Omar Mosque di Beeston. Antara masjid ‘panas’ yang memasuki radar pihak berkuasa Britain saat meletusnya insiden London Bombing tahun 2005. Hendak dijadikan cerita, dua orang saspek merupakan ahli kariah kami (tak perlulah disebutkan nama-nama mereka).
Trak polis serta skuad wartawan berkampung lama di perumahan Beeston sepanjang bulan Julai. Buat kami yang menghuni lorong Stratford Terrace, pita kuning polis menyekat akses keluar masuk tatkala siasatan penuh dijalankan. Selang beberapa pintu dari alamat kami yang bernombor 30, kelihatan unit CSI/forensik serba putih berbusana ninja tekun bekerja.
Timbul kelecehan setiap kali perlu berulang-alik ke kampus. Sampai tahap rasa macam nak ponteng saja sehingga situasi reda. Masalahnya, saya tiada pilihan. Viva akhir pengajian masters telah dijadualkan akan berlangsung pada bulan yang sama juga. Mahu tak mahu, terpaksalah redah.
Malah sewaktu kemuncak kes, teratak bujang kami turut dikunjungi oleh Scotland Yard. Sepasang pegawai lelaki beruniform tampil menyoal penghuni rumah secara bergilir-gilir. Lagak mereka santai dan langsung tidak agresif. Soalan cepumas tentu sekali sama ada kami serumah mengenali saspek-saspek secara peribadi.
Sewaktu giliran saya disoal, pegawai polis memandu bicara ke topik-topik rambang yang tiada kaitan, seperti bola sepak. Masih segar dalam ingatan betapa tenangnya postur polis berdua tatkala berbicara. Namun, mata mereka aktif melantun laksana bola pingpong serata ruang tamu. Naluri saya kuat merasakan yang mereka sedang menggali ‘intelligence’ menerusi gaya hidup kami serumah.
Banner kugiran Guns & Roses bersaiz gergasi menghiasi dinding. Set dram menyempitkan ruang tamu (dalam proses hendak dibawa turun ke aras basement). Himpunan gitar elektrik serta akustik kami bersepah merata-rata. Saya tak fikir elemen-elemen ini memberi ancaman kepada keselamatan Britain. Ancaman kepada hati wanita, barangkali mungkin.