Membuat Pilihan Dalam Hidup

Terus terang kata, saya bukanlah peminat sejati sains sewaktu zaman sekolah. Masalahnya, alternatif yang tinggal hanyalah jurusan sastera. Lagilah saya tak minat. Terdengar perkataan ‘sastera’ sahaja, kuap panjang menyerang secara refleks. Melainkan ada rakan sekelas spesis Julia Rais macam dalam filem Mira Edora. Barulah bersemangat sedikit diri ini dalam kelas. Gerenti tak mengantuk. Malangnya bersekolah di English College JB, Mira Edora yang ada pun berhalkum. Bukan selera saya.

Setelah masuk EC, barulah saya sedar mengenai kewujudan sekolah teknik. Walaupun sekolah teknik lebih memanggil, rugi besar sesiapa yang menolak EC setelah berjaya diterima masuk. Sekolah menengah harian paling elit di JB buat pelajar lelaki. Tanpa kabel kuat atau khidmat bomoh, betapa sukarnya hendak diterima masuk. Berbekalkan keputusan UPSR yang cemerlang, saya sendiri terpaksa menempuh proses rayuan demi rayuan.

Lantaran ini, niat berpindah ke sekolah teknik terpaksa dipendam. Sayang sungguh sebab bebudak sekolah teknik boleh pakai kasut hitam. Setiap hujung minggu tak perlu buang masa kapur kasut.

Dalam pada tak minat, saya terjebak juga dengan sains setelah menyambut tawaran kemasukan ke MRSM. Umum pasti bersetuju, ternyata menyimpang daripada matlamat asal jikalau Maktab Rendah ‘Sains’ MARA tiba-tiba pula ada menawarkan pilihan sastera. Maka dengan ini, isu pertimbangan memilih jurusan tersebut tak sesekali timbul semasa saya di MRSM Taiping lewat 90-an. Anehnya, aliran perakaunan ada pula ditawar selaku alternatif. Namun, ini tidak pernah menjadi hal.

Masih dirundung trauma kepala kena hempuk kuat ke papan hitam oleh Cikgu Halimah Ali, gara-gara lembab tahap keldai dalam topik akaun Kemahiran Hidup Bersepadu tingkatan tiga, saya bertekad tidak mahu ada sebarang kena-mengena dengan subjek durjana tersebut sehingga ke akhir hayat. Lajur debit dan lajur kredit boleh pergi mampus! Maaf, teremosi sebentar. Bulan puasa dah dekat. Harus belajar bersabar.

Mahu tak mahu, subjek-subjek sains ditempuh dalam keterpaksaan sehinggalah tamat SPM. Fizik, Kimia dan Biologi datang secara pakej. Tidak boleh pilih-memilih. Saya langsung tak minat Biologi (kecuali bab pembiakan). Fizik pun cenderung membuatkan diri ini termuntah. Kimia satu-satunya subjek sains yang mampu saya bertoleransi sedikit kerana Cikgu Mohdzir yang mengajar berjaya membuatkan suasana kelas luar biasa seronok. Tidak keterlaluan jika saya katakan yang setiap demo amali ibarat pertunjukan silap mata di sarkas.

Euforia yang terbina membuak sampai tahap saya berjaya capai gred A sewaktu percubaan SPM lantas dinobat menjadi Mentor Kimia rasmi maktab. Sementara Fizik dan Biologi pula, saya hanya mampu dapat gred C. Mengikut standard MRSM terbaik Malaysia pada zaman itu, ini serupa gagal.

Pejam. Celik. Pejam. Celik. Fasa menengah berlalu pergi, tibalah pula persimpangan seterusnya. Alam universiti.

Obsesi kuat terhadap aktiviti seni lukis banyak kali menolak diri ini ke arah bidang arkitek usai SPM. Klise, saya akui. Penangan populariti Azhar Sulaiman, bidang ini boleh tahan ‘glamer’ juga sewaktu era 90-an. Lagipun, saya boleh terus melukis tanpa disifatkan hina. Cuma jiwa raga bakal terseksa melukis benda-benda persegi. Lukis kartun dan muka orang bolehlah. Lukis bangunan segala bagai saya tak minat. Hendak menjadi kartunis mahupun pelukis animasi, restu keluarga cukup payah diperolehi. Apatah lagi prospek di mata bakal mertua. Tentu sekali merudum jatuh.

“Pantang keturunan aku bermenantukan kartunis!” Dialog sebegini kerap berlegar di minda saya (mengambil kira mentaliti masyarakat semasa).

Tanpa diduga, tawaran melanjut pelajaran ke luar negara jatuh ke riba tatkala Malaysia sedang pening dihimpit gawat serta bahang reformasi. Tawaran bersyarat bidang kejuruteraan. Dalam bahasa mudahnya, “Take it or leave it.” Setelah berfikir panjang, tawaran tersebut disambut dengan kesediaan menempuh segala cabaran yang bakal menanti. Cabaran belajar bidang teknikal yang sukar. Cabaran hidup di tempat orang.

Di persimpangan cerita, entah apa yang seorang berkerjaya jurutera lakukan saban hari pun saya tak tahu. Jururawat saya tahulah merawat. Juruukur tugasnya mengukur. Juruterbang terbang. Jururunding runding. Jadi, ‘tera’ itu apa?

Dalam tak sedar, perlahan-lahan cinta berputik. Bukan sahaja terhadap bidang kejuruteraan. Bahkan kepada kehidupan merantau. Barangkali ini yang sering orang tua-tua nasihatkan dalam hal kahwin atur, “Takpe, redah aje dulu walaupun tak kenal. Lama-lama nanti, cinta datang sendiri…” Chewah, ke situ pula!

Terkenang kembali, setiap seorang daripada kita berada di kedudukan sekarang ekoran himpunan keputusan lampau. Tepat mahupun salah setiap satu keputusan yang dimaksudkan, tuan tubuh sendiri pun belum tentu mampu menilai.

Sebagai makhluk, hikmah tak semestinya kelihatan serta-merta. Itu rezeki masing-masing. Ada orang mendapat pencerahan semasa hidup. Ada orang sampai ke sudah tak nampak. Sebagai makhluk, kita hanya layak bersangka baik dengan Yang Maha Pencipta. Tak dinafi, cakap memang senang.

Sungguhpun tak elok mempersoal kemungkinan hal-hal yang telah lama berlalu, sekali-sekala kontemplasi sedemikan tetap menjengah kotak fikiran tanpa diundang. Kalau-lah itu… Kalau-lah ini… Selaku insan yang boleh tahan banyak penyesalan, saya sendiri selalu buat juga.

Letak Fokus Pada Hal Mendatang- Shah Ibrahim TheMrFlowermanProses membuat pilihan serta keputusan tak akan sesekali terhenti selagi nyawa dikandung badan. Dari sekecil-kecil hal ke sebesar-besar perkara. Dari “Apa aku nak makan kejap lagi?” ke “Parti mana patut aku pangkah?”

Setiap kali berada di persimpangan dilema, fikirlah baik-baik. Tak usah berebut. Cuma kalau berada di atas persimpangan jalan raya Malaysia, lekas-lekaslah buat keputusan. Nanti orang belakang hon.

Sebarang komen/pertanyaan?