The Big Bang Theory

Musim pertama siri komedi The Big Bang Theory (TBBT) dilancar pada bulan September 2007. Bulan yang sama saya memulakan pengajian PhD di UK. Salah satu sebab mengapa siri ini lebih signifikan buat diri saya secara peribadi (once you realize what the show is about).

Buat kalian yang mungkin belum sedia maklum, menonton TV di sana memerlukan lesen (sebagaimana Malaysia pada suatu ketika dahulu). Ekoran menetap di hostel sempit, saya keberatan hendak keluar duit beli TV. Apatah lagi membayar lesen tahunan.

Setiap Jumaat malam (usai syif kerja sambilan mencuci jamban di bandar Leeds), maka pergilah saya ke teratak sewa teman-teman yang ada TV di rumah. Tonton siaran ulangan menerusi saluran E4. Kalau tak silap ingatan, episod terbaharu musim pertama pada waktu tersebut ditayang setiap Isnin.

Tanpa sebarang gambaran jelas sitkom ini mengenai apa, saya tetap terpanggil untuk menonton. Hanya kerana Kaley Cuoco semata-mata. Saya meminatinya sejak era sitkom 8 Simple Rules.

Setelah menyedari TBBT berkisar sekawan lelaki saintis skema dengan obsesi luar biasa terhadap dunia komik dan permainan video, diri serta merta tersangkut. Tambahan pula, setiap watak sering kecundang dalam apa jua hal melibatkan jantina lawan. So, it was totally relatable.

Mereka yang terlibat dalam pembikinan siri ini juga sangat bertuah ekoran berpeluang bersemuka dengan tokoh-tokoh penting yang muncul secara cameo. Bill Gates. Steve Wozniak. Stephen Hawking. Elon Musk. Neil Gaiman. Stan Lee. Fuh! Ini antara nama-nama yang saya masih ingat. Sebenarnya ramai lagi.

Bercakap soal humor, unsur-unsur sains yang diterap dalam siri TBBT bukan sekadar hentam kromo. Bahkan dirujuk kepada pihak-pihak berkredibiliti dalam bidang berkenaan. Jadi, tidaklah wujud adegan-adegan aneh yang lazim menjadi modal sindiran kualiti drama-drama Melayu. Misalnya yang memapar adegan hospital. Sampai tahap doktor perubatan yang tengok pun bisa diserang sakit jiwa.

Secara peribadi, saya lebih menggemari musim-musim awal TBBT. Jenakanya menyengat. Tambahan pula, watak Penny (lakonan Kaley Cuoco) tersangatlah ‘innocent’. Perwatakan suci seorang gadis kampung (by American standards, of course). Entah mengapa dari musim ke musim, wataknya semakin lama semakin ‘slutty’. Pakaian pun seksi tak munasabah. Sebagai lelaki, saya tidaklah merungut. But still…

Pendek kata, saya lebih kerap ulang tonton dua musim terawal setiap kali tergerak hati mahu bermaraton semula.

Evolusi setiap watak juga menjadikan siri ini ‘hidup’. Dari bujang sehingga berteman. Dari berdua sehingga beranak pinak. Ada yang naik pangkat. Ada kelahiran. Ada kematian. Di sebalik tabir juga, pengaruh serta pendapatan para pelakon turut melonjak melampau. Sampai tahap watak-watak utama dilaporkan menerima gaji sekitar USD 1 juta bagi setiap episod! Ya, begitu sekali.

Dua bulan lepas (Mei 2019), siri ini telahpun sampai ke episod penamat sejurus khatam 12 musim. It was truly a fun and memorable ride.

Bazinga!

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!