The Fast & The Furious

Budak Meja Belakang: Pax Americana (Deleted Chapter 1)

Berbanding Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun, filem-filem di panggung Amerika lazimnya dilancar mengikut kitar musim.

Padan dengan tema, filem-filem jiwang cenderung muncul sekitar musim bunga. Filem-filem aksi serta komedi sewaktu musim panas. Filem-filem seram sewaktu musim luruh. Filem-filem bercorak fantasi sewaktu musim dingin.

Dalam sejarah hidup saya, filem pertama yang ditonton di panggung ialah Gladiator, lakonan Russell Crowe. Tayangan perdana bulan Mei tahun 2000. Para senior Purdue yang ajak.

Kesibukan belajar tak kira waktu semasa di Malaysia merupakan batu penghalang diri ini menikmati suasana pawagam. Dah terbang barulah berpeluang. Setelah merasai sendiri, seronok juga.

Dewan berhawa dingin. Skrin luas yang amat. Audio mantap. Kerusi empuk. Ternyata awesome, walaupun tiada makwe di sisi untuk berkongsi bertih jagung berkaramel.

Tayangan perdana filem The Fast and The Furious di panggung Goodrich Wabash Landing dilancar pada hari Jumaat, 22 Jun 2001. Filem ini berklasifikasi PG-13 menurut Motion Picture Association of America (MPAA). Maka bolehlah disifatkan ‘bersih’ tanpa sebarang adegan tak senonoh. Buat kalian yang belum sedia maklum, filem-filem di panggung sebelah Barat langsung tidak ditapis.

Geng Wasted Purdue berjaya memperoleh tiket. Tanpa rasa bersalah ponteng usrah mingguan, betapa khusyuknya masing-masing menghadap skrin.

Paparan lagak ngeri. Kereta berwarna-warni. Ngauman enjin turbo. Wanita seksi tak bertempat. Pergh! Belum pernah kami saksikan filem yang menggabungkan kesemua elemen ini serentak. Kami yakin filem ini bakal pergi jauh. Cuma tak sangkalah di saat menulis, siri dah meleret hampir mencecah 9 filem.

Betapa kuatnya penangan filem pertama The Fast and The Furious, warga Malaysia di Purdue dalam kalangan lelaki menjadi terpecah kepada dua golongan usai menonton.

Kelompok berduit mula terjebak dengan aktiviti modifikasi kereta. Tukar sport rim, tambah spoiler, tampal sticker, pasang sound system, tint cermin tahap tak munasabah, tukar kepala gear ke tengkorak dan macam-macam lagi.

Selagi satu-satu aksesori tersebut ada dijual murah di Wal-Mart, ada saja yang membeli. Maklumlah di tanah Uncle Sam, mana nak cari kedai aksesori Brothers?

Itu hal kelompok pertama. Kelompok kedua pula mula gigih membina badan.

Sungguhpun malu hendak mengaku, saya termasuk dalam kelompok ini. Setiap hari ke CO-REC (pusat sukan) untuk angkat besi. Konon-konon hendak mendapatkan potongan badan ketak persis Dominic Toretto. Istilah ‘sado’ belum wujud lagi pada zaman tersebut. Apatah lagi, ‘kunyit’.

Kami siap berkongsi borong pelbagai jenis produk makanan tambahan dari Payless Pharmacy. Cuma steroid sahaja kami tak berani sentuh sebab orang kata organ tertentu boleh mengecil.

Berbanding geng gym yang lain, saya berada selangkau jauh ke hadapan kerana sanggup keluar duit membeli work bench untuk sambung aktiviti angkat besi di rumah.

Sementara menanti giliran guna jamban awal pagi, saya buat bench press. Sambil menumis di dapur, saya buat bench press. Sementara menunggu masuk waktu solat, saya buat bench press. Ternyata komitmen saya paling tinggi. Malah, bisep dan trisep pun ketara naik meskipun perut tak turun-turun.

Hangat-hangat tahi ayam, semangat waja ini bertahan sepurnama cuma. Termasuk saya, seorang demi seorang mula meninggalkan gym. Dalam pada itu, supplement protein tetap dibalun sebab dah terlajak beli.

Besi work bench yang saya beli akhirnya tersadai di ruang tamu. Jadi tempat sangkut tuala rakan-rakan serumah. Patutlah karat.

Masa berlalu. Minggu berganti minggu. Tiada seorang pun dalam kalangan Geng Wasted Purdue yang bertubuh sasa macam Vin Diesel. Sebaliknya lebih menyerupai tangki diesel.

Sebarang komen/pertanyaan?