Impian. Cita-cita. Angan-angan.
Variasi kata yang membawa erti keinginan membara. Keinginan setiap individu tidak semestinya sama dengan orang lain sebab hanya kita tahu apa yang bernilai buat diri. Populariti, kecapian material, keluasan jelajah bumi Tuhan serta kebebasan kewangan antara impian klise. Klise dalam konteks ‘selalu kita dengar’. Tanpa membawa sebarang konotasi negatif.
Bercakap soal impian, ada insan gemar berkongsi dengan orang sekeliling. Sementara ada pula kelompok individu yang lebih selesa pendam dalam hati. Tiada masalah anda tergolong dalam kelompok mana. Itu hak peribadi masing-masing. Saya sendiri tergolong dalam kelompok kedua.
Apa jua pun, tersangatlah rugi apabila kita sengaja meletak sasaran realistik sebagai impian. Tidak kiralah sama ada impian tersebut bersifat jangka pendek mahupun jangka panjang. Secara logik, sesuatu yang mudah tercapai bukanlah ‘impian’ namanya. Dari sudut definisi pun tak padan. Dalam pada itu, tetap ramai sudah terbiasa memasang sasaran rendah tatkala mengharung kehidupan singkat ini.
Ambil contoh seorang pelajar yang menyasar sekadar lulus dalam peperiksaan berbanding mendapat nombor satu. Dengan kata lain, tabiat menyasar ‘cukup makan’. Tak mustahil, iringan usaha juga cenderung bertahap ala kadar. Maklum saja, sasaran akhir pun tidak semengah mana. Antara justifikasi di sebalik mentaliti ini adalah bagi mengelakkan diri tuan tubuh menanggung beban kecewa tatkala impian gagal terlaksana.
Alasan munasabah, saya akui. Siapa suka hadap perasaan kecewa?
Tetapi, cuba kita fikir dari sudut lain pula. Apakah ruginya memasang angan menjuarai takhta sejak mula? Tak dapat nombor satu, mungkin dapat nombor dua. Tak dapat masuk carta Top Three, mungkin ada rezeki masuk carta Top Ten. Betul, tak?
Atas sebab inilah saya sentiasa memasang impian tinggi. Pabila impian menggunung, minda kita cenderung bekerja lebih masa (dalam tak sedar) bagi menjejak strategi. Hatta sewaktu tidur. Dari sinilah pencerahan agung seringkali datang dalam bentuk inspirasi. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri sebagai saintis dan juga pengkarya seni.
Walaupun dapatan akhir tak tercapai seperti yang diharapkan, himpunan hasil yang dikutip sepanjang perjalanan selalunya tak kurang gah.
Ayuh pasang impian setinggi angkasa!