Retrospektif Taki & Dira (Bahagian 1)

Bangku Inspirasi Taki and Dira

Taki & Dira (2013) merupakan karya bercetak kedua saya selepas novel grafik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Berbanding karya pertama, buku kedua ini fiksyen dari segi jalan cerita. Sungguhpun demikian, watak-wataknya mengambil inspirasi dari kehidupan saya sendiri. Sesiapa yang mengenali diri ini secara peribadi, pasti faham usai membaca.

Pada tahun 2013, saya berhajat mencuba nasib menyertai International Manga Award ke-8. Buat kalian yang belum sedia maklum, Manga ini gelaran bagi komik Jepun. Tiada kena-mengena dengan majalah Mangga yang suka papar aksi artis Malaysia bersama kolam renang.

Penganjuran Manga Award bertujuan menggalakkan pertukaran budaya menerusi medium penceritaan komik. Dengan kata lain, pengenalan budaya luar kepada masyarakat tempatan Jepun. Antara hadiah yang ditawarkan termasuklah jemputan tinggal di Jepun selama 10 hari. Siapa tak teruja? Kalau setakat seutas jam tangan jenama Licorne, saya tak minat.

Setiap karya yang layak dipertimbang mesti berasal dari luar Jepun. Selari dengan matlamat. Penyelitan elemen munasabah ini membuatkan saya tabik hormat kepada pihak penganjur. Barulah kelompok amatur macam saya ini ada sekelumit peluang. Tarikh tutup penghantaran ialah pada hujung bulan Mei 2014. Kami yang berada di Malaysia perlu menyerah karya bersama-sama borang penyertaan masing-masing ke pejabat Kedutaan Jepun.

Karya yang ingin dihantar perlu dipersembahkan dalam bentuk bercetak. Tidak semestinya sudah terbit di negara asal. Bagi karya-karya yang belum terbit, para peserta dikehendaki mengemukakan bukti bahawa karya tersebut telah disiapkan dalam tempoh kurang tiga tahun dari tarikh pertandingan. Syarat bertujuan menapis karya-karya lapuk.

Dari segi syarat, saya layak menghantar Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman. Walau bagaimanapun, saya bimbang andai keperluan terjemahan bakal menjadi isu. Lagipun, jenaka serta konteks setempat ada kalanya tak sampai setelah satu-satu karya dialih bahasa. Atas sebab inilah, saya terpanggil untuk membikin karya baru.

Saya fikir senaskhah komik bisu strategi terbaik. Tanpa sebarang naratif. Tanpa sebarang dialog. Biar gambar berbicara. Pondok bas dalam foto iringan menjadi inspirasi. Malah, keseluruhan kisah Taki & Dira berlegar sekitar bangku ini sahaja.

Cetakan pertama keluar kilang awal Disember 2013. Sengaja saya cetak lebih agar dapat dijual. Pulangannya nanti bolehlah saya guna buat modal pembedahan plastik. Mancungkan hidung, sedut buang lemak perut dan cerahkan kulit.

Oh, ya. Andai ada yang tertanya-tanya, saya tak menang. Untuk operasi pasang badan pun, tabungan belum cukup.

Terukir Di Bintang

MrFlowerman berangan

Semenjak detik itu, diriku terhenti daripada dibelenggu oleh hukum fizik.

Graviti tidak lagi mampu mengikatku ke bumi.

Alam sekeliling tersusun rapi seolah-olah menafikan kewujudan entropi.

Bintang-bintang yang terukir di langit tampak begitu hampir buat ku kutip.

Aku mula percaya tiada apa yang mustahil.

Langit kini tiada sempadan.

Adakah ini yang dimaksudkan ‘dalam hati ada taman’?

Majalah Lawak Antarabangsa

MrFlowerman Amar Sahak

Warga JB pra-milenium barangkali masih lagi ingat akan kewujudan Restoran Yusof. Kedai mamak serba lapang di aras utama Holiday Plaza. Dah terlalu lama saya tak jejak bumi JB. Apa yang saya dengar, restoran ini sudah tidak beroperasi.

Sebelum pembukaan medan selera di kompleks Kota Raya, Restoran Yusof menjadi destinasi sasaran hujung minggu saya sekeluarga. Sup kambing di situ memang terbaik. Disaji seawal jam 11 pagi. Cuma saya sendiri berperangai agak kambing kala itu. Order sup kambing. Hirup sup sehingga licin. Daging tinggal. Biasalah, budak-budak.

Entah mengapa di era kini, sup mamak rata-rata hanya disaji pada sebelah malam. Sampai ke Penang saya cuba cari. Pusing-pusing sekitar Lembah Klang pun serupa. Kena tunggu senja baru ada. Seolah-olah hantu yang masak.

Berbalik ke Restoran Yusof di JB awal 90-an, seingat saya ada dua pintu masuk utama. Satu akses dari luar bangunan. Sesuai buat pengunjung yang parkir percuma tepi jalan dan datang hanya untuk makan. Satu lagi akses dari dalam plaza sendiri.

Sebaik melangkah masuk ke restoran menerusi akses dalam plaza, para pengunjung serta-merta disambut oleh sebuah gerai menjual majalah serta suratkhabar. Kendalian mamak juga. Barangkali adik-beradik tauke.

Dan di sinilah saya menjejak stok komik-komik terbaharu setiap kali berkunjung ke Holiday Plaza. Komik tempatan. American comics. Manhua Hong Kong. Manga Jepun. Naskhah Ujang pertama dalam koleksi peribadi juga saya beli dari situ.

Humor Bodo-Bodo Batu Api Klon Gila-Gila Blog Coretan Sang Flowerman
Sebelum kemunculan Ujang, saya pembaca setia Gila-Gila. Pada zaman kegemilangan Gila-Gila, wujud beberapa pesaing. Sekali-sekala, saya beli juga. Tapi tak mampu nak sokong semua.

Terjebak sedikit lewat (atas faktor ekonomi), saya bermula dengan Ujang isu nombor 18. Pada tahun 1994, harganya baru RM2.80 bagi majalah berketebalan 100++ mukasurat. Iklan merepek pun tak banyak macam bahan bercetak berkala zaman sekarang.

Dalam kalangan peminat tegar mungkin ada yang masih ingat ilustrasi kulit hadapan naskhah yang dimaksudkan. Din Beramboi lengkap berpakaian Robocop mengusung itik peliharaan bersama sebatang berus jamban di sebelah tangan. Haha. Entah apa-apa. Tetapi itulah kekuatan majalah Ujang. Baru tengok kulit depan sahaja, seseorang boleh tergelak sehingga tercirit.

Hampir mencecah usia suku abad tahun ini, halaman-halaman naskhah sulung masih belum tercerai seperti dalam foto. Lusuh tetap lusuh penangan diselak dan dibelek berulang-ulang kali. Terutama sekali sebagai rujukan melukis.

Ujang Nombor 18 November 1994 Coretan Sang Flowerman Shah Ibrahim
Ujang nombor 18, November 1994. Sorry, not for sale

Terkenang kembali, himpunan kartunis Melayu tempatan pada zaman itu ada kesatuan stroke melukis tertentu yang boleh dibanggakan sebagai keunikan serantau. Tradisi yang disambung dari era kelompok veteren Gila-Gila. Paling jelas pada lekuk tubuh, hidung kembang serta gigi jarang watak-watak rekaan. Perasan tak?

Sayang sekali, keunikan tersebut beransur pudar dengan peralihan zaman. Masuk millenium baharu, penukaran kiblat ke arah Jepun mula ketara dalam hasil kerja kartunis-kartunis generasi pelapis. Namun, evolusi adalah suatu yang normal serta di luar kawalan. Kekuatan Pop Culture semasa sukar ditangkis. Lagipun, setiap seorang pengkarya (tak kira penulis/pemuzik/pereka fesyen/chef) ibarat corong kreativiti. Apa yang banyak dihadam, itulah yang keluar. Persekitaran kuat mempengaruhi.

Setiba muncul setiap keluaran terbaharu, dua siri yang paling saya tunggu ialah Bersama Selamanya (Gayour) serta Aku Hidup Dalam Blues, kerjasama padu antara Aie Sulong (pelukis) dengan Toyon (penulis). Kedua-dua siri ini mengangkat tema cinta serta brotherhood. Bagi seorang remaja yang tak ramai kawan dan mula tertarik kepada jantina lawan, Aku Hidup Dalam Blues serta Bersama Selamanya ternyata kena dengan jiwa.

Dalam tak sedar, keganasan Gayour (Kill! Kill! Kill! Die! Die! Die!) serta kejiwangan Aie sedikit sebanyak telah mencorak personaliti serta perwatakan karakter rekaan saya sendiri, iaitu MrFlowerman. Pendek kata, Gayour serta Aie merupakan antara dua kartunis tempatan yang saya kagumi sewaktu berjinak belajar melukis komik.

Hari ini kita bertemu atas kanvas. Semoga suatu hari nanti, kita bertemu pula di alam nyata. InsyaAllah.

Al-Fatihah buat arwah Azzam Supardi (Toyon) yang telah meninggalkan kita tahun lalu. Terima kasih atas inspirasi.

p.s.

Pernah juga berangan suatu hari setiba dewasa kelak, saya mahu lancar majalah lawak versi sendiri berjudul Samdol. Angan-angan budak sekolah. Namun, belum kesampaian.

Sejarah Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Cincin Flowerman Blog Size Coretan Sang Flowerman

KENAPA SAYA MENULIS?

Hal meminati gadis dari jauh boleh disifatkan ‘comel’ tatkala melibatkan kelompok lelaki muda remaja. Namun, situasi sedikit-sebanyak bertukar ke sedih seiring peningkatan usia sang majnun. Pathetic, kata orang putih.

Maklum saja, perilaku ini berkait rapat dengan soal keyakinan diri. Apatah lagi jikalau kesudahan cerita berakhir kecundang. Sama ada gara-gara lambat bertindak mahupun ditolak mentah-mentah.

Hakikatnya, pendaman rasa harus diluah kepada si dia agar hati tidak dibiar tergantung menanggung seksa. Selagi mana si gadis belum ‘diikat’ oleh pihak lain, pada saya peluang masih terbuka luas. Tak cuba, tak tahu. Andai terlepas, kempunan nanti.

Sedikit sejarah…

Terjebaknya diri ini dengan dunia penulisan bermula dari senaskhah novel grafik cetakan terhad. Projek DIY tahap amatur. Saya terbit sendiri guna wang simpanan.

Motivasi pembikinan adalah bagi mengejar agenda hati. Luahan rasa terpendam seorang jejaka pemalu terhadap insan istimewa. Oh, ya… Sebelum ada yang terkeliru, individu yang dimaksudkan bukanlah Farah Melissa dari buku Budak Meja Belakang. Itu kisah zaman belum ada misai.

Kata pujangga, wanita lekas cair dengan grand romantic gesture. Bukankah begitu?

Sayang sekali, Shah Ibrahim tak semewah Shah Jahan. Mana mungkin senibina segah Taj Mahal mampu didirikan. Setelah mencermin keupayaan diri serta baki dalam akaun bank, komik diputus selaku alternatif. Capaian realistik yang juga bermakna.

Usaha solo tersebut memakan masa dua tahun lamanya bermula 2010. Saya tulis. Saya lukis. Saya warna. Menerusi pendekatan simbolisma lukisan, ada banyak mesej tersirat dalam komik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (CPSF) yang hanya mampu ditafsir oleh ‘si dia’.

Diringkaskan cerita panjang berjela, misi tercapai. Si dia terbeli senaskhah. Mesej hati saya berjaya disalur. Malah, sang gadis turut jelas memahami. Alangkah seronoknya rasa hati. Sehingga mencetuskan aksi tumbukan padu ke udara.

Malang sekali, segala usaha saya langsung tak ubah apa-apa. Sekadar menambah malu pihak lelaki. Aduhai… Sesungguhnya tiada yang lebih tragis daripada kegagalan seorang lelaki memikat wanita, meski dikurnia pelbagai bakat seni.

Apakan daya, soal perasaan tak boleh dipaksa-paksa. Kisah kami terkubur begitu sahaja. Nasib baik saya lukis komik. Kalau terbina Taj Mahal, lagilah membaziaq (bak kata orang Utara).

Himpunan seribu satu kekecewaan daripada episod tersebut saya salurkan secara positif menerusi penulisan dan lukisan. Percayalah, ada unsur terapi tersembunyi di situ.

Segala apa yang kita tulis mahupun lukis pula, tak semestinya dikongsi dengan khalayak umum. Boleh saja disorok bawah tilam. Terpulang kepada individu. Yang penting, luahkan segalanya ke atas kanvas agar kepala tak berterusan serabut. Tak dinafi, hasil magis kadang-kadang terlahir daripada keperitan.

Diberi pilihan, saya pilih kesudahan gembira berbanding keperitan tadi. Rasa-rasanya semua orang pun begitu.

Melihat ke belakang, semua orang boleh tulis apa yang telah dilalui secara peribadi. Melihat ke hadapan pula, segalanya sudah tertulis. Cuma buku tersebut tuan tubuh pun tak dapat baca.

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman: Anatomi Sehelai Halaman

Sedutan buku Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Foto di atas ialah sedutan Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (CPSF). Senaskhah novel grafik cetakan terhad berwarna penuh dan berketebalan 160 mukasurat.

Ada banyak teknik dalam menghasilkan senaskhah novel grafik. Kaedah Jepun (Manga) ada seninya. Kaedah Hong Kong (Manhua) ada cara mereka. Ada kartunis yang buat kerja sepenuhnya secara digital. Ada pula yang tetap membikin secara tradisional (pen dan kertas).

Para pembaca Budak Meja Belakang, pasti sudah sedia maklum yang saya membesar dengan komik-komik Barat terbitan Marvel serta DC. Selain berjaya mengubah hidup saya yang malas membaca tahap keldai, dari situ jugalah diri ini belajar melukis. Jadi, tidaklah menghairankan bila mana corak serta kaedah pembikinan komik saya sendiri pada hari ini cenderung berkiblat ke sana. We all have our influences.

Bermula dengan draf atas kertas, lakaran kasar berupa thumbnail dikerangka bagi merancang susun atur adegan ke dalam panel. Lukisan akhir penuh teliti dibuat menggunakan pensel sebelum ditekap kekal dengan dakwat hitam. Sejurus selesai, hasil lukisan hitam putih tadi diimbas masuk ke dalam komputer. Kanvas lukisan ‘dibersihkan’ secara digital bagi membuang comot-comot sisa pemadam dan sebagainya.

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman Penciling snapshot
Penciling – Saya pasang lampu merah semasa rakaman foto agar lakaran pudar pensel menjadi lebih terang
Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman Inking Snapshot
Inking – Sejurus selesai fasa pendakwatan kekal, lakaran pensel awal tadi dipadam.

Untuk mewarna pula, saya menggunakan perisian Photoshop CS3 (belajar sendiri sekitar tahun 2007). Umum mengetahui, perisian Photoshop sememangnya mahal. Sehingga ke hari ini, saya masih setia dengan versi 2007.

Shah Ibrahim TheMrFlowerman Photoshop CS3Proses mewarna bermula dengan ‘flatting’, di mana setiap objek dalam satu halaman dipecah-pecahkan kepada komponen berasingan. Dalam industri, proses ini paling memakan masa dan ternyata membosankan. Lebih terperinci kandungan lukisan pada satu-satu halaman, lebih lama jadinya proses mewarna. Boleh jadi ini salah satu sebab mengapa format manga (komik Jepun) yang jauh lebih ringkas menjadi pilihan popular dalam kalangan pengkarya moden.

Usai flatting, barulah masuk ke fasa rendering. Secara peribadi, saya paling gemar aspek ini sebab di sinilah tekstur, pencahayaan dan efek-efek lain disertakan agar setiap panel komik tampak lebih ‘hidup’.

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman Pre Post Color Comparison
Sebelum & Sesudah:- Keajaiban warna (petikan Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman)

Tamat fasa artwork, kanvas dieksport pula ke Adobe Illustrator bagi menaip dialog serta naratif. Agar aksara tulisan tidak ‘pecah’ sewaktu buku dicetak, naratif serta dialog komik tidak ditaip menggunakan perisian CS3 tadi.

Sebagaimana percetakan novel bertulis, fail komik juga lazimnya dihantar ke kilang cetak dalam format PDF. Fail PDF ‘terkunci’. Jadi, kebarangkalian ada unsur terpeleot di saat akhir insyaAllah diminimumkan.

Akhirnya, selesailah pembikinan senaskhah komik. Andai kata projek dibuat secara berkumpulan, kebanyakan tugasan boleh bergerak selari. Bagi pengkarya solo seperti saya pula, setiap aspek terpaksa dikerjakan sendiri. Sebab itulah, CPSF memakan masa dua tahun lamanya untuk siap.

Berbalik kepada foto iringan, penghasilan selembar halaman sahaja bisa memakan masa beberapa hari. Dalam pada itu, pembaca pula hanya memerlukan kurang daripada 10 saat untuk mengharungi. Haha.
Sekadar renungan.

error: Content is protected !!