Berbeza dengan tanahair yang beriklim serupa sahaja sepanjang tahun, kitaran musim di tempat-tempat terpilih atas muka bumi ciptaan Ilahi ini ibarat checkpoint. Buat kelompok perantau dengan sasaran tempoh kelana tertentu, checkpoint yang dimaksudkan boleh dilihat sebagai peringatan berkala. Cukup putaran empat musim, maka genaplah setahun. Pejam. Celik. Pejam. Celik. Tarikh luput visa semakin hampir.
Mac 2011. Saya masih di Kelso. Salji di luar sudah cair sepenuhnya. Cherry blossom berputik. Tupai gebu-gebu mula berkeliaran tanpa segan silu. Bukti musim dingin 2010 telah berlalu pergi. Terus terang kata, tiada yang lebih indah daripada kemunculan musim bunga tatkala hati turut sama berbunga. Nikmat pastinya berlipat ganda andai kata aroma kepelbagaian flora di luar dapat disedut cium semahu-mahunya. Malang sekali, jendela rumah terpaksa bertutup.
Ironi buat seorang bergelar MrFlowerman, saya alah debunga. Sekejap-sekejap bersin. Mata naik merah. Hingus pula akan meleleh halus tanpa henti serupa paip sinki yang kehausan getah sesendal. Anehnya sepanjang menetap di bumi Uncle Sam sekitar sedekad sebelum, isu alahan tak pernah pula timbul. Aspek ini saya sendiri keliru. Boleh jadi faktor spesis debunga unik yang berada di sekeliling West Yorkshire. Boleh jadi juga imunisasi diri telah beransur pudar penangan usia. Hanya Tuhan yang lebih mengetahui.
Ada orang yang sampai tahap terpaksa menahan simptom alahan berterusan selama 24 jam. Tidur malam cukup terseksa. Makan ubat pun tak jalan. Dalam kes-kes ekstrem sebegini, individu berkenaan disaran ambil suntikan. Hayfever injection.
Nasib baik ada Wolfson Nanotechnology Cleanroom di aras bawah tanah bangunan fakulti. Fasiliti pemprosesan semikonduktor yang bebas habuk serta debu. Para pengguna juga dikehendaki berpakaian seragam ala ninja. Selaku pembantu pengajar di makmal tersebut, saya dikurnia akses penuh. Kelebihan yang rugi sekiranya tidak dimanfaatkan. Setiba musim bunga setiap tahun, di sinilah saya berkurung sepanjang hari sehingga terbenam matahari sebab alahan saya hanyalah terhadap debunga siang.
Sepulang ke Kelso, tingkap rumah akan saya buka seluas-luasnya bagi meneutralkan kekepaman yang semakin ketara. Biasalah, rumah bujang dan bau kepam berpisah tiada. Tuala lembap suspek utama. Bagi merehatkan minda yang letih bekerja sepanjang hari, gitar klasikal jenama Marlin dicapai. Di persimpangan cerita, saya sedang obses dengan album Unplugged Search ‘Gema di Timur Jauh’. Kalian yang tak biasa layan, cuba dengar bahagian instrumental intro akustik lagu Kejora.
Fuh, meremang!
Sambil jari-jemari menari-nari atas enam utas tali nylon, cubaan mengusyar seseorang menerusi jendela tetap diteruskan seperti biasa. Setiap malam tanpa gagal. Kadang-kadang dia lalu. Kadang-kadang tidak. Bab ini saya istiqamah tak kira musim. Lagipun, bunga ini saya tak alergik.