Purdue Printout

Dalam kitar hayat pelajar jurusan EE di Purdue, Senior Design Project merupakan subjek paling digeruni. Projek berkumpulan yang wajib lulus. Tetapi sukar lulus.

Pembentangan akhir projek Senior Design di hadapan panel penilai dijadualkan pada hari Isnin, 28 April 2003. Cetakan bertarikh 10 hari sebelum (dalam foto) merupakan sebahagian daripada usaha kami sekumpulan membukukan draf terakhir laporan.

Pada zaman tersebut, akses kemudahan mencetak diberi percuma kepada pelajar berdaftar di Purdue. Tiada had. Pergilah ke mana-mana makmal komputer serata kampus. Dalam setiap bilik makmal, mesin pencetak lazimnya melebihi sebuah.

Bagi pelajar-pelajar blok kejuruteraan, ENAD (Engineering Admin Building) menjadi sasaran utama atas faktor jarak.

Kertas kuning dalam foto (kadang-kadang berwarna oren gelap) akan muncul terlebih dahulu sebelum dokumen yang dihajati keluar dari mulut pencetak. Mekanisma pemudah cara para pengguna mengenal pasti hasil cetakan masing-masing.

Sistem sebegini ternyata perlu. Lebih-lebih lagi, di kala waktu puncak. Misalnya, jurang 10 minit perantara sesi kuliah. Rata-rata makmal penuh sesak mengalahkan pejabat LHDN setiap April.

Waktu inilah semua orang pakat kelam-kabut. Baru hendak cetak nota kuliah. Baru hendak cetak homework assignment. Termasuk kami, pelajar-pelajar Malaysia. Menariknya, pelajar-pelajar mat salih pun dua kali lima juga. Sekaligus membuktikan yang tabiat last minute dalam student life adalah fenomena universal.

Dalam situasi penuh kekalutan, petugas makmal yang menjaga syif perlu turun padang memainkan peranan lebih. Hasil cetakan yang tak putus-putus dimuntahkan oleh mesin pencetak akan dihidang kemas di atas sebuah meja khas. Kertas berwarna (seperti dalam foto) terpamer di bahagian paling atas. Jadi, tidaklah semua pelajar berlonggok mengelilingi printer.

Sebagai bonus, pihak universiti bisa memantau andai kata ada pelajar yang mencetak benda bukan-bukan.

Nama yang tertera pada kertas berwarna merupakan username kami selaku pelajar berdaftar. Sekadar petikan last name masing-masing, namun terbatas pada 8 aksara. Nama ayah saya Mohd Ibrahim. Itu yang jadinya mohdibra.

Username ini juga secara langsung menjadi alamat e-mel kami. Sayang sekali, akaun @purdue.edu ditamatkan sejurus konvo. Gara-gara terlepas pandang tarikh akhir, saya sendiri tak sempat back up apa yang patut. Lebih-lebih lagi, arkib perbualan bersama ‘si dia’. Aduhai.

Bercakap soal last name terpotong, tiada isu buat rakan-rakan mat salih kerana nama mereka ringkas belaka. Tim Henry. Mike James. Jenny Clark. John Smith. Pabila John Smith melebihi seorang dalam senarai daftar pelajar, barulah diselitkan nombor ke dalam username ‘jsmith’.

Fuh! Jikalau pada zaman kami pun nama-nama anak Melayu dah panjang di mata orang Amerika, tak dapat saya bayangkan pula generasi kini yang nama dah hampir seperenggan. Usah kata terbang ke negara Barat, seawal pendaftaran darjah satu pun pihak sekolah dah pening.

Daripada seorang Budak Meja Belakang, selamat menempuh minggu pertama alam persekolahan saya ucapkan kepada adik-adik darjah satu sekalian. Be cool! Stay in school!

Budak Meja Belakang Zaman Sekolah Belajar Bercinta

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!