Salam perkenalan para tetamu yang dihormati sekalian,
Nama saya Shah Ibrahim. Teman-teman rapat panggil Shah. Walau bagaimanapun, diri ini lebih dikenali sebagai TheMrFlowerman dalam kalangan penggiat komik Malaysia. Gelaran bersempena watak komik ciptaan saya sendiri.
Saat berjinak dengan dunia penulisan novel pula, saya memutuskan untuk guna nama sendiri selaku nama pena, memandangkan dewasa ini sudah terlalu banyak ‘Mr’ pada judul novel-novel Melayu. Saya tidaklah mahu menambah statistik.
Dari segi genre, fokus penulisan saya lebih menjurus ke arah bukan fiksyen. Lebih spesifik lagi, motivasi belajar serta travelog yang rata-ratanya mengambil inspirasi daripada kehidupan peribadi. Dalam buku-buku saya, tema berulang yang sering diangkat ialah cabaran berkelana di persekitaran baharu.
Selaku pelukis serta kartunis sambilan, saya sudah menerbit sendiri dua judul novel grafik. Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012) disusuli Taki & Dira (2013). Dari skrip, lukisan, pendakwatan, pewarnaan sehinggalah ke letak huruf, segala aspek saya buat sendiri. Bak kata orang putih, a one-man-show.
Dari semasa ke semasa, saya turut menghasilkan karya bukan komik di bawah panji penerbit-penerbit lain. Misalnya, siri ‘laku keras (bestseller)‘ Budak Meja Belakang terbitan Komrad Buku serta novel Kuantum (2017) terbitan Dubook Press. Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir (2018) pula merupakan penglibatan pertama saya dalam projek kompilasi bersama penulis-penulis lain.
Sebagai pelengkap laman rasmi berbahasa Inggeris, blog ini saya wujudkan dalam usaha menghimpun hasil tulisan yang pernah dimuat naik ke media sosial. Umum tahu, payah juga hendak mengorek serta membelek kembali nukilan-nukilan silam yang cenderung tenggelam di Facebook.
Di samping itu, banyak juga nukilan khas yang ditulis eksklusif untuk blog ini. Lantaran itu, rajin-rajinlah singgah bagi mengetahui perkembangan terbaharu projek-projek terkini 🙂
Semoga kewujudan arkib tersusun ini memberi keselesaan kepada sahabat-sahabat baharu yang berminat menyelusuri perjalanan seorang insan kerdil dalam industri penulisan yang semakin hari semakin mencabar. Semua orang bermula dari sifar. Semua orang boleh berjaya. Termasuk anda.
Komen, kritikan serta cadangan penambahbaikan sentiasa dialu-alukan. Oh, ya… Jikalau kalian terjumpa sebarang permasalahan teknikal di laman ini (broken link, imej hilang dan seumpamanya); mohon ajukan kepada pihak admin.
Sekian, terima kasih.
Tanpa pembaca, siapalah penulis.
Yang benar,
Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman
Pengasas & Pemilik
MRFLOWERMAN STUDIO [SSM Reg Num: 002172890-K]
6 April 2018 (tarikh pelancaran blog)