Isnin, 29 September 2008. Malam Raya Puasa.
Program tahunan bertakbir dari rumah ke rumah dalam kalangan komuniti Melayu Leeds bermula selepas solat jemaah Maghrib di Green Room (dewan solat rasmi di kampus). Atas sebab syif kerja malam ini, saya tidak berpeluang untuk turut serta.
Usai kerja jam 10 malam, geng bujang yang menghuni Karnac Road menelefon saya untuk ajak melepak di Harehills. Bukannya untuk bermain mercun atau membakar lemang. Tetapi, sekadar berhimpun sempena malam raya. Maklumlah, masing-masing sebatang kara di perantauan. Kami sembang merapu sambil maraton filem-filem import dari Malaysia.
Kamal telah berangkat pulang ke tanahair sebulan yang lalu. Maka, rumah di Karnac Road hanya tinggal Roy, Faiz dan Mat Zain bertiga. Roy buka topik sembang. Faiz bancuh Nescafe satu jag besar. Saya dan Mat Zain keluar untuk menjejak kudapan tak berkhasiat. Sekadar mencuba nasib kerana pada malam raya, tentu sekali premis Muslim rata-ratanya tutup.
Cuak juga meneroka Harehills kala lewat malam. Kawasan ini bukanlah tempat selamat. Entah berapa ramai member saya yang pernah kena pau di sini. Bezanya sama ada cedera mahupun tidak. Apa-apa pun, kadar sewa di sini murah. Sebab itu ramai Melayu cenderung bertumpu di Harehills, Leeds. Dan sekiranya anda peminat Spice Girls, rumah Mel B di sini.
Berbalik kepada misi cari makan, mujurlah Chicken Cottage masih beroperasi. Beberapa set chicken wings and chips ditapau pulang. Menyantap sambil melayan Lagi-Lagi Senario, selera ternyata melonjak. Sungguhpun belum puas melepak, saya terpaksa meminta diri untuk pulang awal kerana khuatir terbabas tidur lalu terlepas pula solat sunat aidilfitri.
Pada waktu ini, saya menetap di Saint Marks Residences. Hostel termurah Leeds University di persimpangan cerita. Sempit dan buruk. Jamban sering tersumbat. Internet pun tak stabil. Dengar khabar, hostel ini dah lalui major face lift sekarang.
Sekembali di bilik, saya tak semena-mena kekal berjaga sehingga ke pagi. Sahih penangan Nescafe pekat bancuhan Faiz. Memang tak boleh tidur langsung. Alang-alang berjaga, saya menelefon Malaysia. Akal menaakul yang keluarga saya tentu sudah sampai di kampung. Jadi, saya terus mendail nombor sana.
Gagang berpindah tangan dari seorang ke seorang. Keriuhan suasana latar belakang kedengaran jelas menerusi corong telefon. Sayu juga. Entah kenapa, aroma dapur rumah nenek pun berupaya merentas benua menujah masuk ke hidung saya. Pagi raya setiap tahun di kampung pasti akan ada nasi tomato berserta ayam masak merah. Cuma ‘kampung’ yang saya maksudkan ini berada di Kelana Jaya. Haha. Generasi budak-budak bandar.
“Dah ada calon ka?” (dalam dialek Utara)
Ini soalan cepumas pertama daripada nenek (kini dah arwah) sejurus selesai mukadimah bertanya khabar.
Saya hanya mampu gelak. Sekaligus terjawablah soalan.
“Yang mata biru pun takpa aih…” Arwah menyambung lagi, seakan-akan memberi lesen.