Retrospektif Taki & Dira (Bahagian 1)

Taki & Dira (2013) merupakan karya bercetak kedua saya selepas novel grafik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Berbanding karya pertama, buku kedua ini fiksyen dari segi jalan cerita. Sungguhpun demikian, watak-wataknya mengambil inspirasi dari kehidupan saya sendiri. Sesiapa yang mengenali diri ini secara peribadi, pasti faham usai membaca.

Pada tahun 2013, saya berhajat mencuba nasib menyertai International Manga Award ke-8. Buat kalian yang belum sedia maklum, Manga ini gelaran bagi komik Jepun. Tiada kena-mengena dengan majalah Mangga yang suka papar aksi artis Malaysia bersama kolam renang.

Penganjuran Manga Award bertujuan menggalakkan pertukaran budaya menerusi medium penceritaan komik. Dengan kata lain, pengenalan budaya luar kepada masyarakat tempatan Jepun. Antara hadiah yang ditawarkan termasuklah jemputan tinggal di Jepun selama 10 hari. Siapa tak teruja? Kalau setakat seutas jam tangan jenama Licorne, saya tak minat.

Setiap karya yang layak dipertimbang mesti berasal dari luar Jepun. Selari dengan matlamat. Penyelitan elemen munasabah ini membuatkan saya tabik hormat kepada pihak penganjur. Barulah kelompok amatur macam saya ini ada sekelumit peluang. Tarikh tutup penghantaran ialah pada hujung bulan Mei 2014. Kami yang berada di Malaysia perlu menyerah karya bersama-sama borang penyertaan masing-masing ke pejabat Kedutaan Jepun.

Karya yang ingin dihantar perlu dipersembahkan dalam bentuk bercetak. Tidak semestinya sudah terbit di negara asal. Bagi karya-karya yang belum terbit, para peserta dikehendaki mengemukakan bukti bahawa karya tersebut telah disiapkan dalam tempoh kurang tiga tahun dari tarikh pertandingan. Syarat bertujuan menapis karya-karya lapuk.

Dari segi syarat, saya layak menghantar Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman. Walau bagaimanapun, saya bimbang andai keperluan terjemahan bakal menjadi isu. Lagipun, jenaka serta konteks setempat ada kalanya tak sampai setelah satu-satu karya dialih bahasa. Atas sebab inilah, saya terpanggil untuk membikin karya baru.

Saya fikir senaskhah komik bisu strategi terbaik. Tanpa sebarang naratif. Tanpa sebarang dialog. Biar gambar berbicara. Pondok bas dalam foto iringan menjadi inspirasi. Malah, keseluruhan kisah Taki & Dira berlegar sekitar bangku ini sahaja.

Cetakan pertama keluar kilang awal Disember 2013. Sengaja saya cetak lebih agar dapat dijual. Pulangannya nanti bolehlah saya guna buat modal pembedahan plastik. Mancungkan hidung, sedut buang lemak perut dan cerahkan kulit.

Oh, ya. Andai ada yang tertanya-tanya, saya tak menang. Untuk operasi pasang badan pun, tabungan belum cukup.

Sebarang komen/pertanyaan?