Novel Kifayah Terpilih Untuk 50 Best Malaysian Titles For International Rights 2024-2026

Novel Kifayah Shah Ibrahim 50 Best Malaysian Titles For International Rights 2024-2026
Another milestone.
Saya baru terima maklum daripada pihak penerbit yang novel KIFAYAH kini tersenarai dalam ‘50 Best Malaysian Titles For International Rights’.
Syukur, Alhamdulillah. Berita gembira yang muncul pada saat tepat tatkala motivasi saya sedikit merudum gara-gara tiada rezeki dalam DUA sayembara penulisan terbesar tahun ini. 
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam pembikinan KIFAYAH. Merangkumi Cik Puan editor, pasukan R&D, ilustrator kulit buku, pasukan publisiti/pemasaran Karangkraf dan lain-lain yang barangkali saya terlupa sebut.
Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada kawan-kawan yang sudi mencapai buku ini di kedai, memberi maklum balas positif serta mempromosikan karya saya kepada kaum kerabat. Sokongan kalian besar nilainya.
Tanpa pembaca, siapalah penulis.

Novel Kifayah Shah Ibrahim terpilih untuk 50 Best Malaysian Titles For International Rights 2024-2026

p.s.
Karya terbaharu dalam pembikinan sedang gigih saya siapkan. Harap-harap sempat terbit dalam tahun 2026 juga. Sekadar pembayang awal yang saya bersedia kongsi, latar cerita kali ini melibatkan Malaysia di kemuncak era gawat 90-an. Masih seputar kembara road trip. Aspek lain, kita biar saspen dahulu.

Perasaan Buku Masuk Kedai

Novel Kifayah Shah Ibrahim di rak kedai

Apakah perasaan saya tatkala melihat karya sendiri terpamer di kedai-kedai buku? Jawapan setiap penulis tentu sekali berbeza.

Kifayah merupakan buku solo saya yang ke-4 memasuki toko buku. Terus terang kata, perasaan yang berbaur itu serupa saja bak kali pertama.

Lega… Setelah berjaya menyiapkan sebuah lagi manuskrip.

Syukur… Kerana ada pihak yang sudi menerbit.

Risau… Melihat hasil fizikal (kecacatan pembukuan, muka surat hilang, kesilapan teknikal dan seumpamanya).

Debar… Menanti reaksi/penerimaan pembaca.

Panik… Apabila para penyokong tegar mendesak supaya karya seterusnya disiapkan segera.

Novel Kifayah boleh didapati di MPH, Popular Bookstore, Kinokuniya, Karangkraf Mall serta platform Shopee.

Novel Kifayah Special Edition

Novel Kifayah Shah Ibrahim Edisi Bahasa F
Perfertafamafa kafalifi dafalamfam sefejafarahfah pemfembufukufuanfan nefegafarafa.
Dufuafa kafalifi ganfandafa lefebihfih tefebalfal dafarifipafadafa efedifisifi afasalfal. Gafarafa-gafarafa lamfambafakanfan sufukufu kafatafa yangfang takfak perferlufu.
Bofonusfus: Prafrakafatafa isfistifimefewafa dafarifipafadafa Afamyfy Masfastufurafa.
Sefelafamatfat Memfembafacafa!
Enfentahfah bifilafalahfah afakanfan terferbitifit.

Permohonan Dana PNM untuk novel Kifayah

Novel Kifayah Shah Ibrahim Permohonan Dana Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Dana Pembelian Terus Buku-Buku Karya Penulis Tempatan atau ringkasnya ‘Dana PNM’ menjadi dambaan setiap penulis Malaysia yang ada karya baharu saban tahun.

Bagi kelompok pengkarya yang terpilih, kerajaan akan membeli sejumlah buku (beberapa ratus naskhah sekali harung rasa-rasanya) untuk diedar ke perpustakaan serata negara. Secara langsung menjana pendapatan tambahan buat penulis.

Saya sebenarnya dah pernah cuba memohon dana ini sejak buku solo pertama tahun 2012 dahulu. Disusuli 4 judul susulan. Lima buku kesemuanya saya pohon. Tiada rezeki terpilih.

Selalu juga terdengar luahan rakan-rakan penulis lain yang gagal terpilih gara-gara permohonan mereka tak sampai. Dalam hal ini, saya agak bernasib baik. Sekurang-kurangnya setiap permohonan saya tak hilang, walau dipos ke KL dari Johor. Saya tahu permohonan selamat sampai menerusi makluman e-mel serta surat rasmi daripada pihak Perpustakaan Negara (PNM) yang mengatakan karya saya sedang dipertimbang.

Namun begitu, kelima-lima permohonan tersebut (2012-2019) tetap gagal. Termasuklah siri Budak Meja Belakang. Boleh tahan sengit juga persaingan, rupa-rupanya. Memang frust. Tahun 2019 kali terakhir saya memohon.

Langkau masa beberapa tahun ke depan. Sekarang dah 2025. Saya baru keluarkan buku solo ke-6. Hampir terlupa tentang kewujudan dana ini. Apa salahnya mencuba lagi, kan?

Cuma kali ini saya pergi terus ke PNM untuk serah permohonan. Manalah tahu, ada rezeki berkat doa sempena hari Jumaat. Lagipun, saya dah asapkan sampul surat dengan kemenyan.

error: Content is protected !!