Please Tip!

Budak Meja Belakang: Pax Americana (Deleted Chapter 2)

Tatkala anak-anak muda KL rajin melepak di Dome Café awal millenium, kami di Purdue pula kerap mengunjungi Denny’s. Sebuah diner di South Street, West Lafayette. Pabila otak masing-masing dah tepu belajar, di sinilah tempat kami melepak beramai-ramai lewat malam. Konvoi tiga kereta.

Berbekalkan empat bungkus kad permainan UNO, beberapa buah meja digabung macam kedai mamak di tanahair. Permainan berlangsung sambil pelayan berulang datang menambah tuang kopi hitam ke dalam cawan kami. Sekembali di rumah, masing-masing terus tak boleh tidur.

Saat nafsu makan menggila barulah kami serang premis bufet, walaupun promosi ‘All You Can Eat’ di mana-mana bufet seakan sindirian terhadap kami. Maklum sajalah, bukan semua benda halal ditelan.

Bufet paling popular bagi anak Melayu tanah Hoosier ialah Old Country Buffet (OCB). Sebab utamanya, pilihan sajian vegetarian serta Kosher luar biasa banyak. Teman-teman senegara kami yang bukan Islam ada banyak pilihan lain.

Sisi negatif OCB hanya satu.

Dari segi reputasi, OCB destinasi sasaran warga emas. Maka, payahlah kami hendak mencuci mata. Bukan setakat itu sahaja. Hendak gelak kuat-kuat pun segan. Terasa macam sedang makan di kafeteria hospital. Setiap kali ke OCB, pastinya kami tidak melepak lama. Lahap. Bayar. Blah.

Menariknya, tiada masalah untuk meminta bil secara berasingan apabila keluar makan beramai-ramai di Amerika Syarikat. Hatta kumpulan besar seramai 20 orang. Jurukira tak sesekali merungut.

Kami difahamkan pelayan kedai makan merupakan antara penerima gaji pokok terendah. Pendapatan sampingan golongan ini kelak datang daripada tips yang dibayar oleh pengunjung/pelanggan. Dengan kata lain, tips ialah upah servis.

Wang tunai ditinggalkan atas meja sebelum beredar atau boleh disertakan terus dalam bil sekiranya bayaran dibuat secara kad. Saya lebih selesa bayar tunai kerana segan pula hendak sebut jumlah tips yang dihajati jikalau bayar guna kad. Tampak sengkek andai kata terlalu sedikit.

Walau bagaimanapun, kedai-kedai seperti McD, KFC, Subway, White Castle dan seangkatan tidak mengharap para pelanggan hulurkan tips memandangkan tiada pelayan. Premis-premis makanan segera di US pakai sistem layan diri. Lantas mewujudkan budaya di mana pelanggan patut bersihkan meja sendiri sebelum beredar.

Perkakas pakai buang serta lebihan makanan masuk tong. Kemudian, dulang disusun setempat. Selesai.

Namun, usah berharaplah mahu menerap budaya sebegini di tanahair. Sampai kiamat takkan menjadi. Ini bukan pandangan pesimis. Saya sekadar bersikap realistik. Certain aspects of society you simply cannot change.

Berbalik kepada tips…

Kita sedia maklum, pemberian tips bukan norma di sebelah Asia. Maka, tiadalah insentif untuk si pelayan mempamer khidmat terbaik. Servis tanpa senyuman perkara biasa. Apatah lagi pelayan kurang ajar. Kita yang pelanggan pun cari nahas sekiranya kecoh lebih-lebih. Sia-sia nanti makanan disabotaj dengan kepelbagaian bendalir badan sebelum dihidang.

Dari segi kadar secara am, tips di US pada zaman kami ialah 15% daripada jumlah bil. Ini pemberian standard bagi menghargai servis pelayan yang kaya senyuman, rajin bertanya, menghidang pesanan tepat serta pantas mengutip pinggan-pinggan terpakai (di premis jenis bufet).

Pelanggan yang sangat berpuas hati, terpulanglah jikalau mahu hulur tips lebih. Ikut kemurahan hati masing-masing. Kadang-kadang menyampah juga melihat kawan-kawan pemurah tak bertempat. Hulur tips di restoran mengalahkan Mother Teresa. Tetapi hutang member liat nak bayar. Mentang-mentanglah waitress tadi lawa.

Betapa teruk sekalipun layanan sang pelayan (which is rare in the US), dia tetap berhak menerima tips minima sebanyak 10%. Ini etika. Risiko terus blah begitu sahaja berpotensi besar membawa kepada kes pelanggan tanpa adab diboikot terus sepanjang kunjungan berikut. Maklum saja, di tempat-tempat terpencil seperti West Lafayette cukup senang hafal muka. Tambah-tambah lagi, muka pecah rumah macam saya.

Pengagihan tips ada banyak kaedah mengikut aturan pihak pengurusan. Ada yang terus masuk poket tatkala si pelayan mengemas meja berkenaan (habuan peribadi). Ada juga restoran yang guna pakai sistem ‘tabung’ di mana segala tips dilonggok sebelum diagih sama rata kepada semua staf di penghujung syif setiap hari.

Rasional pendekatan kedua ini mengenangkan betapa pelayan muda, gedik dan lawa cenderung menerima tips lebih berbanding kelompok veteren yang pergerakan mereka terbatas. Tak dinafi, pendekatan ini sedikit sebanyak mengurangkan insentif pelayan muda tadi untuk berusaha lebih.

Pastinya keperluan sistem ‘tabung’ tak timbul di tempat-tempat seperti Hooters di mana semua pelayan wanitanya dikehendaki bercelana pendek oren dipadan dengan singlet putih maha sendat.

Bagi kalian yang belum sedia maklum, Hooters bukannya tempat tak senonoh. Tetapi restoran keluarga. Kanak-kanak pun boleh masuk. Cuma seragam pelayan sahaja yang berkontroversi.

Sekiranya nenek-nenek turut digaji sebagai pelayan Hooters, sudah tentu pengunjung hilang selera makan.

Seragam Pelayan Restoran Hooters Blog CSF Budak Meja Belakang Pax Americana
Seragam ikonik restoran keluarga Hooters. Segelintir pelayan tidak memakai apa-apa pun di dalam.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!