Majalah Lawak Antarabangsa

Warga JB pra-milenium barangkali masih lagi ingat akan kewujudan Restoran Yusof. Kedai mamak serba lapang di aras utama Holiday Plaza. Dah terlalu lama saya tak jejak bumi JB. Apa yang saya dengar, restoran ini sudah tidak beroperasi.

Sebelum pembukaan medan selera di kompleks Kota Raya, Restoran Yusof menjadi destinasi sasaran hujung minggu saya sekeluarga. Sup kambing di situ memang terbaik. Disaji seawal jam 11 pagi. Cuma saya sendiri berperangai agak kambing kala itu. Order sup kambing. Hirup sup sehingga licin. Daging tinggal. Biasalah, budak-budak.

Entah mengapa di era kini, sup mamak rata-rata hanya disaji pada sebelah malam. Sampai ke Penang saya cuba cari. Pusing-pusing sekitar Lembah Klang pun serupa. Kena tunggu senja baru ada. Seolah-olah hantu yang masak.

Berbalik ke Restoran Yusof di JB awal 90-an, seingat saya ada dua pintu masuk utama. Satu akses dari luar bangunan. Sesuai buat pengunjung yang parkir percuma tepi jalan dan datang hanya untuk makan. Satu lagi akses dari dalam plaza sendiri.

Sebaik melangkah masuk ke restoran menerusi akses dalam plaza, para pengunjung serta-merta disambut oleh sebuah gerai menjual majalah serta suratkhabar. Kendalian mamak juga. Barangkali adik-beradik tauke.

Dan di sinilah saya menjejak stok komik-komik terbaharu setiap kali berkunjung ke Holiday Plaza. Komik tempatan. American comics. Manhua Hong Kong. Manga Jepun. Naskhah Ujang pertama dalam koleksi peribadi juga saya beli dari situ.

Terjebak sedikit lewat (atas faktor ekonomi), saya bermula dengan isu 18. Pada tahun 1994, harganya baru RM2.80 bagi majalah berketebalan 100++ mukasurat. Iklan merepek pun tak banyak macam bahan bercetak berkala zaman sekarang.

Dalam kalangan peminat tegar mungkin ada yang masih ingat ilustrasi kulit hadapan naskhah yang dimaksudkan. Din Beramboi lengkap berpakaian Robocop mengusung itik peliharaan bersama sebatang berus jamban di sebelah tangan. Haha. Entah apa-apa. Tetapi itulah kekuatan majalah Ujang. Baru tengok kulit depan sahaja, seseorang boleh tergelak sehingga tercirit.

Hampir mencecah usia suku abad tahun ini, halaman-halaman naskhah sulung masih belum tercerai seperti dalam foto. Lusuh tetap lusuh penangan diselak dan dibelek berulang-ulang kali. Terutama sekali sebagai rujukan melukis.

Ujang Nombor 18 November 1994 Coretan Sang Flowerman Shah Ibrahim
Ujang nombor 18, November 1994. Sorry, not for sale

Terkenang kembali, himpunan kartunis Melayu tempatan pada zaman itu ada kesatuan stroke melukis tertentu yang boleh dibanggakan sebagai keunikan serantau. Tradisi yang disambung dari era kelompok veteren Gila-Gila. Paling jelas pada lekuk tubuh, hidung kembang serta gigi jarang watak-watak rekaan. Perasan tak?

Sayang sekali, keunikan tersebut beransur pudar dengan peralihan zaman. Masuk millenium baharu, penukaran kiblat ke arah Jepun mula ketara dalam hasil kerja kartunis-kartunis generasi pelapis. Namun, evolusi adalah suatu yang normal serta di luar kawalan. Kekuatan Pop Culture semasa sukar ditangkis. Lagipun, setiap seorang pengkarya (tak kira penulis/pemuzik/pereka fesyen/chef) ibarat corong kreativiti. Apa yang banyak dihadam, itulah yang keluar. Persekitaran kuat mempengaruhi.

Setiba muncul setiap keluaran terbaharu, dua siri yang paling saya tunggu ialah Bersama Selamanya (Gayour) serta Aku Hidup Dalam Blues, kerjasama padu antara Aie Sulong (pelukis) dengan Toyon (penulis). Kedua-dua siri ini mengangkat tema cinta serta brotherhood. Bagi seorang remaja yang tak ramai kawan dan mula tertarik kepada jantina lawan, Aku Hidup Dalam Blues serta Bersama Selamanya ternyata kena dengan jiwa.

Dalam tak sedar, keganasan Gayour (Kill! Kill! Kill! Die! Die! Die!) serta kejiwangan Aie sedikit sebanyak telah mencorak personaliti serta perwatakan karakter rekaan saya sendiri, iaitu MrFlowerman. Pendek kata, Gayour serta Aie merupakan antara dua kartunis tempatan yang saya kagumi sewaktu berjinak belajar melukis komik.

Hari ini kita bertemu atas kanvas. Semoga suatu hari nanti, kita bertemu pula di alam nyata. InsyaAllah.

Al-Fatihah buat arwah Azzam Supardi (Toyon) yang telah meninggalkan kita tahun lalu. Terima kasih atas inspirasi.

p.s.

Pernah juga berangan suatu hari setiba dewasa kelak, saya mahu lancar majalah lawak versi sendiri berjudul Samdol. Angan-angan budak sekolah. Namun, belum kesampaian.

Sebarang komen/pertanyaan?