Edward Boyle Library (EBL) merupakan perpustakaan kejuruteraan di University of Leeds, UK. Sebagaimana bidang kejuruteraan itu sendiri, nuansa EBL tersangat bosan dengan rekaan bangunan yang langsung tidak berseni.
Di samping kutubkhanah ini, Brotherton pula menempatkan koleksi rujukan bidang selain kejuruteraan. Hendak dibandingkan dengan EBL, Brotherton saling tak tumpah macam Hogwarts seawal melangkah masuk lobi utama.
Sejurus meminjam apa jua bahan rujukan yang boleh dibawa keluar dari EBL, kerja-kerja menelaah akan saya laksanakan di Brotherton. Markas bebudak sains sosial. Sambil buat kerja, dapat juga saya cuci mata. Sebagai bonus, saya berpeluang menyorok diri daripada kelompok undergrad yang tak putus-putus datang bertanya soalan.
Ini bukan soal lokek ilmu. Waktu pejabat ada diperuntukkan ruang bagi mereka tampil bertemu saya. Hakikatnya, saya juga memerlukan ‘Me Time’ dalam usaha menyiapkan urusan penyelidikan sendiri yang tertangguh. Andai dilayan, sampai ke sudah kerja saya tak siap.
Dalam hal ini, yang sering mengganggu ialah makwe-makwe berketurunan timur tengah. Maksud saya, pelajar dari luar dan bukan dari kalangan pemastautin tetap di UK. Tak sangka, ramai juga yang dihantar ke Leeds untuk belajar kejuruteraan. Namun berdasarkan sikap mereka serta pengalaman saya sebagai pembantu pengajar, masing-masing seakan terpaksa.
Berbeza dengan kelompok pelajar minah saleh yang jarang bermekap, saya perasan gadis-gadis timur tengah paling rajin memasang badan. Bercelak tebal. Perfume jenis oud yang gemar mereka pakai pula usah cakaplah. Sampai tahap smoke detector fakulti boleh berbunyi.
Kelompok ini saya cukup geram. Kalian jangan salah faham pula. Saya geram sebab mereka bukannya mahu saya tunjuk ajar. Sebaliknya macam nak suruh saya siapkan assignment pula. Tak patut sungguh! Memandangkan mereka lawa dan seksi, saya pun buatlah. Jangan kecam, saya hanya insan bujang yang lemah.
Oh, ya. Bercakap soal perpustakaan, kami di Leeds perlu spesifik kerana wujud sebuah pub bernama ‘The Library’ dalam perkarangan kampus. Takut disalaherti pula nanti. Jom pergi Library! Nak minum ke nak studi?