Zaman Kegemilangan Komik Hong Kong

Lakaran Pensel Ekin Cheng dalam Pedang Setiawan
Kalau orang Jepun ada Manga, orang Cina ada Manhua.
Dendam Kesumat. Singa Ganas (rare & payah cari). Alam Perwira. Raja Rimba. Ini hanya sebahagian daripada judul-judul Manhua yang saya pernah baca. Versi terjemahan Melayu untuk pasaran Malaysia rata-rata telah ditapis. Versi asal bahasa Cina bagi sebilangan judul pula ada paparan label amaran 18.
Sepanjang zaman sekolah, saya tak sempat kumpul. Apatah lagi khatam membaca. Terlalu banyak judul. Bajet duit saku yang terhad pula mahu disalur kepada usaha melengkapkan koleksi Spider-man terlebih dahulu. The Clone Saga story arc sedang hangat pada pertengahan era 90-an. Saya dah obses.
Senaskhah RM4.20 di pasaran Malaysia. Cuma ini versi cetakan semula yang juga telah ditapis. Naskhah Direct Edition dari Amerika pada waktu itu sekitar belasan ringgit. Kertas licin. Kulit lebih tebal. Bau pun mahal. Hanya boleh dicari di tempat-tempat seperti Atria Mall.
Oleh itu, komik-komik Hong Kong saya banyak tumpang baca stok kawan-kawan.
Kata orang, era kegemilangan komik Hong Kong memuncak di Malaysia sekitar awal millenium. Sayang sekali, saya dah terbang ke US dan terlepas fasa ini. Demam Manhua belum sampai ke sana. Sebaliknya pula, Amerika sedang obses dengan karya seni Jepun. Saya kurang berminat. Lantas mengambil peluang untuk mengisi kelompongan koleksi Spider-man.
Nama Ma Wing-shing pasti tidak asing buat peminat Manhua. Karya termahsyur beliau tentu sekali Pedang Setiawan. Dinilai dari segi naratif, saya minat juga jalan cerita Pedang Setiawan. Tapi berbanding stroke lukisan Ma Wing-shing, saya sebenarnya lebih tertarik kepada gaya Tang Chi Fai yang popular dengan Siri Pendekar Laut.
Mungkin kerana rekaan watak-wataknya lebih moden. Berseluar jeans. Berblazer. Sehinggakan gaya lukisan saya sendiri perlahan-perlahan terpengaruh. Kalau tak silap, Wan Yat Leung pelukis asal di peringkat awal penerbitan Pendekar Laut sebelum Tang Chi Fai mengambil alih (mohon teguran daripada otai-otai Manhua yang lebih arif andai pemahaman saya salah).
Sewaktu di MRSM, saya aktif melukis poster event sekolah serta cover untuk pelbagai majalah persatuan/kelab. Termasuklah kelab-kelab yang saya bukan anggota rasmi pun. Pada zaman itu belum ada perisian canggih seperti Canva. Segalanya mengharapkan lukisan tangan.
Boleh tahan banyak projek saya tapau. Masalahnya, saya langsung tak ikut tema. Sekadar mencari peluang melepas gian melukis Orga bertempur dengan Jerung Raksasa. Untuk projek Biro Agama pun, saya sekadar tambah songkok dan kopiah. Ya, memang bongok. Ramai juga guru penasihat persatuan yang tampil menegur.
“Kamu ni dah takde benda lain ke nak lukis?”
Saya buat dono. Maklumlah, rebel. Those were the days. Good times. Best of times.
Hikayat Pedang Setiawan telahpun ada versi live-action pada tahun 1998. Sebagai peminat, saya amat berpuas hati. Chemistry gandingan Aaron Kwok dengan Ekin Cheng ternyata menjadi. Saya ternanti-nanti adaptasi serupa buat Pendekar Laut.
Siapakah pula generasi pelapis pelakon yang layak memakai belang tarung? Saya pun dah lama tak ikuti perkembangan dunia perfileman Hong Kong.

Perihal Berkongsi Peti Ais

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman perihal berkongsi peti ais
Ada masanya kita harus tegas. Dan ada kalanya pula kita perlu mengalah.
Pengalaman tinggal sebumbung bersama bangsa asing telah banyak melatih saya berkompromi. Hal remeh seperti berkongsi peti sejuk cukup buat mencetus konflik (andai dibiarkan terus melarat).
Sebagai contoh, kawan-kawan Hindu tak makan daging lembu (tapi bukan isu najis). orang Islam pula tak makan babi (yang kita anggap najis). Sedangkan ini mungkin menu ruji teman-teman serumah beragama lain. Paket ham slices yang terbuka diselit begitu saja di kompartmen telur serta keju.
Itu belum masuk lagi bab alkohol. Ramai house mate saya dahulu yang meneguk arak mengalahkan air kosong. Peti sejuk kami sarat dengan tin bir. Termasuk stok separa minum. Kadang-kadang tertumpah sedikit atau meleleh sisanya.
Persoalan sekarang, bagaimanakah caranya masing-masing berkongsi peti sejuk nan satu tatkala menyewa bersama? Berhakkah mana-mana golongan ‘mengharamkan’ item-item tertentu? Membeli peti ais sendiri bukanlah penyelesaian murah. Lagipun, ruang dapur tersedia sempit.
Penyelesaian termudah ialah berpindah keluar dan hidup sesama Muslim. Tapi saya sendiri yang mahu merakam memori serta menghimpun pengalaman berharga, alang-alang dah berpeluang merantau melihat dunia. Selagi tak melibatkan jantina lawan, saya tak fikir hasrat ini suatu dosa.
Saya percaya yang kita hanya mampu menyelami isi hati seseorang secara efektif menerusi dua cara sahaja. Tinggal sebumbung. Atau bermusafir bersama. Siapa kata hidup sesama kelompok seagama/sebangsa terjamin tiada konflik?
Berbalik kepada isu peti ais kongsi tadi, pembahagian partition dilihat sebagai idea terbaik. Setiap aras peti sejuk kami khususkan buat setiap penghuni. Bahan mentah yang ingin disimpan di dalam peti mesti menggunakan tupperware atau bekas bertutup rapi. Mujurlah serumah pakat bersetuju.
Dalam pada itu, saya sendiri memilih untuk mengabai terus peti sejuk tersebut gara-gara masih waswas.
Untuk membancuh kopi, saya beralih daripada susu sejat kepada serbuk creamer (sebab tak memerlukan simpanan sejuk). Bahan mentah basah seperti daging dan sayur pula dibeli cukup-cukup setiap kali terasa rajin memasak. Terpaksalah saya berulang-alik ke pasar setiap hari (Leeds Kirkgate Market atau pasar raya Morrisons). Terasa macam suri rumah pula.
Sekali-sekala, saya akan memasak lebih atas niat menjamu teman-teman serumah bukan Islam. Saya ada periuk belanga sendiri. Cuma tersimpan licik di bilik tidur bagi mengurangkan risiko tercemar di dapur. House mate dari Latvia minat beriani kambing saya. House mate Kristian dari Afrika suka nasi goreng pedas-pedas. House mate dari Taiwan jatuh cinta dengan cucur bawang. Saya tersenyum bangga (walaupun masakan tidaklah sesedap mana).
Now, here’s the best part:
Orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi kita merasa.
Apakah alasan menolak yang wajar dan patut saya berikan, setiba house mates pula bermurah hati menjamu saya dengan air tangan masing-masing? Sumber bahan mentah satu hal. Perkakas yang belum disertu juga satu hal.
Saya tak tergamak menyinggung perasaan. Niat mereka baik. Dalam masa yang sama, saya enggan menampakkan Islam terlalu rigid.
Payah sebenarnya menjadi ‘duta kecil’ kepada agama. Realiti yang perlahan-lahan saya mula faham.

Winter Sonata

Winter Sonata Pencil Sketch by Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman
Pernah suatu ketika, seorang akak senior mahu ‘kenen’ saya dengan adik sepupunya. Cuma akak senior ini terlanjur memberi foto saya kepada si gadis, SEBELUM meminta izin tuan empunya badan.
Ringkas cerita, si gadis reject saya sebab dia mencari calon yang Korean-look. Lebih perit lagi, maklum balas ini saya terima daripada si akak senior (selaku perantara).
Apakan daya, itu hak si gadis. Semoga dia temui kebahagiaan yang dicari. Di persimpangan cerita, saya pun move on.
Beberapa tahun berlalu. Tiba-tiba terkenang semula memori tersebut. Ungkapan ‘Korean-look’ kembali membelenggui diri. Lantas saya termenung panjang memikirkan suatu perkara:
Apabila seseorang menyebut Korean-look, adakah wajah lelaki marhaen Korea yang dimaksudkan? Atau wajah plastik selebriti Korea selepas surgeri? Hmm…
Anyway…
Bercakap tentang apa jua melibatkan Korea, saya sebenarnya tak minat. Termasuklah budaya, lenggok bahasa, irama muzik, filem, lambakan siri TV mahupun resipi masakan mereka.
Bau kimchi saya tak lalu. Squid Games musim pertama (yang jadi fenomena global) saya hadap setakat mengelak FOMO. Hajat melancong ke Korea Selatan pun tak pernah masuk dalam wish list.
Tak suka bukanlah bermakna benci. Selera manusia berbeza. Saya hormat saja citarasa kelompok yang minat.
Tapi entah mengapa, Winter Sonata satu-satunya siri Korea yang saya berjaya khatam sehingga habis. Cerita murung ini malah diulang tonton beberapa kali. Lagu temanya yang berhantu pun saya tak jemu-jemu dengar. Maksud saya, versi asal. Bukan versi Hazami. Dan hanya ini mp3 lagu Korea yang saya ada dalam koleksi peribadi.
Meskipun segan hendak mengaku, saya pernah juga berhajat buat rambut gaya Bae Yong-joon. Tapi niat terbatal lepas saya tenung muka sendiri di cermin.

Bas Ekspres

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman naik bas ekspres

Tahun 2014. Dari rumah parents saya di Skudai, saya menaiki bas ekspres ke Lembah Klang. Ada urusan kerja di sana. Di persimpangan cerita, bas-bas dari zon selatan tidak lagi berhenti di hentian Pudu. Semua penumpang ke KL harus turun di terminal baharu di Bandar Tasik Selatan.

Dari Johor Bahru pula, bas-bas ekspres masih berlepas dari terminal besar Larkin selaku titik mula. Memandangkan saya berada di Skudai, saya naik dari Sri Putri saja (hentian berikutnya selepas Larkin).

Bas telahpun terisi dengan penumpang dari Larkin sewaktu saya baru hendak naik. Walaupun belum cecah suku penuh, bangku panjang paling belakang (kegemaran saya) sudah bertuan. Kelihatan seorang gadis Melayu sedang duduk di tepi tingkap (sisi yang sama dengan pemandu bas). Dia bersimpuh dengan selesa.

Diturutkan hati, boleh saja saya duduk di tepi tingkap
bertentangannya. Cuma akan nampak aneh dan mencurigakan. Sebagaimana saya katakan tadi, suasana bas agak kosong. Jumlah penumpang tak sampai sepuluh orang. Situasi normal bagi perjalanan JB-KL sewaktu hari bekerja.

Saya beralah untuk duduk di barisan bangku kedua terakhir. Lantas merapatkan diri ke tingkap sesisi dengan pintu keluar/masuk bas. Sekaligus memasang jarak yang munasabah dari si gadis. Beg galas saya peluk. Bagasi pakaian pula berada di dalam perut bas.

Perjalanan diteruskan menuju ke utara. Saya menggelamun dibuai gelora pemanduan. Sehingga tak sedar diri terlelap.

Pada suatu ketika, saya hanya terjaga apabila bahu terasa seperti dicuit dari arah belakang. Saya menoleh dan nampak si gadis tadi. Yang anehnya, dia melunjurkan tangan dari jauh sambil melutut di atas bangku. Persis posisi yoga.

“Awak… Awak tengok tu!” Serunya dengan cemas.

Mata saya dipandu oleh tudingan jari si gadis. Gara-gara masih mamai, ambil masa juga buat saya memproses situasi sebelum faham apa sebenarnya yang sedang berlaku. Lantai bas di lorong pemisah bangku kami tercabut sekeping! Lopongnya seluas permukaan meja tulis bilik darjah. Saya boleh nampak tar lebuh raya. Serta-merta hilang rasa mengantuk.

Kombinasi muzik serta deraman enjin terlalu membingit buat saya menarik perhatian pemandu. Dari bangku sendiri, saya terpaksa melangkah beberapa unit bangku di hadapan. Laksana gaya memanjat pagar. Maklumat disalur kepada pasangan Cina di hadapan. Mereka yang seterusnya bergegas menyuruh pemandu berhenti.

Kenderaan akhirnya berlabuh di tepi jalan. Dengan lagak tenang, sang pemandu sekadar menyuruh kami semua berpindah memenuhi ruang hadapan bas. Perjalanan kemudian bersambung seolah-olah tiada apa yang berlaku. Alhamdulillah, masing-masing selamat sampai. Mujur tiada bahagian lain daripada bas yang tercicir sepanjang perjalanan berbaki.

Adakah itu kali terakhir saya menaiki bas ekspres di Malaysia? Tak juga. Kadang-kadang, memang tiada pilihan. Sebagai pengguna, kita hanya mampu bertawakal.

Lembaga di Bawah Meja

Shah Ibrahim AKA TheMrFlowerman budak kecil bawah meja
Perhatian khusus harus diberi terhadap ruangan reception setiap kali operasi pembersihan berlangsung. Maklum saja, inilah ruang pertama menyapa mata para pelawat yang berkunjung ke bangunan kami.
Setiap kali pintu kaca automatik terbuka, daun-daun kering dan sampah-sarap berterbangan masuk begitu mudah ke dalam premis. Tiupan angin West Yorkshire boleh tahan juga kencangnya.
Semenjak hari pertama mula bekerja, tugasan membersih ruang reception telah dipertanggungjawabkan kepada saya. Urusan ini bukanlah sesuatu yang membebankan sangat. Ruangan kecil. Sekejap saja boleh siap.
Memandangkan pak guard yang bertugas akan berpengkalan di meja reception setiap malam, operasi kemas-mengemas hanya dapat saya lancar setelah pak guard beredar untuk membuat rondaan berkala.
Pada suatu syif malam, pak guard yang bertugas ialah seorang Pakistan (warga UK). Selain daripada waktu dia meronda, saya juga berpeluang membereskan ruang reception setiap kali dia pergi solat.
Saat saya mengalihkan kerusi untuk memvakum ruang bawah meja, jantung saya hampir tercabut melihat kelibat orang kecil. Figura itu mencangkung bisu sambil matanya tajam merenung saya. Saya sangkakan toyol atau Toshio (anak hantu Ju-On).
Setelah disiasat, rupa-rupanya anak pak guard. Mujur saya tak terajang dipacu refleks.
Aduhai, kenapa pula sorok anak di bawah meja? Saya bertanya sekembali pak guard tadi dari rondaannya. Menurut pak guard, bininya ada urusan di luar. Ketiadaan pengasuh mendesaknya supaya mengusung sekali si anak ke sini. Tambahnya lagi, perbuatan ini sama sekali menyalahi protokol. Malah, dia telah berulang kali diberi amaran keras oleh pihak pengurusan.
Gara-gara takut dibuang kerja andai penyelianya tampil buat spot check, langkah selamat ialah menyorok anak di bawah meja sehingga habis syif. Kasihan budak lelaki itu. Berpeluh-peluh. Dia bukannya menganggu sesiapa pun.
Dua pengajaran besar saya peroleh daripada insiden ini.
Pengajaran pertama: Meskipun kasta pak guard lebih tinggi berbanding kami tukang cuci dalam hierarki organisasi, mereka juga manusia biasa. Ada anak bini. Sibuk cari makan. Kalut dengan kehidupan.
Pengajaran kedua: Barulah saya tahu meja reception itu berada di salah satu blind spot yang tersorok daripada liputan cctv.
error: Content is protected !!