Ramadan 2011

Mencari lailatul qadar dalam sepuluh malam terakhir.
Ramadan 2011 berlangsung sepanjang bulan Ogos. Pada waktu itu, rusuhan teruk meletus di beberapa buah bandar besar serata United Kingdom. Antaranya Birmingham, Liverpool, Bristol serta Manchester.
Rusuhan berpunca dari Tottenham (London) selepas seorang anggota polis menembak mati seorang anak muda (Mark Duggan) di sana dalam cubaan menahannya. Jenayah apa? Saya tak ingat. Kematian mangsa sememangnya isu sensitif memandangkan mendiang berkulit hitam. Pelakunya pula mat salih.
Emosi yang meledak kemudiannya merebak seiring dengan kebencian terpendam orang awam terhadap polis. Protes aman bertukar ganas. Dalam kekecohan suasana, kelompok oportunis pula tampil membuat onar. Pantang nampak peluang.
Selain pembunuhan rambang, beberapa kes rogol turut dilaporkan.
Yang mati ditembak: Orang kulit hitam. Yang tak pasal-pasal mengganas terlebih-lebih: Orang kulit putih.
Kalian yang masih ingat, ada seorang pelajar lelaki Melayu menjadi mangsa ‘mugging’. Playstation portable miliknya dicuri lepas kena bantai di jalanan. Kemudian, Sony (pengeluar Playstation) umum akan menghadiahkan unit ganti selepas video serangan tersebut viral. Rasa-rasanya, cerita ini tersebar juga sampai ke Malaysia.
Seluruh dunia menjadi saksi bagaimana kerajaan Britain pimpinan David Cameron hanya berdiam diri di fasa awal rusuhan tatkala anak watan merompak kedai dan merosakkan harta awam. Pihak berkuasa seakan tak mampu putuskan tindakan yang sewajarnya. Sehingga parlimen Britain terpaksa bersidang khas.
Pelik betul resam kuasa-kuasa Barat, kan? Bab campur tangan urusan negara lain cukup pantas. Pabila kelompok ‘pengganas’ melibatkan anak bangsa sendiri, terus gelabah.
Kontra sungguh pengalaman ini dengan kes London Bombing enam tahun sebelumnya. Kami di sana melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana rumah ‘saspek berketurunan Asia Selatan’ (belum tentu bersalah pun) terus diserbu dan digeledah rakus. Beberapa masjid turut dipantau serta-merta. Kata kunci di sini ialah serta-merta. Bab ini memang double standard.
Tempias kekecohan London Riots 2011 turut sama dirasai di Leeds (tempat saya belajar). Di samping cubaan pecah rumah, beberapa insiden melibatkan kereta dibakar turut dilaporkan (dilempar molotov buatan sendiri). Semua ini kesan langsung kekurangan polis di West Yorkshire setelah ramai dikerah turun ke London bagi membantu meredakan situasi di sana.
Bak kata pepatah Inggeris… When the cats are all away, the mice come out to play.
Malaysian Student Department (MSD) London turut menasihatkan para pelajar serata UK agar berwaspada. Di persimpangan cerita, saya pula menyewa seorang diri di sebuah studio apartmen berhampiran kampus. Masjid terhampir ialah Leeds Grand Mosque. Seriau juga menapak pergi dan balik untuk terawih menjelang hujung Ramadan. Ayat Kursi dibaca selaku ikhtiar pendinding.
Setiap kali terpandang kumpulan manusia yang mencurigakan, saya lekas melencong ke jalan lain dan terus berlari. Tambah-tambah lagi kalau mereka berhoodie.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!