Budak Meja Belakang: Pax Americana (Deleted Chapter 3)
Berkuatkuasa 1 Januari tahun 2002, Prof Linda Katehi mula bertugas sebagai dekan menyeluruh fakulti kejuruteraan. Sebelum ini beliau mengajar di University of Michigan. Seorang wanita berkarisma yang berpengalaman luas, beliau berhasrat membawa perubahan ke Purdue University.
Sepanjang kerjaya beliau yang penuh berwarna-warni, Prof Katehi telah banyak meraih pencapaian sebagai ‘wanita pertama’ dalam dunia akademik. Anugerah terkumpul termasuk pingat-pingat sains usah cakaplah. Memang banyak. Kalian yang berminat untuk tahu lebih lanjut, bolehlah siasat sendiri. Pendek kata, Katehi idola yang sangat disanjungi oleh kaum hawa.
Di saat menulis, saya tak sangka pula karier beliau akhirnya diselaputi pelbagai kontroversi. Nepotisme. Salah guna kuasa. Sabotaj pesaing akademik. Dan berbagai-bagai kes lagi. Satu selepas satu terdedah. Sudah macam telenovela tanpa pelakon seksi.
Dalam banyak-banyak skandal, isu buku teks paling sensasi.
Kalian yang pernah belajar di mana-mana universiti pasti kenal nama John Wiley & Sons, bukan? Ini salah satu penerbit terbesar buku teks akademik di dunia. Katehi, selaku salah seorang ahli lembaga pengarah serta pemegang saham telah mengeksploitasi pangkatnya di beberapa universiti agar buku-buku terbitan syarikat ini diberi hak eksklusif.
Patutlah buku penerbit ini sahaja yang saya nampak sepanjang belajar di Purdue.
Buat pengetahuan kalian, isu harga buku teks sukatan kolej di US sentiasa diperdebat. Naskhah segar di pasaran tersangatlah mahal. Padahal, kebanyakan penulisnya adalah warga Amerika sendiri. Tulis di US. Cetak sahaja di luar (untuk menurunkan kos). Dari segi logik, sepatutnya menjadi item mampu milik.
Secara purata, sejudul buku teks kejuruteraan pada zaman kami bisa dibeli dari luar USA pada separuh harga. Baik dari Asia mahupun Eropah. Bahkan negara haram yang menceroboh Palestine pun menjual murah (buku teks terbitan Amerika banyak juga dicetak di sana). Jadi, mengapakah di USA sahaja mahal?
Sewaktu saya di Purdue (awal millenium), akhbar New York Times pernah mengulas isu ini.
Kesepakatan penerbit tempatan didedah sebagai punca. Keuntungan maksima memang sasaran mereka. Dan dalam kalangan penerbit-penerbit tempatan, buku-buku teks John Wiley & Sons antara yang termahal. Lantas menjadi sebab mengapa kes Katehi lebih sensasi.
Bayangkanlah jumlah duit yang masuk handbag. Khabarnya, hampir setengah juta USD (laporan akhbar). Silap-silap, himpunan royalti para penulis buku teks yang terlibat pun tidak setinggi itu.
Pabila harga enggan diturunkan, buku teks cetakan tempatan menjadi tak laku. Semua pakat membeli dari luar (termasuk pelajar mat salih sendiri). Kewujudan laman seperti uBid (sebelum Ebay) dan Half.com menyediakan platform.
Naskhah segar (termasuk pos) dapat dibeli dengan murah daripada penjual-penjual berpengkalan di luar USA. Apatah lagi naskhah terpakai. Walau bagaimanapun, buku-buku teks yang kami beli secara atas talian ada label ‘International Edition – Not For Sale in North America’ pada kulit hadapan. Naskhah-naskhah ini haram dijual di pasaran terbuka Amerika. Kami peduli apa.
Sekali-sekala, saya dan kawan-kawan akan mengirim dari Malaysia (setelah ke kedai buku universiti bagi memperoleh gambaran harga). Sementara menanti pembelian sampai, kami akan beli dari kedai buku universiti terlebih dahulu buat kegunaan kelas. Setiba buku murah yang dibeli secara atas talian (atau kiriman tanahair), buku-buku mahal tadi dipulangkan.
Nasib baik kedai buku universiti menawar polisi pemulangan wang penuh untuk setiap buku teks yang dikembalikan dalam tempoh dua minggu. No questions asked. Kelompok yang lebih berani, bolehlah mencuba nasib fotostat buku teks kawan-kawan. Masalahnya, tindakan salah ini suatu bentuk cetak rompak dan tak banyak kedai orang putih sanggup buat.
Dengan kehadiran junior sefakulti, maka wujudlah tradisi berebut membeli buku teks terpakai dari para senior setiap awal semester. Diskaun tambahan sudah tentu dipinta. Yang bermuka tak malu minta percuma pun ada.
Dalam hal ini, buku teks subjek-subjek yang saya benci cukup mudah dilepaskan. Terutama sekali subjek-subjek programming. Talak tiga terus. Sementara buku-buku yang saya sayang, disimpan. Saya juga tak berkira bila mana para junior meminta izin memfotostat nota-nota lama. Nota-nota asli saya sayang. Boleh bikin pusaka.
Selain kedatangan pembeli buku serta penyalin nota, rumah kami di apartmen bernombor 4 Brownstone 500 kerap menerima kunjungan junior yang datang hendak berguru. Bab Teori Litar serta Semikonduktor saya bolehlah ajar. Bab Kuasa, Douban orangnya. Bab Programming kena rujuk Zul, otai sepanjang zaman.
Para junior yang datang tak perlu bawa ayam golek mahupun pulut kuning. Sebarang pengeras tak dikenakan kerana menjadi tanggungjawab senior membantu junior. Apatah lagi sesama perantau. Ilmu bermanfaat yang diperturunkan akan menjadi saham akhirat, insyaAllah.
Anehnya sepanjang kehidupan saya di US, hanya junior lelaki yang berani tampil membeli buku teks, memfotostat nota kuliah serta bertanya soalan. Junior perempuan pula seorang pun tak pernah nampak. Takut barangkali. Padahal ‘Abang Shah’ tak makan orang.