Budak Meja Belakang 2: Selamat Datang ke Indiana!

Lebih sedekad perjalanan masa menyusuri setiap satu destinasi yang tertera dalam peta untuk sampai ke Fasa 2 kembara seorang budak meja belakang. Sebagaimana para pembaca telah sedia maklum, setiap titik persimpangan mempunyai himpunan kisah tersendiri. Terkenang kembali, saya pun tak sangka segalanya berjaya dimuatkan ke dalam sebuah buku. Naskhah paling tebal Komrad Buku (saat terbit).

Karya susulan pula bakal membawa anda sekalian menjelajahi Indiana, salah satu daripada 50 negeri di bumi Uncle Sam. Di sinilah saya bersama 25 anak Malaysia sebaya daripada batch ATU2 (American Top University program) menempuh pengajian ijazah pertama. Tempat kami dikepungi Michigan di sebelah utara, Kentucky (bukan fried chicken) di sebelah selatan, Illinois di sebelah barat serta Ohio di sebelah timur. Indianapolis merupakan ibu kota negeri. Lapangan terbang utama berada di sini.

Lokasi Indiana di tengah tanah besar Amerika Syarikat serta kejauhannya dari pantai secara langsung membawa kepada kitaran musim yang boleh tahan ekstrem. Musim panas luar biasa berbahang. Musim dingin bersalji tebal. Buat kawan-kawan yang masih ingat sukatan Geografi KBSM, ini yang dirujuk sebagai iklim kebenuaan. Oh, ya. Sewaktu kelas Geografi yang menyeronokkan, minda saya segar. Bukan ‘screen-saver mode’ macam kelas Sejarah.

Lanjutan kitaran cuaca ekstrem, tempat kami cenderung menerima kunjungan puting beliung serta ribut taufan. Secara purata, dikatakan 23 insiden puting beliung direkod di serata Indiana dalam tempoh setahun (trivia daripada risalah orientasi tahun 1999 yang saya masih ingat). Bab cuaca memang seriau. Syukur kampung halaman berada di Malaysia. Cuaca elok (relatively speaking).

Jikalau tiada aral melintang, insyaAllah buku terbaharu siap terbit hujung tahun ini. Nukilan kelana yang tak kurang gah juga cabarannya. Mohon doa serta semangat agar projek ini siap dengan jaya. Saya cuba seberapa daya untuk menghasilkan yang terbaik

Budak Meja Belakang 2. Coming soon!

Budak Meja Belakang Shah Ibrahim Putuskan Tali Terbanglah Tinggi Blog Coretan Sang Flowerman

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!