Pentingnya Mencatat Idea

Tak pasti bagaimana halnya dengan orang lain, tetapi idea lazim menjelma kepada saya pada waktu pelik-pelik. Malah, kehadiran spontan idea paling mencurah sewaktu usaha mencatat payah dilaksanakan. Saat sedang fokus memandu. Semasa berlari di atas treadmill. Apatah lagi kala berada di bilik termenung.

Anehnya pula sewaktu menghadap laptop untuk menaip sesuatu dengan rela hati, haram satu idea pun tak datang!

Segelintir penulis hebat tidak mengamalkan tabiat mencatat idea. Contohnya, Stephen King. Rasional beliau, idea yang bagus akan melekat dalam kepala sepanjang hayat. Andai kata kita terlupa, maknanya buah fikiran tersebut memang tiada nilai sejak mula. Sungguhpun tampak angkuh sekilas lalu, munasabah juga bunyinya.

Walau bagaimanapun, saya kurang bersetuju dengan pandangan sebegini.

Secara peribadi saya yakin bahawa setiap satu idea itu hadirnya tentu bersebab. Sama ada gubahan lagu, novel fiksyen, plot filem, potongan fesyen busana, litar elektronik gajet canggih atau apa jua bentuk ilham bernilai komersil. Mengapa turun kepada kita dan bukannya kepada orang lain?

Dalam hal ini saya sependapat dengan novelis tersohor negara, Tuan Ramlee Awang Murshid yang memandang idea sebagai rezeki kurniaan Ilahi. Seberapa pantas ia tampil, begitu jugalah kepantasan ia berlalu pergi. Oleh itu, sebelum terlupa semoleknya direkod. Catatan kertas sudah memadai.

Ilham yang menjelma itu tidak semestinya lengkap. Bagi kebanyakan orang, idea sering muncul dalam bentuk cebisan. Makna kata, sekelumit kecil sahaja yang datang. Kita sendiri harus kreatif menutup lopong-lopong yang ada.

Cuma sekali-sekala sahaja cebisan-cebisan idea yang lain menyusul hadir secara berfasa sehingga produk akhir terbentuk dengan sendiri. Kelompok karyawan yang cenderung menerima pencerahan agung sebegini sememangnya bertuah. Cemburu saya.

Baik mahupun hampeh sesuatu idea itu, amalan mencatat segala benda tidak sesekali merugikan pun. Sebab dari semasa ke semasa, kita boleh sahaja audit idea terkumpul untuk dikategorikan mengikut gred. Seteruk mana sekalipun tabungan idea peribadi, aksesnya eksklusif buat kita. Orang lain tak nampak (selagi kita tak kongsi). Maka, tiada apa hendak dimalukan.

Percayalah, inspirasi luar biasa bisa tercetus saat membelek kembali idea-idea silam yang kurang menyengat.

Bercakap soal mencatat, mekanisma merakam idea ada pelbagai. Ada orang guna khidmat pita perakam. Ada orang gemar menaip terus ke dalam telefon pintar. Ada orang (seperti saya) lebih selesa tulis nota tangan. Terpulang.

Jikalau idea ‘tersangatlah power‘ muncul saat memandu, saya akan cari tempat sesuai untuk memberhentikan kenderaan. Andai kata situasi tak mengizinkan, terpaksalah saya ulang tutur idea tersebut bak zikir sepanjang perjalanan agar tidak terlupa. Hal 20-30 tahun lepas saya boleh ingat. Short term memory saya pula kurang mantap.

Apa pun jua, sebatang pen dan sehelai kertas A4 berlipat empat sentiasa tersemat kemas dalam poket kemeja saya sepanjang hari. Setiap malam sebelum tidur, akan saya pindahkan coretan tadi ke dalam tabung idea versi word document. Kertas terpakai kemudiannya boleh terus dibuang (kitar semula). Dan bilik saya yang tersedia sempit tidaklah nanti bertimbun kertas. Marie Kondo tentu kagum.

Cuma tabiat mengusung pen bersama kertas dalam poket baju ini sering memakan diri. Telah beberapa kali tatkala saya melepak makan di restoran, pengunjung lain menyangkakan saya waiter.

Sebarang komen/pertanyaan?