Debaran Karya Susulan

Debaran Karya Susulan Shah Ibrahim TheMrFlowerman Banner

Pax Americana bakal memasuki pasaran tidak lama lagi. Buku keenam dalam senarai portfolio peribadi andai tiada aral datang melintang. Adakah saya berdebar? Tentu sekali. Apa sebab perlu berdebar, kalian bertanya? Sebab ini bakal menjadi karya susulan pertama daripada saya. Lebih spesifik lagi, sekuel buat buku Budak Meja Belakang (2017).

Debaran Karya Susulan Shah Ibrahim TheMrFlowerman
Bagaimanakah rupa kulit hadapan buku terbaharu? Saya pun tak tahu 🙂

Berbanding judul segar, penantian sambutan terhadap karya susulan boleh tahan mendebarkan kerana lazim dibanding dengan entri sebelum. Sungguhpun setiap buku yang lahir bakal memiliki roh tersendiri, segelintir pembaca cenderung mendesak aura yang sama dengan buku terdahulu. Some authors might get it right. Some others won’t be so lucky.

Sekiranya entri kedua satu-satu siri buku masih berjaya menawan hati pembaca, tiada jaminan nasib yang sama menimpa entri ketiga, keempat dan seterusnya. Andai kata siri tersebut berakhir mantap penuh pujian sekalipun, tekanan jauh lebih dahsyat bakal mengiringi pelancaran projek segar sesudah itu. Pendek kata, kitar debar ini tidak akan sesekali berhenti.

Secara peribadi, ini antara aspek belakang tabir yang menyeronokkan selaku pengkarya. Macam-macam boleh terjadi.

Sebagai penulis, kita harus bersedia terima hakikat yang pembaca datang dan pergi. Realiti serupa dalam rata-rata cabang seni kreatif yang lain. Penyanyi kehilangan pendengar. Pengarah filem kehilangan penonton. Ada kalanya, situasi timbul gara-gara peralihan trend. Kadang-kadang pula disebabkan oleh evolusi selera serta kematangan konsumer. Usah diketepikan juga kemungkinan karya-karya kita sebagai penulis sendiri yang sebenarnya saban tahun semakin hampeh.

Apa jua pun sebabnya, usah merajuk jikalau pembaca yang dahulunya pernah setia tiba-tiba beralih arah. Yang mustahak, mereka terus ‘setia’ dengan aktiviti membaca. Buku siapa pun tak kisah. Pembaca ada hak memilih. Pembaca tahu apa yang dia mahu. Pengkarya tiada kuasa memaksa.

Keupayaan seseorang penulis memupuk minat membaca dalam jiwa anak muda (pada zaman penuh gajet ini), mahupun menyalakan semula cinta terpadam kelompok veteren yang telah lama meninggalkan buku, juga boleh dikira sebagai satu kejayaan yang layak dibanggakan.

Lebih teruk lagi jikalau karya kita menjadi penyebab seseorang itu membenci buku terus. Ini memang sadis.

Entri FB 19 November 2018.

PhD is A Lonely Journey

Shah Ibrahim TheMrFlowerman PhD is a Lonely Journey

PhD is a lonely journey.

Jauh sebelum mengorak langkah memulakan perjalanan PhD sendiri pada tahun 2007, saya dah terbiasa mendengar ungkapan ini. Asal-usulnya tiada sesiapa yang tahu. Barangkali sudah melepasi seabad usia. Dan tak mustahil kekal relevan sepanjang zaman.

PhD is a lonely journey.

Ungkapan pesimistik, saya akui. Dalam pada itu, saya yakin rata-rata calon yang telah (mahupun sedang) menempuh cabaran PhD tentu faham akan ‘kesepian’ yang dimaksudkan. Memandangkan saya orang bujang, janganlah pula kalian salah anggap yang kesepian ini berkait rapat dengan soal hati dan perasaan.

“Dah tahu diri tu sunyi, carilah bini!” Ini bukan isunya. Sebab kesepian yang serupa turut dirasai oleh kelompok PhD yang telah lama berumah tangga serta dikurnia berderet-deret anak.

PhD is a lonely journey.

Boleh jadi kesepian ini berpunca daripada corak pengajian PhD itu sendiri. Maklum saja, sebahagian besar masa kini terhabis menyendiri. Tidak macam suasana pembelajaran sewaktu ijazah pertama dahulu yang banyak kuliah, banyak perbincangan dan banyak tugasan kolaboratif. Checkpoint-checkpoint kritikal juga jelas ketara dan senang dirai bersama.

Sebaliknya pula, pengajian PhD mendesak gerakan solo dalam usaha melahirkan penyelidik yang mampu berdikari. Tiada teman seangkatan untuk diajak berbincang memandangkan topik penyelidikan masing-masing unik. Sekali-sekala sahaja kita perlu menghadap penyelia bagi melapor prestasi projek.

Dalam hal ini, ada yang berjumpa sekerap sekali seminggu. Ada yang sebulan sekali. Tidak kurang juga rakan-rakan seperjuangan PhD yang supervisor mereka entah hidup atau dah mati. Gerhana matahari muncul lebih kerap berbanding wajah sang penyelia.

Tambah menyeksakan lagi, di sesetengah institusi, tiada had tempoh untuk menyelesaikan PhD. It’s ready when it’s ready. Namun, siapa sahaja yang mahu bertapa di universiti sehingga rupa paras menyerupai Gandalf. Silap-silap jadi Gollum terus. Nauzubillah. Tatkala diri dibiar tergantung tidak bertali, seorang demi seorang rakan seperjuangan dilihat lulus viva. Kadang-kadang, junior PhD yang bermula kemudian tiba-tiba berkonvo awal sebelum kita. Siapa tak cemburu?

Mungkin daripada kombinasi faktor-faktor di atas datangnya kesepian. Sekadar apa yang saya nampak dan telah alami sendiri. Boleh jadi juga ada faktor-faktor tambahan lain. Apa jua pun, kesepian ini usah dipandang enteng kerana inilah penyebab utama kemurungan atau depresi dalam kalangan calon-calon PhD.

Impak kemurungan berganda tatkala hidup di bumi asing. Berada nun jauh dari kaum kerabat, sumber sokongan moral hanyalah teman-teman seperantau yang tersedia pening dengan beban hidup dan masalah masing-masing.

Berbalik kepada kesepian, mekanisme tangkisannya ada pelbagai. Ada yang pergi main golf. Ada yang pergi memancing. Ada yang pergi hiking. Keberkesanannya tak sama buat semua orang. Walau bagaimanapun, temanya serupa. Katarsis. Tatkala berdamping dengan teman-teman sekepala, carilah sekurang-kurangnya satu aktiviti kegemaran. Kata kunci di sini ialah ‘sekepala’.

Selain melukis (aktiviti solo), jamming bersama kawan-kawan menjadi saluran terapi buat diri ini secara peribadi. Dalam kugiran kami, hanya saya seorang sahaja yang masih belajar di persimpangan cerita. Yang lain sudah bekerja. Citarasa muzik bertindan menjadi asbab pertemuan. Kami layan muzik berat. Sebab muzik berat mampu menenggelamkan sepi.

Oh ya. Bercakap soal mencari kawan, seafdalnya carilah kawan-kawan dari luar kelompok PhD. Barulah boleh benar-benar ‘lari’. Total escape. Jikalau waktu senggang pun asyik melepak sesama geng PhD, perihal PhD jugalah topik bersembang nanti.

Research kau amacam?”

Ugh! Soalan paling saya benci.

Entri FB 9 November 2018.

Bahasa Jiwa Bangsa

TheMrFlowerman Melontar Pandangan

Penulis perlu banyak membaca. Ungkapan klise yang selalu menyapa telinga. Namun, kebenarannya tak dapat disangkal. Desakan membaca tidak menjadi isu buat penulis yang berasal daripada kelompok pembaca tegar. Sebab tabiat dah tersedia ada dalam diri. Sama ada membaca untuk seronok, dapat ilham mahupun mengenal jenis-jenis gaya penulisan orang lain. Walau bagaimanapun, wujud juga kelompok penulis yang tak minat membaca. Sungguhpun aneh, mereka ada agenda lain.

Dalam hal memperbanyakkan bahan bacaan, senarai sasaran tidak sepatutnya terhad kepada karya berbentuk cerita semata-mata. Buku-buku yang mengajar hal-hal teknikal tak kurang penting. Dari kamus daftar kata bagi menyemak ejaan terkini, sehinggalah ke aspek perlindungan hak cipta. Penghadaman semua ini ternyata bakal memakan masa dan pasti tiada penghujung. Dalam pada itu, terpulanglah kepada si pengkarya untuk meletak nilai. Bagi perlindungan jangka panjang, tak rugi ada ilmu ini. Beringat sebelum kena. Fuh, macam iklan insurans pula. “PM me for details.”

Kekangan masa tentu sekali menghalang misi mengulati segala buku di pasaran. Belum sempat kejar seleksi sedia ada, muncul pula buku-buku baru. Aaarrrggghhh, tension! Jadi, terpaksalah bersikap selektif. Terus terang kata, status Bestseller tak semestinya menjadi umpan buat diri. Saya capai apa jua ikut gerak hati serta fikiran terbuka. Dalam koleksi peribadi saya sendiri, rata-rata buku kegemaran yang diulang baca sehingga relai bukan buku kategori laku keras pun.

Untuk memantapkan skill, keluasan variasi itu perlu. Dari buku-buku berstandard tinggi keluaran ITBM, DBP serta PTS, saya pelajari ‘What to do’. Dari sebilangan buku-buku indie yang teruk dikecam angkara kualiti, saya pelajari pula ‘What not to do.’ Perlu ditekankan, saya tak kata arus perdana lebih mulia berbanding indie. Saya sendiri termasuk dalam penggiat kelompok kedua.

Sejujurnya, banyak sisi bahasa kebangsaan yang saya tak perasan sebelum ini. Salah satunya, kewujudan kosa kata meluas dalam menggambarkan sesuatu secara spesifik. Saya fikir bahasa arab sahaja begini. Rupa-rupanya, BM pun tak kurang hebat. Realiti yang hanya disedari selepas berjinak semula membaca karya-karya tempatan circa 2012.

Ambil contoh ‘melontar pandangan dari dalam kereta’. Kenapa harus dilontar? Tentu sekali sebab pandangan tersebut mahu dibawa ke jarak jauh dari kedudukan tetap si pemerhati. Ibarat sebiji bola yang dilontar. Nampak tak? Puitis sungguh. Makna kata, hal seremeh memandang bisa menjadi lebih deskriptif dengan penggunaan kata yang tepat. Melirik. Mengerling. Menengadah. Menjeling. Mengusyar (bab ini saya pakar).

Indahnya bahasa kebangsaan. Dulu-dulu saya tak hargai sangat. Setelah melatih diri menulis, perlahan-lahan saya belajar menghormati bahasa. Ini tidak bermakna seseorang tak boleh menulis santai. Tak salah guna tidak. Tidak salah guna tak. Walaupun banyak kata-kata import telah diserap ke dalam daftar kata kebangsaan, perkataan seperti ‘diskusi’ tetap ada alternatif asli seperti ‘perbincangan’. Ikut selera masing-masing.

Gara-gara menghabiskan masa membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris secara eksklusif sepanjang bergelar mahasiswa, saya terlepas pandang keindahan bahasa kebangsaan. Lagipun, sejak zaman sekolah saya memang BENCI subjek karangan. Kata orang tua-tua, kebencian meluap selalunya membawa ke cinta. Lantaran itu, saya menyeru gadis-gadis bujang di luar sana agar terus membenci diri ini.

Entri FB 5 September 2018.