You jump, I jump.
Titanic (1997) akan dikenali sebagai filem tangkap leleh sepanjang zaman. Sehingga menjadi tanda aras ukuran kesedihan plot filem-filem yang menyusul sesudahnya.
Tanpa perlu memberi amaran ‘Spoiler Alert’, saya yakin kelompok yang seumur hidup belum pernah menonton Titanic tentu sedia maklum yang watak lakonan diCaprio mati di penghujung cerita.
Dari bibit-bibit awal perkenalan, si Rose yang memilih untuk menjual mahal, fasa pikat-memikat sehingga ke detik tragedi menimpa; lebih tiga jam juga emosi para penonton dibuai sebelum tiba di kemuncak babak hiba. Ditambah pula dengan deru lagu tema berhantu Celine Dion dalam versi instrumental. Sehingga ke hari ini, irama tersebut melekat dalam kepala.
Now, that’s the power of storytelling. Penonton turut bersedih sebab peduli dan bersimpati dengan watak-watak. Tidak semua sang penglipur lara era moden berkebolehan sebegini.
Anehnya filem Up (2009), seawal cerita, hati penonton dirobek kasar. Tanpa amaran pula. Kalian yang pernah tonton pasti faham babak bisu yang dimaksudkan. Hanya snapshot kehidupan Carl & Ellie diiringi muzik tema “Married Life”. Sedangkan Up filem animasi. Sasaran penonton tentunya budak-budak. Tak mustahil, hanya kita yang dewasa ini sahaja terkesan.
Kata orang, filem Coco (2017) jauh lebih sedih. Tetapi saya sendiri belum berpeluang menonton. Kena usaha cari juga suatu hari nanti agar tidak ketinggalan.