Perhatian khusus harus diberi terhadap ruangan reception setiap kali operasi pembersihan berlangsung. Maklum saja, inilah ruang pertama menyapa mata para pelawat yang berkunjung ke bangunan kami.
Setiap kali pintu kaca automatik terbuka, daun-daun kering dan sampah-sarap berterbangan masuk begitu mudah ke dalam premis. Tiupan angin West Yorkshire boleh tahan juga kencangnya.
Semenjak hari pertama mula bekerja, tugasan membersih ruang reception telah dipertanggungjawabkan kepada saya. Urusan ini bukanlah sesuatu yang membebankan sangat. Ruangan kecil. Sekejap saja boleh siap.
Memandangkan pak guard yang bertugas akan berpengkalan di meja reception setiap malam, operasi kemas-mengemas hanya dapat saya lancar setelah pak guard beredar untuk membuat rondaan berkala.
Pada suatu syif malam, pak guard yang bertugas ialah seorang Pakistan (warga UK). Selain daripada waktu dia meronda, saya juga berpeluang membereskan ruang reception setiap kali dia pergi solat.
Saat saya mengalihkan kerusi untuk memvakum ruang bawah meja, jantung saya hampir tercabut melihat kelibat orang kecil. Figura itu mencangkung bisu sambil matanya tajam merenung saya. Saya sangkakan toyol atau Toshio (anak hantu Ju-On).
Setelah disiasat, rupa-rupanya anak pak guard. Mujur saya tak terajang dipacu refleks.
Aduhai, kenapa pula sorok anak di bawah meja? Saya bertanya sekembali pak guard tadi dari rondaannya. Menurut pak guard, bininya ada urusan di luar. Ketiadaan pengasuh mendesaknya supaya mengusung sekali si anak ke sini. Tambahnya lagi, perbuatan ini sama sekali menyalahi protokol. Malah, dia telah berulang kali diberi amaran keras oleh pihak pengurusan.
Gara-gara takut dibuang kerja andai penyelianya tampil buat spot check, langkah selamat ialah menyorok anak di bawah meja sehingga habis syif. Kasihan budak lelaki itu. Berpeluh-peluh. Dia bukannya menganggu sesiapa pun.
Dua pengajaran besar saya peroleh daripada insiden ini.
Pengajaran pertama: Meskipun kasta pak guard lebih tinggi berbanding kami tukang cuci dalam hierarki organisasi, mereka juga manusia biasa. Ada anak bini. Sibuk cari makan. Kalut dengan kehidupan.
Pengajaran kedua: Barulah saya tahu meja reception itu berada di salah satu blind spot yang tersorok daripada liputan cctv.