PhD is A Lonely Journey

PhD is a lonely journey.

Jauh sebelum mengorak langkah memulakan perjalanan PhD sendiri pada tahun 2007, saya dah terbiasa mendengar ungkapan ini. Asal-usulnya tiada sesiapa yang tahu. Barangkali sudah melepasi seabad usia. Dan tak mustahil kekal relevan sepanjang zaman.

PhD is a lonely journey.

Ungkapan pesimistik, saya akui. Dalam pada itu, saya yakin rata-rata calon yang telah (mahupun sedang) menempuh cabaran PhD tentu faham akan ‘kesepian’ yang dimaksudkan. Memandangkan saya orang bujang, janganlah pula kalian salah anggap yang kesepian ini berkait rapat dengan soal hati dan perasaan.

“Dah tahu diri tu sunyi, carilah bini!” Ini bukan isunya. Sebab kesepian yang serupa turut dirasai oleh kelompok PhD yang telah lama berumah tangga serta dikurnia berderet-deret anak.

PhD is a lonely journey.

Boleh jadi kesepian ini berpunca daripada corak pengajian PhD itu sendiri. Maklum saja, sebahagian besar masa kini terhabis menyendiri. Tidak macam suasana pembelajaran sewaktu ijazah pertama dahulu yang banyak kuliah, banyak perbincangan dan banyak tugasan kolaboratif. Checkpoint-checkpoint kritikal juga jelas ketara dan senang dirai bersama.

Sebaliknya pula, pengajian PhD mendesak gerakan solo dalam usaha melahirkan penyelidik yang mampu berdikari. Tiada teman seangkatan untuk diajak berbincang memandangkan topik penyelidikan masing-masing unik. Sekali-sekala sahaja kita perlu menghadap penyelia bagi melapor prestasi projek.

Dalam hal ini, ada yang berjumpa sekerap sekali seminggu. Ada yang sebulan sekali. Tidak kurang juga rakan-rakan seperjuangan PhD yang supervisor mereka entah hidup atau dah mati. Gerhana matahari muncul lebih kerap berbanding wajah sang penyelia.

Tambah menyeksakan lagi, di sesetengah institusi, tiada had tempoh untuk menyelesaikan PhD. It’s ready when it’s ready. Namun, siapa sahaja yang mahu bertapa di universiti sehingga rupa paras menyerupai Gandalf. Silap-silap jadi Gollum terus. Nauzubillah. Tatkala diri dibiar tergantung tidak bertali, seorang demi seorang rakan seperjuangan dilihat lulus viva. Kadang-kadang, junior PhD yang bermula kemudian tiba-tiba berkonvo awal sebelum kita. Siapa tak cemburu?

Mungkin daripada kombinasi faktor-faktor di atas datangnya kesepian. Sekadar apa yang saya nampak dan telah alami sendiri. Boleh jadi juga ada faktor-faktor tambahan lain. Apa jua pun, kesepian ini usah dipandang enteng kerana inilah penyebab utama kemurungan atau depresi dalam kalangan calon-calon PhD.

Impak kemurungan berganda tatkala hidup di bumi asing. Berada nun jauh dari kaum kerabat, sumber sokongan moral hanyalah teman-teman seperantau yang tersedia pening dengan beban hidup dan masalah masing-masing.

Berbalik kepada kesepian, mekanisme tangkisannya ada pelbagai. Ada yang pergi main golf. Ada yang pergi memancing. Ada yang pergi hiking. Keberkesanannya tak sama buat semua orang. Walau bagaimanapun, temanya serupa. Katarsis. Tatkala berdamping dengan teman-teman sekepala, carilah sekurang-kurangnya satu aktiviti kegemaran. Kata kunci di sini ialah ‘sekepala’.

Selain melukis (aktiviti solo), jamming bersama kawan-kawan menjadi saluran terapi buat diri ini secara peribadi. Dalam kugiran kami, hanya saya seorang sahaja yang masih belajar di persimpangan cerita. Yang lain sudah bekerja. Citarasa muzik bertindan menjadi asbab pertemuan. Kami layan muzik berat. Sebab muzik berat mampu menenggelamkan sepi.

Oh ya. Bercakap soal mencari kawan, seafdalnya carilah kawan-kawan dari luar kelompok PhD. Barulah boleh benar-benar ‘lari’. Total escape. Jikalau waktu senggang pun asyik melepak sesama geng PhD, perihal PhD jugalah topik bersembang nanti.

Research kau amacam?”

Ugh! Soalan paling saya benci.

Tuai Hasil Di Kemudian Hari Budak Meja Belakang Shah Ibrahim

2 Replies to “PhD is A Lonely Journey”

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!