Solat Raya 2007

Jumaat, 12 Oktober 2007. Pagi 1 Syawal.
Pejam. Celik. Pejam. Celik. Satu lagi fasa Ramadan di perantauan berakhir jua. Dari hostel, saya sempat sampai di Leeds Grand Mosque sebelum bermulanya syif kedua solat sunat Aidilfitri.
Pembahagian syif solat sebegini sememangnya tidak dapat dielakkan atas sebab komuniti Islam yang kian berkembang saban tahun. Tambahan pula hari ini, separuh ruangan masjid sudah dikhususkan buat jemaah Muslimat.
Ada sebab mengapa saya sengaja memilih syif kedua. Anggapan saya, syif pertama tentu lebih sesak dibanjiri jemaah yang singgah bersolat sebelum masuk kerja (memandangkan kerajaan UK belum mengiktiraf Aidilfitri sebagai cuti umum). Namun, sangkaan saya meleset. Syif kedua lebih dahsyat kehadirannya.
Tiba-tiba, saya terdengar suara Imam Syeikh Taher menerusi pembesar suara meminta para makmum agar mengecilkan lagi saf masing-masing menjadi separuh.
“Make sujood on the back of your brothers…”
Dengan kata lain, dahi makmum sewaktu sujud tidak perlu mencecah lantai. Kelonggaran darurat yang pertama kali saya dengar. Dalam pada itu, saya masih tersangkut di luar pagar.
Hamparan tikar di bawah kanopi luar masjid juga tiada lagi ruang. Solat pula hampir bermula. Saya bersama kelompok senasib kepanikan. Tatkala melingas pandang ke sekeliling, mata saya menyapa tong kitar semula milik masjid. Ada setimbun kotak berlipat di situ.
Saya cadangkan agar kepingan-kepingan bersih dijadikan ‘sejadah’. Kami buka saf baharu berhampiran pagar masjid. Mujurlah hari tak hujan.
Menariknya, kawasan Beeston dan Harehills di Leeds masih lagi berpuasa pada hari tersebut. Tarikh mula berpuasa dan Raya di UK (pada waktu itu) tidak selaras di peringkat nasional.
Ada masjid yang tengok anak bulan. Ada masjid yang ikut tarikh 1 Syawal di Pakistan. Ada masjid yang cenderung ikut Arab Saudi. Saya ikut masjid yang raya paling awal.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!