Komuniti Melayu di Manchester pasti berbangga dengan Al Jazeera mereka. Kami di Leeds pula ada Zam Zam. Tak dinafikan, Al Jazeera berganda-ganda lebih sedap. Selaku warga Leeds, saya agak cemburu mengenangkan hal ini.
Kali pertama diri menjejak kaki di bumi Leeds pada tahun 2004, lokasi asal Zam Zam bukanlah di New Briggate seperti tapak sekarang. Kalau tak silap, lokasinya dahulu di blok seberang jalan yang dirobohkan buat pembinaan Grand Theater. Terus terang kata, memori saya pun agak samar-samar. Maaf, sekiranya tersilap fakta. Maklum saja di persimpangan cerita, masa saya lebih banyak terhabis di Sheffield ekoran berkuliah di situ. Ya, saya belajar di Sheffield University tetapi menetap jauh di Leeds. Panjang ceritanya. Lain kali saya kongsikan.
OK, berbalik semula ke Zam Zam Leeds.
Premis sempit berhadapan hentian bas ini terdiri daripada dua kedai berkembar saling menyebelah. Satu restoran. Satu lagi kedai tapau. Pengunjung mat saleh lebih gemar ke kedai tapau. Di situ mereka boleh beli burger, fish and chips serta segala mak nenek hidangan orang putih. Kami yang kulit berwarna pula cenderung memenuhi ruang meja restoran. Malah, kelompok makwe Melayu yang cukup anti kedai mamak semasa di tanahair pun tak segan melepak di Zam Zam. Boleh jadi di mata mereka, ‘mamak’ Pakistan lebih hensem.
Menu ikonik di Zam Zam tentu sekali beriyaninya. Sepinggan GBP5. Ini harga kali terakhir saya pekena tahun 2011. Sekarang mungkin dah melonjak naik. Menariknya tentang beriyani Pakistan, cara masak mereka ala-ala nasi goreng. Dengan kata lain, mereka guna pes perencah dari botol. Cedok dari botol. Campak dalam kuali. Gaul dengan basmati putih. Siap! Sekilas pandang, macam mengelat juga. Barangkali ini puncanya rasa hidangan kurang konsisten. Kadang-kadang pahit. Kadang-kadang pula rasa perencah terlalu pekat sehingga melekat seminggu dalam tekak.
Kalau hendak diturutkan, sebenarnya banyak lagi tempat ‘power’ untuk makan. Tetapi, kenalah keluar sempadan. Apa sekalipun, Zam Zam sangat rapat di hati komuniti Melayu Leeds. Lebih-lebih lagi buat golongan tak berkenderaan macam saya.
Di sinilah port melepak saya dan bebudak band usai jamming di studio Roseville Road.
Di sinilah geng cleaner Leeds pekena beriyani kamping setiap kali gaji kami masuk (Jumaat selang seminggu).
Di sini jugalah kami heret kawan-kawan yang bertandang dari luar.
Banyak lagi memori lain yang lebih intim mengenai Zam Zam. Tetapi, kalian kenalah tunggu saya siapkan dahulu novel grafik terbaharu berjudul Prelud Balada West Yorkshire. Prekuel Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman.
Mohon doa agar projek ini siap dengan jaya.