Dens Road Primary

1989. Hari terakhir di Dens Road Primary sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Di saat menulis, tak sangka 30 tahun telah berlalu. Dari hari ke hari, memori beransur pudar. Selusuh foto dalam genggaman.

Di persimpangan cerita, kehadiran ke sekolah sekadar untuk bertemu dengan guru-guru dan rakan-rakan, serta mengambil sijil berhenti. Adik saya tumpang sekaki (beza umur kami sebanyak 3 tahun). Kebetulan pula, tadikanya di sebelah sekolah saya sahaja. Wanita Benggali yang berdiri paling belakang itu ialah Miss Batara, guru subjek Bahasa Inggeris.

Meja-meja sememangnya dilonggok begini. Dan murid-murid duduk secara berkumpulan. Seingat memori, reka bentuk bilik darjah agak sempit. Tak muat berfoto jikalau semua orang masuk serentak. Maka, terpaksalah bergilir-gilir. Oh, Abaikan Neil Flynn… Dia memang tidur di dalam kelas setiap hari.

Sungguhpun lusuh, ini satu-satunya foto yang masih elok dalam simpanan peribadi. Saya dah touch up sehabis baik guna Photoshop. Foto-foto yang lain jauh lebih teruk. Sehingga tak dapat dibezakan yang mana lelaki, yang mana perempuan.

Tanpa sebarang niat meninggi diri, saya ini bukanlah gelap sangat warna kulit. Namun pabila diapit mat salih, ternyata menyerlah kecoklatan diri.

Wajah masam mencuka sememangnya gaya standard saya setiap kali berfoto. Semoga diri sempat berubah sebelum bersanding suatu hari kelak. Tidaklah nanti orang mengata, “ini mesti kes kahwin paksa.”

Sebarang komen/pertanyaan?