Hill Aerospace Museum, Utah

Hill Aerospace Museum Utah Blog Coretan Sang Flowerman

Without you,
There would be no sun in my sky,
There would be no love in my life,
There’d be no world left for me…

Cubaan berjalan slow-mo seumpama Nicolas Cage dalam filem Con Air. Lagu ‘How Do I Live’ nyanyian LeAnn Rimes berkumandang dalam kepala. Kala rambut dibuai sang bayu, diri terasa seksi sungguh.

Nicolas Cage Con Air Blog Coretan Sang Flowerman

Jumaat, 22 Ogos 2003. Setengah jam memandu dari Salt Lake City.

P.s.

Sekadar trivia, hampir keseluruhan filem Con Air dirakam sekitar Utah memandangkan wujudnya banyak lokasi berkaitan pesawat di situ. Malah, seorang kru filem dilaporkan maut dihempap kapal kargo sewaktu penggambaran. Kasihan.

Memphis

Budak Meja Belakang Pax Americana Tugu Elvis di Memphis Tennessee 500X

Tahun 2002. Dari Missouri, kami memutuskan untuk bergerak ke Memphis. Bandar kedua terbesar dalam negeri Tennessee. Sungguhpun bandar ini memiliki reputasi sebagai lubuk muzik blues, di mata dunia Memphis lebih sinonim dengan nama Elvis Presley. The King of Rock and Roll.

Dalam kalangan para peminat, umum tahu Memphis merupakan lokasi karier mendiang bermula. Juga tapak persemadian terakhir. Padan sungguh dengan kata-kata ikonik beliau, “I will stay in Memphis.”

Agenda utama kami ke sini adalah untuk melawat rumah Elvis di Graceland. Walau bagaimanapun, foto bersama tugu Elvis Presley ini pula dirakam di Beale Street. Kira-kira 20 minit memandu ke arah utara dari Graceland tadi.

Pada zaman itu, belum ada GPS kereta. Sebarang papan tanda juga tidak ada yang mengiklankan tempat ini secara jelas. Malah, kami pun sebenarnya tak tahu tugu ini wujud. Kebetulan sahaja terpandang. Itu yang kami singgah.

Andai kata kami tampil sewaktu kemuncak musim panas, tentu sekali terlepas pandang. Sebab pepohon rimbun mengelilingi tugu bakal menghalang pandangan dari arah jalan besar.

Tugu ini memang tersorok. Mujurlah kami tiba kala musim baru hendak bertukar.

“Do something worth remembering…” – Elvis Presley

Yosemite National Park

Yosemite National Park Budak Meja Belakang Pax Americana

Tujhe Dekha To Yeh Jaana Sanammmm…

Letih saya berjemur di tengah panas, menanti Kajol yang tak kunjung tiba. Sampai ke sudah dia tak muncul.

Apakan daya. Bukan sahaja tersilap Shah. Bahkan juga tersilap benua.

Yosemite National Park, California. Khamis, 21 Ogos 2003. Deleted scene daripada Bab 63, Budak Meja Belakang: Pax Americana.

Dilwale Dulhaniya Le Jayenge Blog Coretan Sang Flowerman

Hail Purdue!

Budak Meja Belakang Pax Americana Honor Cords Purdue

Hail, hail to old Purdue!

All hail to our gold and black!

Hail, hail to old Purdue!

Our friendship may she never lack.

Ever grateful, ever true,

Thus we raise our song anew,

Of the days we’ve spent with you,

All hail our own Purdue!

(Purdue University fight song)

Item kuning berambu itu ialah honor chord yang diceritakan dalam Bab 68, Budak Meja Belakang: Pax Americana. Ya, saya masih simpan.

Devils Tower

The Wasted Devil's Tower Budak Meja Belakang Pax Americana

Musim Panas 2001.

Destinasi berikutnya sesudah South Dakota ialah Wyoming. Dua jam memandu ke arah barat daya. Devils Tower sasaran kami. Struktur aneh berupa menara sesat di tengah-tengah tanah lapang. Oh, lazimnya perlu ada tanda ‘ sebelum huruf s. Cuma Devils Tower memang dieja sebegini.

Sungguhpun sesuai dijadikan latar semulajadi rakaman filem (fiksyen kembara fantasi terutamanya), tak ramai yang ambil manfaat. Yang ada pun sekadar filem bercorak dokumentari. Sebaliknya, Devils Tower lebih popular dalam kalangan kaki panjat gunung.

Menurut statistik saat kami sampai, Devils Tower menerima kunjungan 5000 pendaki berdaftar setiap tahun. Setakat 2001, empat kes kematian akibat jatuh sudah dicatat (dalam tempoh 100 tahun). Tidak seperti sesetengah bukit yang ada trek khas untuk menapak naik, Devils Tower harus dipanjat secara vertical. Tak payahlah! Saya masih belum puas hidup.

Nama Devils Tower sebenarnya hasil terjemahan silap daripada nama asalnya dalam bahasa suku kaum asli. Kesilapan yang anehnya dikekalkan sahaja sehingga ke hari ini. Tiada kaitan pun dengan aktiviti puja setan.

Menurut pakar geologi, monumen ini terbentuk hasil aktiviti magma bawah tanah beribu-ribu tahun lampau. Tetapi saya lebih menggemari dongeng kaum asli. Kisah Devils Tower pun ada kepelbagaian variasi. Izinkan saya berkongsi salah satu versi yang saya masih ingat.

Alkisahnya, ada sepasang adik-beradik suku kaum Sioux merayau keluar dari kampung halaman untuk mencari tempat bermain. Terleka dengan macam-macam perkara sepanjang jalan, lama-kelamaan mereka tersesat jauh. Biasalah, kanak-kanak.

Dalam kekalutan menjejak jalan pulang, tiba-tiba mereka terserempak dengan seekor beruang gergasi. Beruang jantan ini watak signifikan dan sebenarnya ada nama. Tapi saya dah lupa. Apa kata kita namakan si beruang ini Sameon (bukan nama sebenar).

Sameon secara kebetulan memang sedang kebulur. Kehadiran sepasang anak kecil di hadapan mata terus dianggap sebagai rezeki. Si Sameon pun mulalah mengejar kedua-dua beradik tadi.

Dalam usaha menyelamatkan diri, mereka berdoa memohon bantuan. Doa termakbul serta-merta oleh nenek moyang. Sebuah struktur tinggi muncul keluar daripada perut bumi di tapak mana adik-beradik tadi sedang berdiri. Mereka turut sama terangkat ke atas. Macam orang naik lif.

Maka terselamatlah adik-beradik tadi daripada menjadi mangsa Sameon. Corak garis di sekeliling Devils Tower dikatakan kesan cakar sang beruang yang cuba memanjat tapi sampai ke sudah gagal. Begitulah lebih kurang ceritanya.

Mungkin ada subplot lain seperti elemen cinta tiga segi, kahwin paksa, isteri didera dan seumpamanya. Kalian yang berminat boleh kaji sendiri. Cuma yang menjadi kemusykilan saya sehingga ke hari ini, bagaimanalah agaknya kedua-dua beradik tadi turun semula? Anyway…

Saya cukup suka legenda setempat. Manusia zaman dahulu rajin memerhati. Tanpa kemajuan ilmu sains, masing-masing cuba berspekulasi guna imaginasi. Hasilnya, muncullah cerita-cerita indah seumpama ini.

error: Content is protected !!