Menara berbumbung tirus dalam foto ialah Saint Augustine’s Wrangthorn Church. Selorong dengan rumah sewa terakhir saya di Hyde Park Terrace menjelang hujung 2011. Hyde Park Pub, salah satu pub crawl checkpoint letaknya tidak jauh dari gereja ini. Seingat diri, sekitar lima minit sahaja berjalan kaki.
Menurut Google Maps pula setelah disemak tadi, konon-konon tidak sampai pun seminit. Hmm, boleh jadi saya yang menapak terlalu perlahan. Lagipun, rockers Melayu memang kena berjalan slow-motion dan banyak berhenti. Tak percaya, sila tonton semula filem Rock 2005.
Bagi yang belum sedia maklum, pub crawl merujuk kepada tradisi melompat dari satu bar/pub ke satu bar/pub yang lain dalam tempoh satu malam. Crawl sememangnya istilah lebih tepat berbanding jump setelah diambil kira faktor lalok.
Sekurang-kurangnya, segelas arak ‘wajib’ diteguk selaku syarat di setiap bar atau pub yang dikunjungi. Acara pub crawl paling popular melibatkan pelajar-pelajar Leeds University ialah Otley Run. Sekitar 20 premis untuk disinggahi. Pemakaian peserta pula harus mengikut tema.
Kadang-kadang tema watak kartun. Masa ini bolehlah nampak tubuh orang putih bercat biru macam Smurfs.
Kadang-kadang temanya 80’s Throwback. Anting-anting gergasi, rambut kembang berwarna-warni dan shoulder pads muncul kembali.
Kadang-kadang temanya sekadar berpakaian dalam. Ini kostum paling ekonomi.
Insentif buat para pengunjung agar berpakaian setia pada tema terletak pada potongan harga minuman yang bakal dicaj. Penjimatan signifikan memandangkan ada 20 premis hendak diterjah.
Dingin malam kononnya tidak lagi dirasai sebaik meneguk gelas arak pertama. Untuk ini, vodka lazimnya menjadi pilihan utama wanita selaku pemanas badan. Menurut rakan-rakan mat salih, rasa vodka paling kena dengan tekak perempuan British. Bagi lelaki pula, apa-apa sahaja boleh. Asalkan murah.
Dari ruang tamu rumah, setiap malam minggu saya berpeluang memerhati gelagat para pemabuk tatkala mereka berlalu-lalang di luar. Ada yang terjerit-jerit menyanyi langgar lirik. Ada yang berhenti untuk muntah. Tidak kurang juga yang bertumbuk berkelahi. Baik lelaki mahupun perempuan, sama sahaja.
Pertimbangan diri hilang sepenuhnya penangan alkohol. Identiti English lady serta English gentlemen yang sering menjadi kebanggaan sekelip mata hanyut ke laut.
Lorong pejalan kaki Hyde Park Terrace sering menjadi tandas awam puak-puak ini. Tapak gereja pun tidak terkecuali. Patutlah setiap pagi lorong kami berbau hancing. Hancing bukan sebarang hancing. Hancing cap kencing syaitan.
Baunya lebih busuk daripada sisa kumuhan orang ketagihan asparagus. Percayalah, ini testimoni jujur saya selaku seorang pencuci jamban berpengalaman di UK.