Para pembaca setia tentu sedia maklum yang segala hasil kerja seni saya sepanjang alam persekolahan dahulu langsung tidak pernah dipulangkan. Jahitan crochet Doraemon. Panel kotak kunci berloceng buatan kayu yang saya tokok tambah dengan air-brushing. Catan batik. Seni ukiran khat. Dan macam-macam lagi.
Nasib yang serupa turut menimpa segala folio kajian tempatan. Saya hanya mampu menelan liur melihat teman-teman sekelas menerima semula hasil karya mereka setiap hujung sesi persekolahan.
Kebanyakan hasil tangan saya konon-konon telah dihantar ke Pejabat Pendidikan. Ini alasan paling kerap diberi oleh guru-guru setiap kali saya bertanya. Dari sudut yang lain pula, teman-teman rapat ada yang berpendapat, “Mungkin Cikgu bawak balik rumah.”
Hakikat sebenar, hanya Tuhan yang tahu. Bab ini saya berkira kerana kos pembelian segala mak nenek bahan mentah yang Cikgu minta datang dari poket Ayah. Benda-benda ini bukan murah.
Dalam pada itu, ada beberapa item terselamat. Terselamat pun ada sebab. Sebab saya tak hantar sebagai tugasan. Salah satunya, anyaman dalam foto iringan. Ini tugasan Pendidikan Seni tingkatan dua di English College, JB (tahun 1995).
Bahagian tengah yang sedikit oren itu sebenarnya tidak disengajakan. Apakan daya, pasar raya Chop Ah Lek Taman Perling kehabisan stok kertas kuning pada waktu itu. Melihat hasilnya kini, boleh tahan juga! Maaf, terangkat bakul sendiri pula.
Zaman pra-MRSM dahulu, saya seorang perfectionist. Setiap tugasan yang dihantar harus bertaraf dewa. Karangan. Folio. Apatah lagi, projek seni. Maka, berlambaklah prototaip cubaan dalam usaha mencecah kesempurnaan. Di penghujung hari, hanya versi yang paling saya berpuas hati akan diserah buat penilaian. Selebihnya, saya simpan dalam arkib AKA bawah katil.
Setakat anyaman kertas warna kanvas bersaiz A4, bolehlah buat dua tiga versi sambil ralit melayan Captain Planet di TV. Jikalau kerja-kerja kayu Kemahiran Hidup KBSM, tak sanggup saya buat lebih daripada satu. Hendak diteruskan juga, lebih elok berhenti sekolah dan buka kedai perabot. Apa-apa pun, tabiat mengejar kesempurnaan dahulu rupa-rupanya ada hikmah. Sekurang-kurang ada juga memorabilia alam sekolah.
Bercakap soal mengejar kesempurnaan, percayalah bahawa tindakan tersebut hanya menambah tekanan dalam diri. Perlu ditekankan, mengejar kesempurnaan tidak sama dengan meletak sasaran tinggi. Sasaran tinggi sentiasa perlu. Ini yang mengerah seseorang agar berusaha lebih. Pendek kata, sasaran tinggi itu realistik. Sedangkan kesempurnaan bersifat mustahil.
Alhamdulillah, saya bukan lagi seorang perfectionist. Agak lama juga ambil masa untuk kikis buang sikap. Kini, saya berpegang pada prinsip ‘redah sahaja’. Jikalau hendak menunggu sempurna, detik tersebut pasti tak kunjung tiba.
Hendak belajar selok-belok blog, redah sahaja. Hendak menulis buku, redah sahaja. Hendak lancar bisnes buat kek, redah sahaja. Hendak meluah rasa hati kepada seseorang… urm… No comment.