Rejection Itu Lumrah

Dua hasil karya pertama saya putuskan untuk terbit sendiri. Secara kebetulan sahaja, kedua-duanya berformat komik.

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012).

Taki & Dira (2013).

Berbekalkan pengalaman terbit sendiri, diturutkan hati boleh sahaja terus guna kaedah serupa untuk projek-projek susulan. Saya hanya perlu rompak bank bagi memperoleh dana tambahan, memandangkan hasil jualan terkumpul dua produk ini masih belum pulang modal. Hatta separuh.

Daripada episod tersebut, mulalah jelas betapa ruginya terbit novel grafik buat pasaran Malaysia (maksud saya, komik untuk pasaran bukan kanak-kanak). Sudahlah pembikinannya kompleks dan kos cetak halaman berwarna lebih tinggi berbanding novel berasaskan teks. Dalam pada itu, pembeli sentiasa mendesak harga rendah semata-mata atas dasar format. Makna kata, komik selayaknya dijual murah.

Oh, ini bukan serkap jarang. Tetapi berdasarkan maklum balas peribadi yang saya terima terus daripada pembeli yang kurang berpuas hati. Masalahnya di persimpangan cerita, saya masih ada banyak idea yang ingin dijadikan komik. Cuma, apa guna saya kekal berhempas pulas hasilkan komik kala orang tak sudi beli? Tidakkah nanti jadinya sekadar projek syok sendiri?

Masa berlalu… Tanpaku menyedari…

Seperti seorang penyanyi bernama Nora, tibalah saya di persimpangan dilema.

Bermula dengan Budak Meja Belakang dan Kuantum, saya cuba ajukan proposal kepada rumah-rumah penerbitan sedia ada. Only this time, no more comics. Not even a single page. Agenda utama saya kini adalah mengubah status quo.

Agar karya-karya saya sampai ke tangan lebih ramai pembaca, hasil kerja susulan saya MESTI masuk kedai. Ini sahaja kaedah efektif yang saya nampak. Maklum saja, peluang buku dicapai rambang jauh lebih tinggi di kedai buku berbanding peluang buku terbit sendiri yang dijual secara terus oleh penulisnya yang tidak dikenali. Realiti ini saya lewat sedar.

Proses mendekati penerbit tak kurang juga menyeksa jiwa raga. Penolakan demi penolakan menyusul. Bulan berganti bulan. Motivasi kian merudum.

Penyelesaian termudah adalah kembali menerbit sendiri. Cuma saya dah dapat ramal kesudahannya. Balik ke takuk lama dan tidak ke mana. Menyedari akan hal ini, saya bertahan. Proposal terus diaju merata. Ada pihak yang sudi beri respons (sungguhpun negatif). Tak kurang juga yang berdiam diri. Perkara biasa.

Screenshot iringan ialah satu e-mel penolakan yang saya pernah terima bagi proposal Budak Meja Belakang (buku pertama). Penerbit gah juga (tak perlulah disebut nama). Komunikasi tercetus sekitar awal 2016. Lebih kurang setahun sebelum saya menghampiri Komrad. Bersama-sama proposal, saya lampirkan juga tiga bab pertama. Alang-alang manuskrip memang pun dah siap.

Sengaja saya pilih contoh e-mel ini sungguhpun sarat typo.

(Hmm, bagaimanalah gamaknya proses ‘menyusu’ ayat? Your guess is as good as mine)

Meskipun terkilan dan kecewa gara-gara manuskrip ditolak, saya tetap rasa dihormati. Ini jikalau hendak dibandingkan dengan e-mel penolakan daripada pihak-pihak lain yang tajamnya bagai hirisan sembilu. Entah mengapa, semua orang nak jadi Simon Cowell.

Daripada rentetan penolakan yang dialami sendiri berserta luahan pengalaman teman-teman senasib, saya mula nampak satu trend di kebanyakan rumah penerbitan Malaysia. Mungkin saya silap, namun inilah apa yang saya perasan.

Rata-rata memiliki ‘gate keeper’. Lazimnya sekadar seorang pada satu-satu masa (tak cukup staf, barangkali). Individu ini bertanggungjawab menyaring setiap satu proposal yang masuk. Terlepas mahupun tidak manuskrip kita untuk fasa penilaian susulan, kata putus terletak di tangan individu ini semata-mata.

Andai menepati seleranya, proceed.

Tak kena dengan jiwanya, reject.

Makna kata sekiranya manuskrip ditolak, tidaklah bererti hasil kerja kita bertahap najis berat. That is just ONE person’s opinion. Dalam masa yang sama usah angkuh dengan beranggapan yang hasil kerja kita terlalu gah, dan pihak yang menolak itu ‘bodoh’ ekoran melepaskan maha karya kita.

For every single manuscript, there is always room for improvement. Setiap penerbit pasti ada standard minima yang dicari. Kesesuaian dengan jenama label pun satu hal. Tak dinafi, barangkali juga manuskrip kita tersedia hampeh dari mula.

Apa pun jua, rejection yang gagal ditangani/dikawal dengan elok bisa mendatangkan kesan buruk terhadap emosi. Saya faham sangat keperitannya sebab dah pernah lalui sendiri.

Setiap kali dapat maklum balas negatif, capailah semangkuk aiskrim. Makan bersila sambil menangis depan TV. Kemudian, kesat air mata anda. Dan cuba lagi. Chin up and keep going. The right door will eventually open for you at the right time, like it did for me. InsyaAllah.

Saya juga masih menunggu pintu-pintu lain dibuka. Terutama sekali pintu hati. Ok, bye!

Hashtag TheMrFlowerman Rejection Itu Lumrah

Sebarang komen/pertanyaan?