarang menjamu orang.