Jejak Kasih

Kuantum Shah Ibrahim Jejak Kasih

Dua puluh tahun adalah suatu tempoh perpisahan yang lama. Raut wajah serta aspek fizikal lain tentu sekali berubah. Kalau lelaki, selalunya kuantiti rambut berpindah dari atas kepala ke bawah dagu. Kalau perempuan, saya tak berani komen. Takut-takut dilempar sepatu Zalora. Pendek kata, duduk sebelah menyebelah dalam tren LRT pun boleh jadi tak perasan. Walaupun dahulu pernah belajar sekelas.

Jejaka dalam gambar adalah anak teruna teman sebilik saya sewaktu di MRSM. Segak macam ayahnya juga. Tak sangka, hampir dua dekad tidak bertemu, si anak pun dah sebaya si ayah kali terakhir kami bersua muka setamat SPM. Begitu pantas masa berlalu.

Saat foto dikirim, saya dibelenggu dua perasaan.

Pertama: Bangga sebab berpeluang mengenali sepasang merpati sejoli yang bibit-bibit percintaan zaman sekolah berakhir dengan gerbang perkahwinan.

Kedua: Sedih pula mengenangkan betapa ketinggalannya diri ini yang masih tergaru-garu kepala cuba memahami apa itu Relationship Goals.

Dalam kehidupan yang singkat ini, tak semua orang ditakdirkan bertemu jodoh. Malah, ada jodoh yang tidak kekal lama. Yang dah berkahwin, tiada jaminan rezeki menimang cahaya mata. Yang ada anak pula, belum tentu mampu mengasuh setiap seorang membesar menjadi insan mulia. Tambah-tambah lagi pada zaman Wicet serba mencabar kini.

Tahniah Saiful Redzuan Abdul Shukor & Nur Hayati Mohd Yusoff. Saya dengar, anak muda ini berazam terbang jauh. Sama-sama kita doakan.

Buat Salman Hakim Bin Saiful Redzuan… Make your parents proud, young man. Strive hard and write your story.

p.s. Kalau Salman nak tahu, zaman mak ayah bercinta dahulu, Uncle lah yang selalu menjadi posmen.

Majalah Lawak Antarabangsa

MrFlowerman Amar Sahak

Warga JB pra-milenium barangkali masih lagi ingat akan kewujudan Restoran Yusof. Kedai mamak serba lapang di aras utama Holiday Plaza. Dah terlalu lama saya tak jejak bumi JB. Apa yang saya dengar, restoran ini sudah tidak beroperasi.

Sebelum pembukaan medan selera di kompleks Kota Raya, Restoran Yusof menjadi destinasi sasaran hujung minggu saya sekeluarga. Sup kambing di situ memang terbaik. Disaji seawal jam 11 pagi. Cuma saya sendiri berperangai agak kambing kala itu. Order sup kambing. Hirup sup sehingga licin. Daging tinggal. Biasalah, budak-budak.

Entah mengapa di era kini, sup mamak rata-rata hanya disaji pada sebelah malam. Sampai ke Penang saya cuba cari. Pusing-pusing sekitar Lembah Klang pun serupa. Kena tunggu senja baru ada. Seolah-olah hantu yang masak.

Berbalik ke Restoran Yusof di JB awal 90-an, seingat saya ada dua pintu masuk utama. Satu akses dari luar bangunan. Sesuai buat pengunjung yang parkir percuma tepi jalan dan datang hanya untuk makan. Satu lagi akses dari dalam plaza sendiri.

Sebaik melangkah masuk ke restoran menerusi akses dalam plaza, para pengunjung serta-merta disambut oleh sebuah gerai menjual majalah serta suratkhabar. Kendalian mamak juga. Barangkali adik-beradik tauke.

Dan di sinilah saya menjejak stok komik-komik terbaharu setiap kali berkunjung ke Holiday Plaza. Komik tempatan. American comics. Manhua Hong Kong. Manga Jepun. Naskhah Ujang pertama dalam koleksi peribadi juga saya beli dari situ.

Humor Bodo-Bodo Batu Api Klon Gila-Gila Blog Coretan Sang Flowerman
Sebelum kemunculan Ujang, saya pembaca setia Gila-Gila. Pada zaman kegemilangan Gila-Gila, wujud beberapa pesaing. Sekali-sekala, saya beli juga. Tapi tak mampu nak sokong semua.

Terjebak sedikit lewat (atas faktor ekonomi), saya bermula dengan Ujang isu nombor 18. Pada tahun 1994, harganya baru RM2.80 bagi majalah berketebalan 100++ mukasurat. Iklan merepek pun tak banyak macam bahan bercetak berkala zaman sekarang.

Dalam kalangan peminat tegar mungkin ada yang masih ingat ilustrasi kulit hadapan naskhah yang dimaksudkan. Din Beramboi lengkap berpakaian Robocop mengusung itik peliharaan bersama sebatang berus jamban di sebelah tangan. Haha. Entah apa-apa. Tetapi itulah kekuatan majalah Ujang. Baru tengok kulit depan sahaja, seseorang boleh tergelak sehingga tercirit.

Hampir mencecah usia suku abad tahun ini, halaman-halaman naskhah sulung masih belum tercerai seperti dalam foto. Lusuh tetap lusuh penangan diselak dan dibelek berulang-ulang kali. Terutama sekali sebagai rujukan melukis.

Ujang Nombor 18 November 1994 Coretan Sang Flowerman Shah Ibrahim
Ujang nombor 18, November 1994. Sorry, not for sale

Terkenang kembali, himpunan kartunis Melayu tempatan pada zaman itu ada kesatuan stroke melukis tertentu yang boleh dibanggakan sebagai keunikan serantau. Tradisi yang disambung dari era kelompok veteren Gila-Gila. Paling jelas pada lekuk tubuh, hidung kembang serta gigi jarang watak-watak rekaan. Perasan tak?

Sayang sekali, keunikan tersebut beransur pudar dengan peralihan zaman. Masuk millenium baharu, penukaran kiblat ke arah Jepun mula ketara dalam hasil kerja kartunis-kartunis generasi pelapis. Namun, evolusi adalah suatu yang normal serta di luar kawalan. Kekuatan Pop Culture semasa sukar ditangkis. Lagipun, setiap seorang pengkarya (tak kira penulis/pemuzik/pereka fesyen/chef) ibarat corong kreativiti. Apa yang banyak dihadam, itulah yang keluar. Persekitaran kuat mempengaruhi.

Setiba muncul setiap keluaran terbaharu, dua siri yang paling saya tunggu ialah Bersama Selamanya (Gayour) serta Aku Hidup Dalam Blues, kerjasama padu antara Aie Sulong (pelukis) dengan Toyon (penulis). Kedua-dua siri ini mengangkat tema cinta serta brotherhood. Bagi seorang remaja yang tak ramai kawan dan mula tertarik kepada jantina lawan, Aku Hidup Dalam Blues serta Bersama Selamanya ternyata kena dengan jiwa.

Dalam tak sedar, keganasan Gayour (Kill! Kill! Kill! Die! Die! Die!) serta kejiwangan Aie sedikit sebanyak telah mencorak personaliti serta perwatakan karakter rekaan saya sendiri, iaitu MrFlowerman. Pendek kata, Gayour serta Aie merupakan antara dua kartunis tempatan yang saya kagumi sewaktu berjinak belajar melukis komik.

Hari ini kita bertemu atas kanvas. Semoga suatu hari nanti, kita bertemu pula di alam nyata. InsyaAllah.

Al-Fatihah buat arwah Azzam Supardi (Toyon) yang telah meninggalkan kita tahun lalu. Terima kasih atas inspirasi.

p.s.

Pernah juga berangan suatu hari setiba dewasa kelak, saya mahu lancar majalah lawak versi sendiri berjudul Samdol. Angan-angan budak sekolah. Namun, belum kesampaian.

Kuch Kuch Hota Hai

Kuch Kuch Hota Hai Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Di manakah letaknya kekuatan Rahul Khanna?

Pada namanya kah?

Atau pada t-shirt sendatnya?

Para pembaca Budak Meja Belakang pasti sedia maklum betapa besarnya pengaruh filem Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) terhadap generasi saya. Sewaktu KKHH mula ditayang di Malaysia sekitar hujung tahun 1998, saya masih tersangkut di asrama. Sibuk menghadap kertas-kertas SPM.

Kali pertama menonton KKHH, terganggu sungguh diri ini dengan jalan cerita. Perlu ditekankan, saya tak kisah jikalau dalam filem ada elemen tahyul tahap melampau mahupun aksi lagak ngeri yang tak masuk akal. Selaku peminat tegar filem Tamil, saya boleh terima. Termasuklah aksi hero membelasah sekumpulan penjahat berbekalkan sebatang tiang lampu jalan (mentol pun tak sempat dicabut). Ya, filem ini memang benar wujud.

Walau bagaimanapun, bab yang melibatkan soal hati dan perasaan… saya lebih sensitif.

Berbalik kepada filem KKHH.

Zaman kolej, Rahul tak putus-putus menyindir dan mengejek Anjali. Kemunculan Tina Malhotra secara tiba-tiba langsung tak membuatkan Rahul teragak-agak memilih. Cinta hati yang mahu dikahwini ketara jelas. Si gadis berskirt pendek. Anjali yang terpaksa memendam perasaan pula hanya mampu menggigit bucu tingkap kereta api. Ditemani hujan serta trek lagu sedih, dia membawa diri pulang ke kampung halaman.

Masa berlalu. Kehidupan diteruskan. Muncul seorang jejaka baru dalam hidup Anjali. Aman Mehra namanya. Orang yang segak, menetap di London, berkebolehan menari spontan tanpa raptai dan bijak mengambil hati bakal mak mertua. Apa lagi kau mahu?

Andai kata Shah Ibrahim yang berada di tempat Aman Mehra sewaktu majlis tunang, saya tak sesekali terkejut jikalau Anjali yang lengkap bersari terjun tingkap lari dari rumah. Tak sempat menyanyi lagu Saajanji Ghar Aaye. Sebagai lelaki, rasa terkilan sudah tentu terbit di hati. Pokoknya, saya tak terkejut.

Pendek kata, tiada apa yang kurang pada Aman Mehra. Dalam pada itu, si Anjali tetap memilih Rahul.

Hmm…

Anjali Sharma KKHH Blog Coretan Sang Flowerman GIF

error: Content is protected !!