Kerja Logistik

Sejurus insiden London Bombing Julai 2005, saya perasan betapa payahnya (buat seketika) untuk menjejak kerja sambilan. Mungkin hal ini ada kaitan dengan rombakan polisi imigresen dalam usaha kerajaan UK menyaring migran.
Kerja klise seperti tukang cuci di kota pun agak terbatas. Terpaksa tunggu seseorang berhenti kerja secara rasmi dahulu, barulah seseorang yang lain berpeluang mengambil alih. Visa masing-masing turut diteliti oleh para majikan.
Maka, ramailah yang beralih menjadi pengutip buah di ladang buat sementara waktu (dokumentasi tak diperlukan… for obvious reasons). Cuma kerja sebegini leceh buat kelompok pelajar yang sibuk di kampus sepanjang Isnin hingga Jumaat. Maklum saja, ladang-ladang ini rata-rata berada jauh di lokasi terpencil luar bandar.
Sementara menanti bukaan kerja cleaner, saya tak semena-mena terjebak dengan kerja-kerja logistik (serata bandar Leeds). Yang tolong rekomen kerja ini kepada saya pun seorang sahabat yang sedang gigih mengumpul duit untuk berkahwin pada saat itu.
Syarat yang dikenakan oleh majikan tak banyak. Berat badan 56 kati. Berkebolehan tahan maki.
Upah dibayar secara tunai (off-record) di akhir setiap syif. Kadarnya tak tetap dan saya pun dah tak ingat berapa.
Secara kebetulan, syif pertama saya bermula di bulan Ramadan. Kalau dipanggil untuk syif petang, coklat dah siap standby dalam kocek seluar selaku habuan berbuka. Coklat MilkyWay obsesi saya pada waktu itu (payah juga nak cari di Malaysia).
Walaupun penat, seronok sebenarnya kerja buruh. Sebab tak perlu banyak berfikir. Akal bebas berfikir perihal studies sambil tangan dan kaki bergerak. Untuk kotak-kotak luar biasa berat, kami menggunakan jentera forklift (staf lain yang pandu, saya tak reti). Selebihnya, kami pikul sendiri menggunakan tulang empat kerat.
Fasa usia 20-an, bolehlah buat kerja-kerja ganas macam ini. Rak buku pun saya mampu pikul seorang. Tapi sekarang harus sedar diri dan lebih berhati-hati. Begitulah kehidupan…

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!