Peranan muzik dalam aktiviti seharian manusia tidak dapat disangkal. Muzik selaku latar senam robik. Muzik sebagai penyeri suasana majlis. Ada orang perlu mendengar muzik ketika memandu agar tidak mengantuk. Malah, sewaktu membuang air besar pun sesetengah orang memerlukan muzik. Cuma dalam hal ini, peranan muzik lebih kepada usaha menenggelamkan bunyi-bunyi lain.
Sebelum memulakan satu-satu projek penulisan (komik mahupun novel), playlist mp3 yang bakal menjadi peneman akan saya kerangka. Iringan muzik bukan sekadar hiburan semata-mata. Sebaliknya, ikhtiar mengorek dasar tabung memori tatkala menulis kisah-kisah throwback sebelakang tiga dekad lalu. Stimuli minda ini ternyata berkesan buat diri saya secara peribadi.
Pernahkah anda terkenang babak spesifik daripada masa lalu sejurus terdengar lagu-lagu tertentu? Tentu pernah, kan? Ada kalanya, seawal muzik intro lagi minda sudah dibawa menerawang jauh. Seolah-olah diri diheret tanpa rela oleh mesin merentas masa. Ini testimoni betapa muzik mempunyai kuasa tersembunyi sebagai kunci kotak memori. Anehnya, kuasa magis sesebuah lagu tidak terbatas setakat irama dan lirik.
Ada lagu tangkap leleh yang berupaya membuatkan seseorang tersenyum sampai ke telinga. Ada pula lagu rancak yang tak semena-mena mencetus hiba. Pendek kata, satu-satu judul lagu membawa 1001 makna buat 1001 orang pendengar. Hanya tuan tubuh yang mengerti kerana jaringan pertalian antara lagu dan representasi babak kehidupan seseorang tersangatlah intim.
Mungkin lagu ‘A’ pernah menjadi nada dering telefon bimbit si dia.
Boleh jadi lagu ‘B’ berkumandang dalam bas ekspres sewaktu anda meredah lebuh raya kembali ke sekolah asrama untuk mengambil slip keputusan SPM.
Barangkali lagu ‘C’ sedang dimainkan oleh sekumpulan busker saat si dia bersuara jujur “Maaf, saya cuma minat lelaki yang berwajah chinese-look.”
Menghampiri fasa penutup penyiapan manuskrip susulan buku Budak Meja Belakang, suka saya kongsikan playlist iringan. Ini antara judul-judul lagu yang memiliki signifikan besar sepanjang menempuh kehidupan serba mencabar di West Lafayette, Indiana sekitar awal milenium. Senarai caca marba, saya akui.
Antara lagu-lagu tersenarai, mungkin ada yang kawan-kawan boleh relate. Macam mana boleh terselit sama lagu Arab? Kalian kenalah tunggu buku terbaharu siap. Oh, ya. Lagu tersebut sentiasa membuatkan saya tersenyum. OK, bye.
Semoga Tuhan mempermudahkan urusan selanjutnya sehingga buku siap cetak.