Kelso Road, Leeds. Musim panas 2011.
Mengikut kalender rasmi, musim panas di West Yorkshire dikatakan menjelma sekitar penghujung bulan Jun. Namun, saya punyai takwim tersendiri. Jikalau diri mampu keluar rumah siang hari tanpa hingus meleleh sepanjang perjalanan, itu tandanya spring tamat. Bye-bye hayfever. Hello summer!
Detik ini sememangnya ditunggu-tunggu dalam kitar musim tahunan. Barulah jendela yang telah hampir setengah tahun terkatup rapat bisa dibuka seluas-luasnya. Musim bunga tertutup rapat atas alasan alergi dan manusia waras juga tidak akan membuka tingkap tatkala salji sedang mengganas.
Berbanding bau klorofil hasil potongan rumput segar yang menjadi sebahagian daripada identiti musim bunga, bau asap barbeku paling sinonim dengan musim panas. Kelso Road tidak jauh dari Hyde Park Leeds. Di situ tersedia banyak tungku awam buat para pengunjung berbarbeku. Buat kelompok Muslim, gunakanlah dengan penuh waswas dan berpada-padalah dalam menyedut aroma rambang yang menusuk hidung.
Tanpa sebarang kipas mahupun sistem pendingin hawa, kebanyakan unit rumah sewa di UK terasa berkuap setiba summer. Situasi serupa juga di fakulti, makmal serta perpustakaan. Fasiliti persediaan hanya untuk menghadapai musim sejuk. Sementara musim panas pula disambut penuh teruja dengan tangan terbuka. Buktinya, saya belum pernah dengar kawan-kawan mat saleh merungut tentang bahang panas. Selaku tanda bersyukur, mereka kini ada alasan mengurangkan lapisan pakaian pada tubuh badan.
Selain cabaran menundukkan pandangan serta godaan bau barbeku yang boleh dipersoalkan sumbernya, komuniti Muslim turut berhadapan dengan dugaan tempoh berpuasa yang lama sepanjang Ramadan 2011. Cuaca panas kering. Matahari terbenam sekitar jam 9 malam.
Hendak dijadikan cerita, waktu ini jugalah meletus London Riot yang bahangnya turut merebak sampai ke Leeds. Molotov buatan sendiri dilempar. Kereta dibakar. Orang awam diserang secara rambang. Terasa seriau hendak berjalan kaki pergi terawih di Leeds Grand Mosque. Maklum saja, hampir tengah malam baru selesai 20 rakaat.
Terkenang kembali, itulah keajaiban kenangan. Tatkala diharung, terasa perit. Tatkala dikenang, senyum tak lekang.
Sebelum ini, saya pernah memuat naik dua foto pemandangan serupa dari jendela yang sama. Berlatar belakangkan musim dingin dan musim bunga. Sayang seribu kali sayang, gambar musim luruh ala-ala latar filem Mohabbatein tiada dalam koleksi.
Menjelang hujung musim panas, saya berpindah keluar meninggalkan perkampungan Kelso. Gara-gara kekusutan jiwa, saya memerlukan ruang baru tanpa beban memori silam buat pecutan terakhir menghadap viva PhD. Setiap hijrah ada hikmah.
Oleh itu, kesungguhan melengkapkan set foto memerlukan saya memecah masuk ke dalam rumah penyewa berikutnya. Besar kemungkinan, gambar yang diperolehi nanti bukanlah pemandangan luar jendela. Sebaliknya, mugshot lokap.