Perihal Berkongsi Peti Ais

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman perihal berkongsi peti ais
Ada masanya kita harus tegas. Dan ada kalanya pula kita perlu mengalah.
Pengalaman tinggal sebumbung bersama bangsa asing telah banyak melatih saya berkompromi. Hal remeh seperti berkongsi peti sejuk cukup buat mencetus konflik (andai dibiarkan terus melarat).
Sebagai contoh, kawan-kawan Hindu tak makan daging lembu (tapi bukan isu najis). orang Islam pula tak makan babi (yang kita anggap najis). Sedangkan ini mungkin menu ruji teman-teman serumah beragama lain. Paket ham slices yang terbuka diselit begitu saja di kompartmen telur serta keju.
Itu belum masuk lagi bab alkohol. Ramai house mate saya dahulu yang meneguk arak mengalahkan air kosong. Peti sejuk kami sarat dengan tin bir. Termasuk stok separa minum. Kadang-kadang tertumpah sedikit atau meleleh sisanya.
Persoalan sekarang, bagaimanakah caranya masing-masing berkongsi peti sejuk nan satu tatkala menyewa bersama? Berhakkah mana-mana golongan ‘mengharamkan’ item-item tertentu? Membeli peti ais sendiri bukanlah penyelesaian murah. Lagipun, ruang dapur tersedia sempit.
Penyelesaian termudah ialah berpindah keluar dan hidup sesama Muslim. Tapi saya sendiri yang mahu merakam memori serta menghimpun pengalaman berharga, alang-alang dah berpeluang merantau melihat dunia. Selagi tak melibatkan jantina lawan, saya tak fikir hasrat ini suatu dosa.
Saya percaya yang kita hanya mampu menyelami isi hati seseorang secara efektif menerusi dua cara sahaja. Tinggal sebumbung. Atau bermusafir bersama. Siapa kata hidup sesama kelompok seagama/sebangsa terjamin tiada konflik?
Berbalik kepada isu peti ais kongsi tadi, pembahagian partition dilihat sebagai idea terbaik. Setiap aras peti sejuk kami khususkan buat setiap penghuni. Bahan mentah yang ingin disimpan di dalam peti mesti menggunakan tupperware atau bekas bertutup rapi. Mujurlah serumah pakat bersetuju.
Dalam pada itu, saya sendiri memilih untuk mengabai terus peti sejuk tersebut gara-gara masih waswas.
Untuk membancuh kopi, saya beralih daripada susu sejat kepada serbuk creamer (sebab tak memerlukan simpanan sejuk). Bahan mentah basah seperti daging dan sayur pula dibeli cukup-cukup setiap kali terasa rajin memasak. Terpaksalah saya berulang-alik ke pasar setiap hari (Leeds Kirkgate Market atau pasar raya Morrisons). Terasa macam suri rumah pula.
Sekali-sekala, saya akan memasak lebih atas niat menjamu teman-teman serumah bukan Islam. Saya ada periuk belanga sendiri. Cuma tersimpan licik di bilik tidur bagi mengurangkan risiko tercemar di dapur. House mate dari Latvia minat beriani kambing saya. House mate Kristian dari Afrika suka nasi goreng pedas-pedas. House mate dari Taiwan jatuh cinta dengan cucur bawang. Saya tersenyum bangga (walaupun masakan tidaklah sesedap mana).
Now, here’s the best part:
Orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi kita merasa.
Apakah alasan menolak yang wajar dan patut saya berikan, setiba house mates pula bermurah hati menjamu saya dengan air tangan masing-masing? Sumber bahan mentah satu hal. Perkakas yang belum disertu juga satu hal.
Saya tak tergamak menyinggung perasaan. Niat mereka baik. Dalam masa yang sama, saya enggan menampakkan Islam terlalu rigid.
Payah sebenarnya menjadi ‘duta kecil’ kepada agama. Realiti yang perlahan-lahan saya mula faham.

Lembaga di Bawah Meja

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman budak kecil bawah meja
Perhatian khusus harus diberi terhadap ruangan reception setiap kali operasi pembersihan berlangsung. Maklum saja, inilah ruang pertama menyapa mata para pelawat yang berkunjung ke bangunan kami.
Setiap kali pintu kaca automatik terbuka, daun-daun kering dan sampah-sarap berterbangan masuk begitu mudah ke dalam premis. Tiupan angin West Yorkshire boleh tahan juga kencangnya.
Semenjak hari pertama mula bekerja, tugasan membersih ruang reception telah dipertanggungjawabkan kepada saya. Urusan ini bukanlah sesuatu yang membebankan sangat. Ruangan kecil. Sekejap saja boleh siap.
Memandangkan pak guard yang bertugas akan berpengkalan di meja reception setiap malam, operasi kemas-mengemas hanya dapat saya lancar setelah pak guard beredar untuk membuat rondaan berkala.
Pada suatu syif malam, pak guard yang bertugas ialah seorang Pakistan (warga UK). Selain daripada waktu dia meronda, saya juga berpeluang membereskan ruang reception setiap kali dia pergi solat.
Saat saya mengalihkan kerusi untuk memvakum ruang bawah meja, jantung saya hampir tercabut melihat kelibat orang kecil. Figura itu mencangkung bisu sambil matanya tajam merenung saya. Saya sangkakan toyol atau Toshio (anak hantu Ju-On).
Setelah disiasat, rupa-rupanya anak pak guard. Mujur saya tak terajang dipacu refleks.
Aduhai, kenapa pula sorok anak di bawah meja? Saya bertanya sekembali pak guard tadi dari rondaannya. Menurut pak guard, bininya ada urusan di luar. Ketiadaan pengasuh mendesaknya supaya mengusung sekali si anak ke sini. Tambahnya lagi, perbuatan ini sama sekali menyalahi protokol. Malah, dia telah berulang kali diberi amaran keras oleh pihak pengurusan.
Gara-gara takut dibuang kerja andai penyelianya tampil buat spot check, langkah selamat ialah menyorok anak di bawah meja sehingga habis syif. Kasihan budak lelaki itu. Berpeluh-peluh. Dia bukannya menganggu sesiapa pun.
Dua pengajaran besar saya peroleh daripada insiden ini.
Pengajaran pertama: Meskipun kasta pak guard lebih tinggi berbanding kami tukang cuci dalam hierarki organisasi, mereka juga manusia biasa. Ada anak bini. Sibuk cari makan. Kalut dengan kehidupan.
Pengajaran kedua: Barulah saya tahu meja reception itu berada di salah satu blind spot yang tersorok daripada liputan cctv.

3 Bulan Bersama si tuan hakim

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman hidup bersama tuan hakim
Selama empat penggal saya menghuni hostel sewaktu bergelar pelajar di Leeds.
Setiap penggal, saya berpeluang hidup bersama empat wajah asing. Habis satu penggal, masing-masing yang ingin melanjutkan kontrak sewa akan diagih ke blok-blok lain secara rambang. Menjadikan jumlah teman serumah yang sempat saya kenal seramai 16 orang.
Pelbagai usia. Pelbagai agama. Pelbagai negara. Dan tentulah bermacam ragam. Namun, kesemua mereka lelaki. Sebab saya tak pilih blok co-ed yang bercampur. Payah fokus nanti (if you know what I mean).
Dalam pada itu, saya tiada kuasa melarang teman-teman serumah yang mengusung perempuan. Kadang-kadang sewaktu saya bangun untuk berwuduk Subuh, tak semena-mena bertembung dengan makwe di bilik air.
Cukuplah setakat empat penggal untuk saya himpun pengalaman, walaupun garis penamat pengajian masih jauh (di persimpangan cerita). Saya akhirnya serik dan memutuskan untuk menyewa seorang diri di studio apartment sahaja. Lebih aman. Kurang drama.
Sewaktu menghuni hostel, teman serumah yang seagama pun menyeksa jiwa dan raga.
Saya masih ingat salah seorang. Lelaki Iraq berusia 54 tahun. Pada waktu itu, saya pula baru awal 20-an. Setelah bertaaruf, baru saya maklum yang dia seorang hakim besar di Iraq. Terbang ke Leeds untuk kursus intensif Bahasa Inggeris selama 3 bulan. Tiga orang lagi teman serumah kami pula berasal dari Korea Selatan, India serta Latvia. In-Hyuk, Puneet dan Vladimir. Nama sebenar.
Walaupun saya dan tuan hakim sama-sama Islam, saya lebih ngam dengan tiga orang yang lain itu. Terutama sekali In-Hyuk yang bersungguh-sungguh nak ‘adjust’ saya dengan awek Korea. Sedangkan saya dapat merasakan yang awek-awek Korea langsung tak berminat dengan seseorang yang berwajah mamak. Ini motivasi kuat buat saya mengumpul dana untuk plastic surgery.
(Maaf, tak sengaja melalut pula. Kembali semula ke topik asal…)
Ruang tandas, bilik mandi, dapur serta koridor flat kami saban hari semakin kotor. Tidak menghairankan sangat kerana sejak hari pertama berpindah masuk, belum pernah dibersihkan lagi. St. Mark’s Residences berkadar sewa paling murah. Khidmat pencuci tidak disediakan oleh pihak pengurusan hostel. Maknanya, kenalah usahakan sendiri.
Seseorang harus tampil mengambil inisiatif. Saya mengajak In-Hyuk, Puneet, Vladimir dan tuan hakim untuk berbincang mengenai pembahagian tugasan mencuci. Gotong-royong berlima setiap hujung minggu. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bukankah semoleknya begitu?
Semua sepakat bersetuju menyumbang tenaga kecuali si hakim. Seiring pangkat, dia berpendapat bahawa kerja-kerja mencuci suatu penghinaan kepada golongan elit sepertinya.
“No No No… I am judge. I no clean!”
Ini hujah tuan tubuh sendiri berapi-api dalam tutur kata Inggeris yang tunggang-langgang. Tanpa rasa bersalah, dia meninggalkan perbincangan lantas masuk semula ke bilik dengan selamba.
Kami yang lain tergamam seribu kata. Apakan daya, agihan tugas mencuci terpaksa kami kongsi berempat sahaja. Sebagai orang Islam, saya tersangatlah malu.
Pernah sekali saya ternampak si hakim bertegang leher dengan Puneet. Mereka nyaris bertumbuk. Setelah disiasat, punca konflik mula jelas. Puneet ingin memasak. Tetapi kolam singki dipenuhi perkakas dapur milik tuan hakim yang sudah lama terperam, berbau dan semakin bertimbun. Puneet kemudiannya (secara baik) memohon si hakim agar mengalihkan timbunan tersebut supaya singki dapat digunakan oleh orang lain.
Malang sekali, si hakim berkeras enggan memberi kerjasama. Katanya, dia hanya akan membasuh perkakas peribadi apabila perlu digunakan semula. Macam biasa, dia akan lari masuk bilik. Belum dikira lambakan cenderamata terapung yang dia suka tinggalkan dalam jamban. Panjang lagi senarai onarnya. Saya malas nak cerita.
Nyaris saya mencadangkan agar kami menyerkup si hakim dengan guni beras sebelum dibantai beramai-ramai. Alhamdulillah, akal saya masih lagi waras untuk kawal emosi. Selama tiga bulan kami berempat yang lain bersabar. Setiba masa, sang hakim pun pulang jua. Malam pertama setelah dia berlepas, kami raikan dengan jamuan gah.
Maka tepatlah kata-kata berikut yang selalu saya dengar…
Baik lelaki mahupun perempuan, kita hanya berupaya kenal sisi sebenar seseorang setelah bermusafir bersama ATAU tinggal sebumbung.

Solat Itu laksana Pendinding

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman bersolat dalam stor
April 2008.
Semenjak hari pertama bekerja sebagai tukang cuci di tempat baharu (Oktober 2007), saya akan bereskan solat Maghrib sebelum meninggalkan hostel. Isyak pula tiada masalah. Waktu panjang. Menuju ke musim panas, senja kian lewat menjengah. Setiba fasa tersebut, solat Maghrib terpaksa ditunaikan di tempat kerja. Tiada pilihan.
Selama satu minggu, saya curi-curi bersolat di bilik mesyuarat aras utama sambil membersihkannya. Berdasarkan keadaan meja yang bersepah serta kerusi tunggang-langgang, saya fikir ‘line clear.’ Bilik mesyuarat tentu sudah habis diguna pakai. Kepingan surat khabar saya jadikan alas sujud.
Pernah sekali, seorang staf mat salih masuk semula ke bilik mesyuarat kerana tertinggal barang sewaktu saya sedang bersolat. Nampak sangat sembahyang tak khusyuk, kan? Apakan daya jikalau satu-satunya ruang kosong yang berbaki serta arah kiblat pula betul-betul menghala ke pintu.
Ekoran insiden tersebut, saya ditegur oleh Puan Pengurus (orang putih juga) kerana disifatkan mencuri tulang. Sahih, staf tadi yang buat aduan.
Semenjak itu, stor besar di tingkat teratas bangunan dilihat sebagai lokasi paling strategik buat saya dan rakan-rakan Muslim bersolat. Stor ini berkeluasan satu aras penuh! Tanpa tingkap. Siang hari pun perlu pasang lampu.
Oh, ya. Pasti timbul persoalan. Kenapa tak solat saja terus dari mula di stor ini?
Yang lecehnya, stor besar memerlukan kad akses khusus. Harus dipohon melalui kaunter pak guard. Setiap aras lain dah ada stor-stor kecil (bersaiz almari pakaian). Stok barang di stor kecil lebih daripada mencukupi buat keperluan cleaner. Dengan kata lain, justifikasi perlu diberi mengapa tiba-tiba kami mahu masuk stor besar.
Sekurang-kurangnya, staf pejabat tidak dibenarkan memasuki stor besar. Jadi, geng cleaner tidak perlu risau gangguan daripada kelompok ini. Dalam pada itu, Puan Pengurus pasukan kami tetap akan naik juga ke stor besar secara berkala untuk tujuan spot-check atau pemeriksaan inventori. Namun, bukanlah setiap malam.
Solat Maghrib dilaksana secara bergilir-gilir. Sebab nampak aneh jikalau tiba-tiba semua cleaner Muslim hilang serentak. Pak guard pula bertugas mengikut giliran syif sesama mereka. Dalam kalangan pak guard, ada juga spesis kaki report. Jadi, kami perlu lebih berhati-hati.
Sehelai sejadah turut ditinggalkan di stor besar. Aspek paling tak best, arah kiblat di ‘surau’ kami juga menghala tepat ke pintu. Aduh! Seterusnya menambah debar andai pintu tiba-tiba dikuak dari luar sewaktu bersolat.
Sebagai ikhtiar menambah khusyuk, saya secara peribadi akan menyusun kotak-kotak berisi barangan seperti stok tisu tandas dan cecair pencuci secara bertingkat-tingkat di sekeliling. Kata orang, solat itu laksana pendinding. Saya pula membina dinding sebelum bersolat.
Mahu tambah selamat lagi, lampu stor turut saya matikan. Ya, bersolat Maghrib dalam gelap macam orang qiamullail. Saya cuma berharap tiada makmum misteri yang tiba-tiba muncul bertelekung seperti dalam filem-filem Indonesia.
Maklum sajalah… Aras terbiar yang jarang dimasuki manusia.

Busana Clubbing Awek British

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman clubbing baju kelawar
Tahun 2008.
Saya memiliki pas mingguan bas tambang. Harus dibeli setiap minggu pada harga GBP7. Walaupun saya menetap di hostel berhampiran kampus, pas ini tetap berguna buat saya berulang-alik ke pusat bandar Leeds setiap hari untuk syif kerja cleaner. Jimat banyak.
Hari Jumaat malam Sabtu istimewa sedikit. Maklumlah, pintu gerbang memasuki cuti hujung minggu. Untuk pergi ke tempat kerja, saya tetap menaiki bas. Supaya tak lambat mendaftar masuk di kaunter pengawal. Cuma selepas syif, saya lebih gemar menapak pulang.
Dari tempat kerja, saya akan melencong jauh ke restoran Zam Zam terlebih dahulu untuk tapau beriani kambing. Reward of the week. Ya, memanglah tak elok makan berat sebegini lewat malam. Tapi saya kerja buruh, okey? Dan perjalanan pulang ke hostel pula mengambil masa setengah jam mendaki bukit. So, it’s justified. Haha. Please don’t judge.
Jumaat, 20 Jun. Fenomena Summer Solstice. Tempoh siang terpanjang di bumi UK buat tahun 2008 jatuh pada tarikh ini. Hampir 17 jam lamanya. Sempena suasana istimewa, pak guard tiba-tiba baik hati mahu melepaskan kami staf pencuci setengah jam lebih awal. Off the record, katanya. Buku rekod kedatangan tetap ditanda tangani seperti biasa: Clock out 10pm.
Rezeki jangan ditolak.
Saat kami melangkah keluar bangunan beramai-ramai, matahari belum pun terbenam sepenuhnya. Situasi yang jarang dinikmati tatkala syif malam. Saya sengaja memperlahankan langkah berjalan pulang dalam usaha menikmati keindahan senja. Subhanallah. Langit oren pekat begitu cantik sekali. Persis latar belakang filem sains fiksyen.
Sewaktu memintas lorong belakang bangunan pawagam The Light, saya terpandang sesuatu yang aneh. Sekumpulan gadis British sedang beratur menunggu giliran untuk masuk ke dalam kelab malam TigerTiger (ejaannya begini). Masing-masing berbaju kelawar! Ya, memang sah busana tersebut. Adik-beradik saya semua perempuan. Jadi, saya dah hafal kesemua corak dan warna baju kelawar dalam pasaran.
Berbalik kepada kelompok British tadi…
Ruang bawah lengan masih lagi luas menampakkan ketiak setiap kali tangan mereka terangkat. Sementara labuhan kain pula dicantas ke paras lutut. Outfit turut digayakan dengan anting-anting gergasi berserta tali pinggang besar. Geli hati saya! Perempuan Malaysia buat pakai tidur malam. Perempuan British buat pakai pergi clubbing.
Boleh jadi mereka beli sewaktu melancong ke Malaysia. Atau pakaian tersebut sekadar dipinjam daripada kenalan-kenalan Malaysia di UK. Apa pun jua, hati saya meronta-ronta ingin tahu nama outfit tersebut di bumi sang ratu.
Bat clothes? Buruk benar bunyinya.
Bat suit? Macam seragam Batman pula.
Errr… Entahlah. Your guess is as good as mine.
error: Content is protected !!