Pemandangan dari jendela ruang tamu aras dua studio flat beralamat 30 Kelso Road. Hari-hari terakhir 2010 menuju ke tahun baharu. Persekitaran Leeds sunyi sekali mengenangkan warga tempatan yang masih beraya di kampung halaman masing-masing. Kampus ditutup sepenuhnya. Termasuklah makmal dan perpustakaan.
Secara kebetulan pula, West Yorkshire dikejutkan dengan salji tebal yang dah sedekad tak kunjung tiba. Ramai juga penumpang pesawat terkandas di Eropah. Malah, pelajar-pelajar Malaysia yang sedang bercuti di sana turut sama tersadai. Total grounding. Saya bernasib baik kerana sempat pulang dari Paris pada hari pertama salji menggila (Rabu, 1 Disember).
Sekembali di Leeds, tak banyak aktiviti pun boleh dibuat. Nuansa suram langsung tak mendorong sebarang bentuk aktiviti akademik. Hendak membaca malas. Hendak menganalisa data pun tiada semangat. Lagipun, otak tepu. Sesekali perlulah berehat. Masa terluang dihabiskan menonton siaran ulangan drama Melayu secara online.
Maraton pasti tak lengkap tanpa kudapan. Maklum saja, cuaca sejuk pantas mengundang rasa lapar. Mujur stok mi segera saya banyak. Menetap di Perkampungan Awek Melayu Kelso, pembekal tetap saya pada waktu itu seorang adik Junior bernama Shafinaz (Pinat). Boleh dikatakan kesemua stok mi perencah tomyam dalam simpanannya saya angkut. Saya borong bukan untuk diniagakan semula. Tetapi untuk mengisi perut sendiri. Sekali makan, sekurang-kurangnya dua bungkus terus. Sungguh tak sihat, saya akui.
Terkenang kembali, kenikmatan memakan mi tomyam panas berasap ditemani drama bersiri Adamaya tatkala salji turun dengan lebat di luar tidak dapat disangkal.
Berlatarbelakangkan pemandangan ini jugalah, draf-draf awal sebuah manuskrip tanpa judul yang akhirnya berpecah menjadi Kuantum serta Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman mula ditaip. Jendela yang ternyata menyimpan seribu kenangan. Sambil menaip, mata sekali-sekala dilontar ke luar dalam usaha mengusyar seseorang.