Street Fighter 2

Di Holiday Plaza Johor Bahru sekitar hujung 80-an dahulu, ada sebuah cawangan KFC di tengah-tengah kompleks. Setelah dua dekad tak menjengah masuk (di saat menulis), saya pun tak pasti sama ada Holiday Plaza masih lagi wujud. Apatah lagi reka susun kedai-kedai di dalamnya. Barangkali, kawan-kawan JB boleh tolong komen.

Apa jua pun, di sebelah kanan KFC yang dimaksudkan ada sebuah kedai permainan video yang sedikit tersorok. Beberapa unit TV gemuk jenis tiub sinar katod terpasang konsol permainan video. Ada SEGA. Ada Nintendo.

Diturutkan hati, lebih nikmat sebenarnya bermain di arked. Walau bagaimanapun, reputasi arked gelap pada zaman itu luar biasa negatif. Sesiapa yang masuk, pasti terjebak dengan dadah. Begitulah gambarannya. Lantas menghalang diri ini daripada memperolehi restu orang tua untuk pergi berkunjung. Mujurlah premis-premis terbuka yang menjual katrij serta konsol video wujud sebagai alternatif.

Street Fighter 2: The World Warrior keluar pada tahun 1991. Berbanding versi sebelumnya, para pemain kini boleh memilih watak untuk digunakan daripada senarai lapan pilihan. Sekaligus mencatat sejarah sebagai permainan video pertama dalam genre ‘gaduh-gaduh’ sebegini. Buat kawan-kawan yang belum sedia maklum (atau sudah lupa), para pemain hanya boleh menggunakan Ryu dalam Street Fighter 1. Malah, nama Ryu pun belum diketahui pada waktu itu sebab hanya label ‘Player 1’ terpapar atas watak.

Kali pertama memandang skrin TV di kedai tatkala Street Fighter 2 terpasang, saya menjadi terkesima. Walaupun tiada orang bermain, demo akan berputar ulang. Cukup memanggil. Apa lagi? Dua ringgit dikeluarkan daripada dompet velcro untuk dibayar kepada tauke kedai.

Hadouken!

Shoryuken!

Ryu tetap menjadi pilihan. Selama sejam, saya melepas geram terpendam. Wajah setiap seorang pembuli di sekolah saya bayangkan pada watak lawan. Memang teruk mereka dikerjakan. Tanpa simpati.

KO!

Ryu wins!

Hari persekolahan minggu berikutnya, mahu tak mahu terpaksa kembali ke alam realiti.

Sebarang komen/pertanyaan?